Mesyuarat Ketiga (Bajet) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022

23 - 25 November, 29 - 30 November, 1 - 2 Disember & 5 - 6 Disember 2022

138) KUIL HARAM

Tahun: 2022

Sesi: 3

Isu: Tanah & Sumber Alam

Adun: Y.B. Dato' Mohd Shamsudin Bin Lias

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Berapakah jumlah kuil haram atau tidak berdaftar pada waktu ini mengikut daerah di Negeri Selangor?

    Kerajaan Negeri meraikan semua jenis ajaran agama tanpa diskriminasi. Oleh yang demikian, penggunaan kuil haram adalah tidak bersesuaian dengan prinsip Kerajaan Negeri dalam memastikan semua agama dapat mengamalkan ajaran masing-masing dalam keadaan aman dan harmoni. Penggunaan kuil tanpa izin akan digunakan bagi menjawab soalan ini.

     

    Kuil tanpa izin merujuk kepada binaan kuil yang didirikan di atas tanah kerajaan atau tanah persendirian tanpa kebenaran daripada Pihak Berkuasa Negeri (PBN). Secara amnya, Kerajaan Negeri tidak mengiktiraf sebarang struktur rumah ibadat yang dibina tanpa kebenaran daripada Pihak Berkuasa Negeri. Bagi menangani isu-isu yang berkemungkinan berbangkit pada masa akan datang, Kerajaan Negeri melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mengambil insiatif untuk mengumpulkan bilangan kuil yang dibina tanpa kebenaran PBN.

     

    Merujuk kepada data yang diperoleh daripada PBT, berikut adalah pecahan jumlah kuil tanpa izin atau tidak berdaftar mengikut PBT:

     

    BIL PBT

    JUMLAH KUIL TANPA IZIN

    1 MBSA

    38

    2 MBPJ

    18

    3 MBSJ

    33

    4 MPKj

    57

    5 MPS

    72

    6 MPK

    165

    7 MPAJ

    41

    8 MPSp

    53

    9 MPKL

    57

    10 MPKS

    188

    11 MPHS

    51

    12 MDSB

    0

    JUMLAH

    773

  2. Apakah strategi Kerajaan Negeri dalam menangani isu kuil-kuil haram atau tidak berdaftar di Negeri Selangor?

    Kerajaan Negeri Selangor melalui semua Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sentiasa berusaha menangani isu-isu berkaitan dengan langar syarat tanah seperti yang telah diperuntukkan dalam Kanun Tanah Negara (KTN) 1965, kerana perkara ini berpotensi untuk menimbulkan masalah-masalah dan isu-isu yang tidak diingini pada masa akan datang.

     

    Kerajaan Negeri melalui PDT dan PBT juga cakna akan perihal keperluan pengwujudan rumah-rumah ibadat bukan Islam termasuk kuil dalam daerah-daerah di Negeri Selangor. Kerajaan Negeri telah menetapkan plot-plot tanah serahan daripada pemaju untuk dirizabkan di bawah Seksyen 62 Kanun Tanah Negara (KTN) 1965 sebagai tapak Rumah Ibadat Selain Islam (RISI). Selaras dengan tujuan ini pihak PBT telah menetapkan secara amnya kepada semua pemaju untuk menyediakan tapak RISI dalam satu-satu kawasan pembangunan baharu.

     

    Sejak 2008, Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Khas Hal Ehwal Selain Islam (HESI) yang telah dijenamakan kepada Jawatankuasa Khas Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Negeri Selangor (LIMAS) bertanggungjawab ke atas hal ehwal selain Islam termasuk menyelesaikan isu-isu rumah ibadat yang dibina tanpa kebenaran. Jawatankuasa ini juga akan membincangkan serta menetapkan kaedah penguatkuasaan yang bersesuaian bagi rumah-rumah ibadat yang melanggar syarat nyata tanah, seperti yang telah diperuntukkan oleh Kanun Tanah Negara (KTN) 1965 ini.

     

     

Lampiran

Tiada Lampiran.