Mesyuarat Ketiga (Bajet) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022

23 - 25 November, 29 - 30 November, 1 - 2 Disember & 5 - 6 Disember 2022

45) PENGAWALAN PEMBUKAAN KAWASAN PENDUSTRIAN BARU DI KAPAR DAN SUNGAI KAPAR INDAH

Tahun: 2022

Sesi: 3

Isu: Kerajaan Tempatan

Adun: Y.B. Tuan Mohd Fakhrulrazi Bin Mohd Mokhtar

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Adakah pihak MPK membuat kawalan dan memantau masalah yang timbul hasil daripada pembukaan kawasan industri baru di sepanjang Jalan Akob dan Jalan Sri Kerayong dan Sungai Kapar indah seperti masalah banjir yang sebelum ini tidak pernah berlaku di kawasan sekitar?

    Merujuk kepada Rancangan Tempatan Majlis Perbandaran Klang 2035, zon gunatanah bagi kawasan perindustrian di Jalan Akob, Jalan Sri Kerayong dan Sungai Kapar Indah adalah zon gunatanah industri. Kategori industri yang dibenarkan adalah industri ringan dan industri sederhana dan industri hiliran sahaja. Walau bagaimanapun industri berat adalah tidak dibenarkan. Bagi kawalan perancangan gunatanah, jenis kategori dihadkan kepada industri ringan (50 meter), industri sederhana (150 meter) dan industri berat (300 meter) untuk jarak dengan kediaman. Selain daripada itu, ulasan Jabatan Alam Sekitar (JASS) juga perlu dipatuhi. Untuk makluman, hierarki jalan industri juga ditentukan berpandukan Pelan Induk yang telah diluluskan dan juga ulasan dari JKR berkaitan lebar jalan Jalan Akob, Jalan Sri Kerayong dan Sungai Kapar Indah, hierarki jalan dan persimpangan. Manakala bagi kawalan banjir, setiap pembangunan perlu mematuhi ulasan JPS antaranya kolam takungan perlu disediakan untuk semua kawasan pembangunan perumahan dan perindustrian yang melebihi 10 hektar (25 ekar) dan luas kawasan maksimum yang dibenarkan ialah 30% daripada peruntukan kawasan lapang bagi setiap pembangunan dan pihak MPK akan mengawal semasa diperingkat pelan jalan dan parit.

  2. Apakah langkah yang telah diambil oleh MPK bagi memastikan taman perumahan yang berdekatan dengan kawasan industri baru ini tidak mengalami banjir kilat?

    Langkah-langkah yang diambil oleh Majlis Perbandaran Klang bagi memastikan taman perumahan berdekatan dengan kawasan industri baru ini tidak mengalami banjir kilat adalah dengan memastikan kawalan di buat dari peringkat perancangan dan kelulusan pelan jalan dan parit. Selain daripada itu, ulasan Jabatan Pengairan dan Saliran juga perlu dipatuhi oleh pemaju/pemohon.

Lampiran

Tiada Lampiran.