Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor Tahun 2023

13 Mac 2023 - 17 Mac 2023 (Isnin - Jumaat)

2) SIDEC DAN DIGITALISASI SELANGOR

Tahun: 2023

Sesi: 1

Isu: Sains, Teknologi & ICT

Adun: Y.B. Puan Jamaliah Binti Jamaluddin

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Memandangkan faktor teknologi, inovasi, dan digitalisasi merupakan. perkara penting dalam membantu perniagaan, pembangunan ekonomi dan GDP Selangor, sila nyatakan kad laporan dan prestasi yang telah dicapai oleh SIDEC serta mana-mana pencapaian ke arah Digitalisasi Selangor (contoh: Prestasi Wavpay e-Wallet)

    Sidec telah menyumbang kepada ekonomi Selangor dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM334.37 juta menerusi pelbagai aktiviti e-dagang dan digitalisasi sejak tahun 2015 menerusi program-program tahunan seperti:

     

    Selangor E-Commerce Onboarding Programme merupakan sebuah inisiatif di bawah Sidec yang menyediakan solusi e-dagang dan bantuan menyeluruh kepada PKS untuk menerima digitalisasi dalam perniagaan mereka dengan membantu usahawan PKS untuk memulakan perniagaan mereka secara atas talian melalui webstore/website. Tahun 2022 mencatatkan 100 PKS telah berjaya memulakan perniagaan mereka secara atas talian melalui platform webstore (Shopee, Lazada dan Youbeli) dan laman web e-dagang sendiri yang lengkap dengan shopping cart, payment gateway dan website hosting diatas jenama atau perniagaan mereka sendiri.

    Selangor E-Commerce Education Programme ialah sebuah program yang memberi kemahiran (skilling), pelaksanaan peningkatan kemahiran (upskilling) dan latihan semula (reskilling) untuk para peniaga yang menceburi bidang e-dagang buat pertama kali. Tahun 2022 mencatatkan kehadiran peserta yang memberangsangkan dengan seramai 8,053 di kesemua 25 kelas yang dijalankan sepanjang 3 bulan menjangkaui sasaran awal 1,000 peserta fizikal dan 5,000 peserta atas talian. Ini merupakan lonjakan sebanyak 34.2%. Bilangan peniaga yang hadir menunjukkan bahawa ramai peniaga mempunyai usaha memajukan perniagaan mereka melalui pendigitalan.

    Edisi ketujuh Malaysia Top E-Commerce Merchant (Top ECM) Awards 2022 anjuran Sidec telah memperoleh jualan sebanyak RM58.9 juta dan 427,643 pesanan. Untuk tahun 2022, acara ini turut mencatatkan jumlah permohonan tertinggi sejak edisi pertamanya dengan 440 permohonan. Peningkatan yang konsisten dalam jumlah permohonan menunjukkan bahawa industri e-dagang terus berkembang dengan pesat. Top ECM yang telah dijalankan selama tujuh tahun berturut-turut merupakan sebuah anugerah berprestij yang bertujuan untuk memberi penghargaan kepada peniaga e-dagang tempatan yang paling berjaya, kreatif dan inovatif. Pada masa yang sama, pedagang yang mengambil bahagian dapat memanfaatkan peningkatan pengiktirafan dan berpeluang meningkatkan penjenamaan mereka di dalam industri.

    Selangor Accelerator Programme (SAP) merupakan sebuah program khas yang ditujukan kepada syarikat teknologi tunas perintis (startup) di Selangor dengan tujuan untuk memupuk individu daripada syarikat-syarikat ini dengan model perniagaan yang berdaya maju serta produk yang sedia untuk dipasarkan. Sehingga Kohort Kelima, 150 syarikat startup telah dipupuk dari tahun 2018 hingga 2022 dan 36.6% peratus dari mereka telah berjaya mendapatkan pembiayaan.

    Pada tahun 2022, alumni Selangor Accelerator Programme (SAP), NexMind AI & Qmed Asia telah menyertai Vietnam Startup Wheel – sebuah pertandingan syarikat pemula tahunan terbesar di Vietnam dan Qmed Asia telah berjaya menduduki 10 tempat terbaik di trek antarabangsa.

    Sidec juga telah membawa 5 pemenang terbaik Selangor Accelerator Programme (SAP) 2022 ke Vietnam dan Bangkok untuk meneroka peluang pelaburan dan rangkaian bersama untuk syarikat pemula di Selangor supaya melahirkan lebih banyak syarikat unicorn yang baharu. Lima pemenang tersebut ialah Entomal Biotech Sdn Bhd, Swipey Digital Services Sdn Bhd, Diet Ideas Sdn Bhd, Blue Duck Tech Sdn Bhd dan Capsphere Services Sdn Bhd.

    Buat makluman YB, SAP 2022 menyumbang sebanyak RM15 juta nilai GMV dengan setiap syarikat mempunyai nilai antara RM500,000 hingga RM1 juta.

    Selain itu, sebahagian daripada alumni SAP 2022 turut berjaya memperoleh pembiayaan keseluruhan RM4 juta dari beberapa pemodal teroka dan juga pelabur.

    Antara alumni SAP yang menunjukkan prestasi mengagumkan dan mendapat pengiktirafan khas daripada Sidec ialah Dropee. Dropee merupakan sebuah platform borong perniagaan ke perniagaan dengan penilaian keseluruhan melebihi USD100 juta telah melayakkan mereka diiktiraf sebagai Syarikat Pemula Teknologi Soonicorn.

    Disamping itu, Sidec turut melancarkan projek “moonshot” dengan menganjurkan program pitching di Silicon Valley pada tahun 2020 dan 2022.

    Tahun ini Sidec akan menganjurkan Pitch Malaysia USA Series pada 25 April hingga 3 Mei 2023 bertempat di San Francisco dan Washington D.C., Amerika Syarikat. Pitch Malaysia USA Series akan menjadi pameran lawatan dan pitching ketiga di Amerika Syarikat yang dianjurkan oleh Sidec dan ianya salah satu program pitching yang dinamik dianjurkan oleh penggerak ekosistem Malaysia di Amerika Syarikat. Program empat-dalam-satu ini bertujuan untuk menonjolkan syarikat pemula tempatan yang berdaya saing, meletakkan mereka dalam perhatian pelabur global untuk maju ke peringkat antarabangsa.

    Sidec akan bekerjasama dengan lima (5) Pemodal Teroka (VC) dan membawa 10 syarikat pemula dari Selangor dan Malaysia untuk menganjurkan dua (2) pameran di Kedutaan Malaysia di Washington D.C. dan Draper University serta menyertai Sidang Kemuncak Pelaburan SelectUSA 2023 di Maryland.

    Dalam satu sesi libat urus dan perkongsian telah diadakan pada bulan Februari yang lalu dihadiri oleh Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia, TYT Brian D. McFeeters dan wakil-wakil kedutaan A.S. di Malaysia, program ini turut mendapat perhatian Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia yang menghargai usaha Sidec dalam membantu syarikat pemula untuk mengembangkan perniagaan mereka dan mendapatkan pelaburan di peringkat antarabangsa. Dalam acara yang sama, beliau turut meluangkan masa untuk melancarkan Selangor Sandbox Coworking Space yang telah dijenamakan semula daripada Selangor Digital Creative Centre (SDCC) yang mula beroperasi pada 2015. Terletak di i-City, Shah Alam, Selangor, Selangor Sandbox Coworking Space seluas 14,000 kaki persegi dibina khas untuk sesi rangkaian, bimbingan, perbincangan, merangsang kreativiti dan perkongsian sumber.

    Konvensyen Bandar Pintar dan Ekonomi Digital Selangor (SDEC) ialah sebuah konvensyen sebahagian daripada Selangor International Business Summit (SIBS), iaitu acara tahunan yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Selangor menerusi Invest Selangor Berhad.

    Sidec telah menganjurkan SDEC edisi yang ke-tujuh pada tahun lepas dan ianya merupakan sebuah konvensyen yang padat selama 4 hari dengan dua trek utama – iaitu trek bandar pintar dan trek ekonomi digital. Trek Bandar Pintar terdiri daripada Persidangan Bandar Pintar Asia, Forum Sifar Bersih & Ekonomi Pekeliling, dan Pameran Teknologi. Manakala Trek Ekonomi Digital terdiri daripada Persidangan Pendigitalan PKS Selangor, Pemecut Fesyen Selangor (Hari Demo), Festival Strim Langsung dan Pameran Teknologi.

    Persidangan Bandar Pintar Asia: Sidang Kemuncak Datuk Bandar merupakan salah satu persidangan terbesar yang dirancang oleh Sidec – mengumpulkan datuk bandar dan wakil dari bandar-bandar berbeza dari seluruh dunia untuk berkongsi informasi, pengalaman dan pendekatan mereka untuk menyelesaikan cabaran kebolehdiaman bandar melalui teknologi pintar.

    Terdapat sejumlah 11 bandar yang terdiri daripada 6 negara telah mengambil bahagian seperti Taiwan, Korea, Thailand, Belanda, Indonesia dan Australia.

    Untuk tahun 2022, jumlah nilai potensi di ruang pameran SDEC ialah sebanyak RM50 juta yang membuka ruang pelaburan serta perniagaan antara pengunjung dan pempamer.

    Sumber : Selangor Information Technology & Digital Economy Corporation    (SIDEC)

Lampiran

Tiada Lampiran.