Mesyuarat Ketiga (Bajet) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022

23 - 25 November, 29 - 30 November, 1 - 2 Disember & 5 - 6 Disember 2022

59) FATWA BERKAIT STATUS PENGAMALAN TARIKAT NAQSYABANDIAH AL-ALIAH SHEIKH NAZIM AL-HAQQANI

Tahun: 2022

Sesi: 3

Isu: Hal Ehwal Islam

Adun: Y.B. Tuan Syamsul Firdaus Bin Mohamed Supri

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah status terkini berkaitan dengan pengamalan Tarikat Naqsyabandiah Al-Aliah pimpinan Sheikh Nazim Al-Haqqani samada dari sudut fatwa rasmi, pewartaan atau penyahwartaan perkara tersebut?

    Berdasarkan kepada pembentangan kertas kerja Tarekat Naqsyabandiah Al-Aliyyah Syeikh Nazim Al-Haqqani di negeri Selangor yang telah dibentangkan dalam Mesyuarat Khas Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor Kali Ke-1/2022 yang bersidang pada 27 Julai 2022, mesyuarat telah memutuskan bahawa kertas kajian ini ditangguhkan dan memerlukan penelitian yang lebih terperinci.

  2. Adakah ianya selaras dengan status yang dinyatakan oleh pihak berautoriti di peringkat tertinggi di negara ini dalam hal ehwal agama Islam?

    Berdasarkan keputusan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor Kali Ke-1/2022 yang bersidang pada 27 Julai 2022 sepertimana yang telah dinyatakan di para (a), maka ia memerlukan kepada penelitian yang lebih terperinci sebelum sesuatu keputusan dikeluarkan. Oleh yang demikian, status fatwa tersebut masih belum dapat dimuktamadkan samada ia selaras atau tidak dengan keputusan Muzakarah Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang pada 16-17 Februari 2021 memutuskan bahawa : “Tarekat Naqsyabandiah Al-Aliyyah Syeikh Nazim Al-Haqqani hanya boleh diamalkan oleh pengikutnya dengan syarat amalannya tidak bercanggah dengan prinsip akidah dan syariat, dalam kerangka Ahli Sunnah Wal Jamaah”.

  3. Apakah boleh dilakukan jika terdapat perkara yang didapati bertentangan dengan aqidah atau hukum syarak pada sesebuah tarikat itu terdapat pengamalannya atau iktiqad pengamalnya berstatus sedemikian?

    Sekiranya didapati terdapat perkara yang bertentangan dengan akidah atau hukum syarak pada sesebuah tarikat, maka sebagai orang awam kita boleh membuat aduan kepada mana-mana pihak yang berautoriti, sebagai contoh di negeri Selangor, kita boleh membuat aduan kepada pihak Bahagian Pengurusan Penguatkuasaan JAIS bagi tindakan yang selanjutnya, dan seterusnya Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor akan meneliti, menilai dan boleh memutuskan hukum yang terkait dengan tarikat tersebut berdasarkan maklumat dan siasatan yang dijalankan oleh pihak JAIS.

Lampiran

Tiada Lampiran.