Mesyuarat Ketiga (Bajet) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022

23 - 25 November, 29 - 30 November, 1 - 2 Disember & 5 - 6 Disember 2022

154) PEMBANGUNAN KEDIAMAN OLEH PKNS

Tahun: 2022

Sesi: 3

Isu: Perumahan

Adun: Y.B. Datuk Rizam Bin Ismail

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah usaha Kerajaan untuk menangani isu harga jualan kediaman yang tinggi oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) sekaligus mengurangkan jumlah kediaman tidak terjual pada masa hadapan?

    Berdasarkan kepada kos pembinaan, kos buruh, bayaran premium dan kos-kos lain yang ditanggung oleh kebanyakan pemaju, secara dasarnya harga jualan produk perumahan PKNS adalah setara dengan yang ditawarkan oleh lain-lain pemaju. PKNS menumpukan pembangunan projek perumahan mampumilik untuk semua lapisan masyarakat dengan harga yang setara atau lebih rendah daripada pasaran tanpa menjejaskan kualiti. Dalam pada masa yang sama PKNS komited meneruskan agenda Kerajaan Negeri dengan menyediakan Rumah SelangorKu (RSKU) yang mana PKNS membiayai sebahagian kos (cross – subsidise) pembinaan projek tersebut.

    PKNS berupaya untuk merendahkan harga jualan sekiranya Kerajaan Negeri menimbangkan bayaran premium yang lebih rendah dan mengurniakan tanah-tanah Kerajaan Negeri kepada PKNS untuk dimajukan.Dalam usaha menangani kos pembangunan yang tinggi, PKNS sedang mengenalpasti kaedah pembinaan baharu yang dapat meminimumkan kos.  Selain itu, PKNS bersama-sama pemaju perumahan yang lain juga berharap supaya kos pematuhan untuk menyediakan pelbagai kemudahan utiliti dan infrastruktur yang terpaksa ditanggung menjadi lebih berpatutan, bagi membolehkan satu penyelesaian komprehensif kawalan harga rumah dapat dicapai.

  2. Nyatakan nilai defisit yang dicatatkan oleh PKNS sehingga kini?

    Sehingga bulan September 2022, kedudukan aliran tunai PKNS kekal sihat dan tidak mencatatkan nilai defisit.  Ini berikutan PKNS telah melaksanakan pelan strategik secara berkesan dengan tumpuan berdasarkan  :-

    1. Peningkatan pendapatan melalui penjenamaan dan strategi pemasaran perbelanjaan pembangunan melalui penumpuan pembangunan bandar-bandar baru PKNS.
    2. Penumpuan kepada alternatif sasar kewangan yang baru.
    3. Pelaksanaan Pengoperasian Pemasaran & Jualan Secara Digital

    PKNS telah memulakan inisiatif penjualan secara digital melalui platform Aplikasi MHub bermula pada Oktober 2021.  Aplikasi MHub membolehkan transaksi jualan secara dalam talian termasuk pengeluaran surat tawaran secara digital, laporan prestasi jualan, pengumpulan leads dan sebagainya.  Aplikasi MHub terdiri daripada MHub Market Place, MHub Showroom dan MHub Buyer khususnya untuk para pelanggan.

    Selain itu, PKNS sentiasa mengikuti peredaran sosial terkini dengan melaksanakan pemasaran secara digital menerusi media sosial seperti Facebook, Instagram, Tiktok dan sebagainya.

    4. Perbelanjaan Operasi Secara Berhemah

    PKNS telah mengkaji semula dengan memberhentikan, mengurangkan kadar dan memansuhkan beberapa elaun yang tidak kritikal yang mempunyai impak rendah dalam penyampaian perkhidmatan.  Langkah-langkah pemjimatan termasuk meminda kemudahan perubatan kepada anggota, pengurangan kos latihan dan pembangunan secara sistemetik turut diambil bagi membantu memastikan kos ioperasi berada dalam kawalan.

    5. Pelaksanaan Konsep Jual dan Bina

    Pelaksanaan konsep jual dan bina dapat mengurangkan tekanan kepada aliran tunai PKNS dalam masa terdekat.  Kadar penyediaan kos perbelanjaan projek boleh dikawal dengan hanya memperuntukkan 30% dari jumlah keseluruhan kos pembangunan projek berbanding terpaksa memperuntukkan sejumlah 70% dari kos pembangunan jika mengekalkan konsep bina dan jual.

    Selain daripada itu, konsep jual dan bina yang dilaksanakan oleh PKNS akan membuka peluang luas agar PKNS dapat melancarkan lebih banyak projek dalam satu-satu masa serta membolehkan PKNS melaksana aktiviti ekonomi yang lain.

Lampiran

Tiada Lampiran.