Mesyuarat Ketiga (Bajet) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022

23 - 25 November, 29 - 30 November, 1 - 2 Disember & 5 - 6 Disember 2022

171) APAKAH STATUS PERMOHONAN PEMILIKAN TANAH DI SUNGAI SIREH

Tahun: 2022

Sesi: 3

Isu: Tanah & Sumber Alam

Adun: Y.B. Datuk Abdul Rashid Bin Asari

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah Kerajaan Negeri bersedia untuk memberikan pemilikan tanah tersebut kepada penduduk yang memohon?

    Yang Berhormat, dimaklumkan Kerajaan Negeri telah melaksanakan pelbagai usaha bagi membantu pihak peneroka di atas tapak hakmilik di Kampung Sungai Sireh Tambahan bermula tahun 2009. Antara usaha yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri adalah mencadangkan penyelesaian melalui pengambilan tanah daripada pemilik-pemilik. Melalui keputusan MMKN ke-4/2011, Kerajaan Negeri bersetuju untuk membiayai sebahagian kos pengambilan tanah dan sebahagian lagi kos tersebut ditanggung oleh peneroka. Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) telah diarahkan untuk menubuhkan Tabung Amanah untuk mengumpulkan bayaran komitmen tanah daripada peneroka-peneroka. Walau bagaimanapun, pihak Kerajaan Negeri mendapati terdapat peneroka-peneroka yang tidak memberikan komitmen sepenuhnya berhubung isu ini bagi menyelesaikan isu pemilikan tanah tersebut.

    Untuk makluman Yang Berhormat, berdasarkan keputusan terkini melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor ke 7/2017 bertarikh 22 Februari 2017 berhubung Status Penyelesaian ke atas Isu Pendudukan Peneroka di atas 14 tanah hakmilik iaitu Lot 1207-1210 dan Lot 1216-1222 seluas lebih kurang 40.976 ekar di Kampung Sungai Sireh Tambahan, Mukim Klang, Daerah Klang, pihak Kerajaan Negeri memutuskan bahawa penyelesaian tidak dapat dilaksanakan kerana tidak mendapat komitmen sepenuhnya daripada peneroka. Pejabat Daerah dan Tanah (PTD) Klang dan Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) berperanan sebagai orang tengah (moderator) bagi menyelesaikan pertikaian di antara peneroka-peneroka dan pemilik tanah. Untuk makluman Yang Berhormat, pihak Kerajaan tidak terikat dengan apa-apa obligasi perundangan dan kewangan dalam melaksanakan peranan sebagai orang tengah tersebut. Sehubungan itu Yang Berhormat, Kerajaan Negeri tidak dapat melaksanakan permohonan tuntutan pemilikan tanah seperti yang dipohon penduduk memandangkan semakan mendapati tanah yang diduduki dan dipohon oleh peneroka-peneroka berkenaan adalah merupakan tanah hakmilik berdaftar.

Lampiran

Tiada Lampiran.