Mesyuarat Ketiga (Bajet) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022
23 - 25 November, 29 - 30 November, 1 - 2 Disember & 5 - 6 Disember 2022
99) PROJEK WTE DI JERAM DAN TANJUNG DUA BELAS
Tahun: 2022
Sesi: 3
Isu: Kerajaan Tempatan
Adun: Y.B. Tuan Lau Weng San
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Berikan senarai pembelian sukuk daripada setiap PBT di Selangor dan perkembangan terkini pembinaan WTE ini di Jeram dan Tanjung Dua Belas.
CADANGAN PELABURAN KE DALAM INSTRUMEN UNRATED GUARANTEED SUKUK (“SUKUK”) SEBANYAK RM400 JUTA OLEH PIHAK BERKUASA TEMPATAN (“PBT”) NEGERI SELANGOR TERBITAN WORLDWIDE HOLDINGS BERHAD (“WHB”) ATAU WORLWIDE LANDFILLS SDN BHD (“WLSB”), SYARIKAT HAK MILIH PENUH WHB BAGI TUJUAN PEMBANGUNAN STESEN LOJI JANAKUASA WASTE-TO-ENERGY (“WTE”) DI JERAM DAN TANJUNG DUA BELAS, SELANGOR
Pada 14 Februari 2022, WHB telah mendapat kelulusan daripada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (“MMKN”) bagi membentangkan cadangan pelaburan kepada pihak-pihak PBT Selangor untuk melanggan Sukuk yang akan diterbitkan oleh WHB atau WLSB berjumlah sehingga RM400 juta, yang kini sedang menguruskan sisa pepejal yang diterima dari PBT negeri Selangor. Tujuan terbitan Sukuk ini adalah untuk memberi peluang kepada pihak PBT yang berminat untuk terlibat secara langsung dalam pembangunan projek Stesen Loji Janakuasa WTE sebagai pihak berkepentingan yang prihatin dalam ekosistem pengurusan sisa pepejal di Selangor.
Untuk pengetahuan Y.B., instrumen pelaburan Sukuk yang dicadangkan oleh WHB atau WLSB akan dijamin sepenuhnya oleh institusi kewangan tempatan yang diiktiraf oleh Bank Negara Malaysia ataupun institusi kewangan antarabangsa.
Seterusnya, WHB telah mengadakan sesi pertemuan bersama pihak-pihak Majlis Mesyuarat PBT bagi membentangkan cadangan langganan Sukuk tersebut dan pihak WHB telah dimaklumkan secara lisan berkenaan niat untuk menyertai cadangan pelaburan Sukuk tersebut daripada tujuh (7) PBT seperti yang tersenarai di bawah:
- Majlis Bandaraya Shah Alam
- Majlis Bandaraya Subang Jaya
- Majlis Perbandaran Klang
- Majlis Bandaraya Petaling Jaya
- Majlis Perbandaran Sepang
- Majlis Perbandaran Kuala Langat
- Maljlis Perbandaran Hulu Selangor
Pada 22 Jun 2022, MMKN telah memberikan kelulusan kepada tujuh (7) PBT tersebut untuk melabur ke dalam instrumen Sukuk yang dicadangkan. Kelulusan dari MMKN ini tertakluk kepada kelulusan daripada Kementerian Kewangan (MOF) berdasarkan seksyen 40(4) Kumpulan Wang Pihak Berkuasa Tempatan, Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171). Kelulusan ini adalah langkah terakhir bagi memuktamadkan langganan PBT ke dalam Sukuk yang dicadangkan dan akan ditandatangani oleh Y.B. Menteri Kewangan Malaysia.
PERKEMBANGAN PEMBANGUNAN WTE
Worldwide Holdings Berhad, sebuah anak syarikat sepenuhnya milik Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) telah dipertanggungjawabkan untuk menerajui projek ISWMC Jeram dan Tanjung Duabelas yang masing-masing mempunyai kapasiti untuk memproses dan melupuskan 3,500 tan dan 2,500 tan sisa pepejal sehari. Kedua-dua projek ISWMC tersebut akan dilengkapi dengan tiga (3) buah loji WTE di mana dua (2) buah loji WTE akan dibangunkan di ISWMC Jeram dan sebuah loji WTE akan dibangunkan di ISWMC Tanjung Duabelas. Sebanyak 90 Mega Watts kuota tenaga telah diperolehi daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Suruhanjaya Tenaga bagi ketiga-tiga WTE tersebut. Peruntukan kuota ini menjadikan Negeri Selangor sebagai negeri pertama di Malaysia yang berjaya mendapatkan peruntukan daripada Suruhanjaya Tenaga bagi pembangunan projek WTE di Malaysia.
Selaras dengan garis masa projek bagi pembangunan projek-projek tersebut, Power System Study (PSS) bagi WTE yang terlibat telah pun diluluskan oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Power Purchase Agreement (PPA) dengan pihak TNB dan pihak institusi kewangan yang terlibat berada dalam fasa akhir perlaksanaan.
Pembinaan projek akan bermula secepat mungkin setelah PPA yang tersebut dimuktamadkan.