Mesyuarat Ketiga (Bajet) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022

23 - 25 November, 29 - 30 November, 1 - 2 Disember & 5 - 6 Disember 2022

65) GARIS PANDUAN KECERAHAN PAPAN IKLAN LED

Tahun: 2022

Sesi: 3

Isu: Kerajaan Tempatan

Adun: Y.B. Puan Jamaliah Binti Jamaluddin

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah Garis Panduan Papan Iklan Luar LED Kerajaan Negeri berkaitan dengan kecerahan?

    Kerajaan Negeri telah menyediakan Pekeliling Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (Seksyen Pihak Berkuasa Tempatan) PBT:SPBT Bil.1/2016 – Garis Panduan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi Paparan Iklan Di Luar Fasad Bangunan Di Negeri Selangor bertarikh 20 September 2016. Walau bagaimanpun, garis panduan tersebut tidak menyatakan butiran mengenai tahap pencerahan papan iklan luar LED yang perlu dipatuhi secara terperinci. Berdasarkan maklum balas yang diberikan, PBT telah mengambil inisiatif menghasilkan satu garis panduan khas yang diputuskan untuk pemakaian di peringkat PBT sahaja. Pada masa ini, PBT yang terlibat adalah Majlis Bandaraya Petaling Jaya dan Majlis Bandaraya Subang Jaya.

  2. Adakah garis panduan ini dipraktis secara seragam di kesemua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bawah Kerajaan Negeri Selangor atau berbeza mengikut PBT?

    Berdasarkan Pekeliling Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Bil. 2 Tahun 2009 bertarikh 22 Januari 2009, PBT mengguna pakai Garis Panduan Perancangan Papan Iklan Luar dalam memproses permohonan pendirian papan iklan luar. Selain itu juga, PBT menggunakan peruntukan Undang Undang Kecil Iklan (PBT) 2007 dalam memantau dan mengawal paparan visual iklan yang dipamerkan.

  3. Jawatankuasa manakah yang telah menetapkan Garis Panduan ini?

    Sebarang ketetapan boleh diselaraskan di peringkat Seksyen Pihak Berkuasa Tempatan (SPBT) bagi memperincikan proses permohonan, kelulusan dan perkara-perkara teknikal melibatkan iklan LED untuk dipertimbangkan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Lampiran

Tiada Lampiran.