Mesyuarat Ketiga (Bajet) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022

23 - 25 November, 29 - 30 November, 1 - 2 Disember & 5 - 6 Disember 2022

72) RUMAH REHAT KUALA KUBU BHARU

Tahun: 2022

Sesi: 3

Isu: Pelancongan

Adun: Y.B. Puan Lee Kee Hiong

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Adakah Kerajaan Negeri mengetahui Rumah Rehat Kuala Kubu Bharu di Jalan Padang Golf yang amat bersejarah telah lama terbiar? Jika ya, nyatakan punca terbiar itu.

    Rumah Rehat Jalan Padang Golf, Kuala Kubu Bharu telah terbiar tanpa sebarang penyewaan kepada pihak ke – 3 sejak tahun 2019. Ianya terjadi berikutan pemilikan aset ini adalah di bawah Pejabat Daerah/ Tanah Hulu Selangor (PDTHS) dimana pihak pengurusan memutuskan segala pengurusan dan penyenggaraan perlu ditangguhkan kerana isu pemilikan.

    Pihak Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) telah mendapat teguran secara umum daripada pihak PDTHS berkaitan hartanah (tanah kosong) dan bangunan yang tiada bukti pemilikan yang sah samaada “Warta” ataupun ”Geran hakmilik” tetapi diuruskan oleh MPHS malah disewakan kepada pihak ketiga.

    Penyewaan kepada pihak ketiga adalah usaha pihak MPHS untuk memastikan bangunan ini tidak usang dan terbiar. Walaubagaimanapun, usaha ini ditangguhkan kerana pemilikan hartanah ini bukan di bawah MPHS yang mana perjanjian sewaan kepada pihak ketiga sukar dilaksanakan.

     

    Pihak pengurusan MPHS mengambil inisiatif daripada teguran tersebut untuk menangguhkan segala penyewaan hartanah dan bangunan yang tiada pemilikan           yang sah termasuklah bangunan Rumah Rehat Kerajaan, Padang Golf ini. Hasil dari sewaan mahupun perbelanjaan dari kerja penyelenggaraan bangunan ini boleh dipertikaikan berikutan status pemilikannya yang masih tidak jelas. Jabatan Perancang Bandar, MPHS secara drastik telah membuat permohonan kepada pihak PDTHS untuk mewartakan rumah rehat ini kepada pihak MPHS pada 17 Julai 2020 dan sekali lagi surat dihantar pada 15 April 2021.

    Disamping itu, pihak MPHS telah diberi kebenaran dan kuasa oleh Pihak PDTHS   untuk mengurus dan menyelenggara bangunan rumah rehat ini sehingga warta yang sah dikeluarkan ke atas pihak MPHS. Surat kebenaran tersebut dikeluarkan pada 22 Julai 2021 rentetan keputusan Mesyuarat JawatankuasaTindakan Pembangunan Daerah Hulu Selangor Bil. 3/2020 telah menyarankan Pihak MPHS membuat permohonan secara rasmi kepada PDTHS bagi mendapatkan kebenaran untuk pihak MPHS mengurus dan menyenggara rumah rehat ini sehingga kelulusan pewartaan diperolehi.

    Jabatan Penilaian Dan Pengurusan Harta, MPHS ada menjalankan aktiviti gotong royong pada perdana beberapa kali di sini. Pekerja pembersihan juga ada ditempatkan di sini untuk menjalankan pembersihan berkala iaitu pada setiap hari Selasa dan Khamis setiap minggu untuk memastikan kebersihan dan penjagaan kawasan dapat dipastikan.

  2. Apakah tindakan Kerajaan Negeri yang akan diambil bagi membaikpulih Rumah Rehat Kuala Kubu Bharu sebagai tempat yang menarik pelancong dan digunakan untuk menyambut Dato' Menteri Besar seperti dulu?

    Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) telah menyewakan premis rumah rehat ini kepada pihak ke – 3 untuk dijadikan Intitusi Pengajian Al-Quran. Prosedur mendapatkan penyewa premis ini diadakan secara terbuka kepada yang berminat melalui iklan yang disebarkan sekitar April 2022, sesi temuduga pada 28 dan 29 Jun 2022 dan telah disahkan ke Mesyuarat Majlis Perbandaran Hulu Selangor Bilangan 7 Tahun 2022. Terkini, penyewa dalam proses merancang kerja baik pulih premis dan perjanjian sewaan baru ditandatangan.

Lampiran

Tiada Lampiran.