Mesyuarat Ketiga (Bajet) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022
23 - 25 November, 29 - 30 November, 1 - 2 Disember & 5 - 6 Disember 2022
40) MISKIN BANDAR
Tahun: 2022
Sesi: 3
Isu: Kebajikan
Adun: Y.B. Tuan Gunarajah A/l R George
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Nyatakan statistik jumlah rakyat Selangor yang dikategorikan sebagai miskin bandar dari 2018-2022 mengikut bangsa.
Untuk makluman Yang Berhormat Sentosa, statistik berkaitan dengan pendapatan dan kemiskinan isi rumah diperoleh melalui Survei Pendapatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas (Household Income and Basic Amenities Survey; HIS & BA). Survei ini dilaksanakan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dengan kekerapan dua kali bagi setiap lima tahun dan laporan yang terkini adalah bagi tahun 2019 yang telah diterbitkan pada Julai 2020. Laporan ini memaparkan maklumat statistik berkaitan dengan taburan pendapatan dan juga statistik kemiskinan isi rumah di peringkat nasional, negeri serta daerah pentadbiran. Selain itu, laporan bagi setiap negeri juga turut diterbitkan namun tiada perincian statistik kemiskinan mengikut etnik/ bangsa sama ada untuk bandar mahupun luar bandar. Merujuk kepada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), secara umumnya kemiskinan boleh diukur dengan beberapa kaedah dan salah satunya adalah menggunakan kaedah pengukuran kemiskinan mutlak iaitu Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK). Pada tahun 2019, nilai purata PGK di peringkat nasional adalah RM2,208.00 sebulan dan bagi negeri Selangor sahaja, nilai purata PGK yang direkodkan aadalah RM2,022 sebulan. Insiden kemiskinan mutlak negeri Selangor pada tahun 2019 meningkat kepada 1.2 peratus daripada 0.8 peratus pada tahun 2016. Dalam tempoh yang sama, insiden kemiskinan mutlak di bandar turut mencatatkan peningkatan 0.4 mata peratus kepada 1.1 peratus pada tahun 2019 berbanding tahun 2016. Walau bagaimanapun, insiden kemiskinan mutlak di luar bandar merekodkan penurunan daripada 3.4 peratus (2016) kepada 2.0 peratus pada tahun 2019.
-
Nyatakan Kawasan yang terdapat populasi miskin bandar yang tinggi.
Statistik kemiskinan tahun 2019 telah tersedia adalah mengikut daerah pentadbiran. Bagi negeri Selangor, insiden kemiskinan mutlak paling tinggi direkodkan di daerah Sabak Bernam dengan 4.7 peratus, diikuti dengan Kuala Selangor 3.5 peratus, dan Kuala Langat 2.4 peratus. Manakala insiden kemiskinan bagi daerah-daerah lain adalah seperti di Jadual 1 di lampiran.
-
Nyatakan inisiatif Kerajaan Negeri untuk membantu golongan miskin bandar.
Untuk makluman Yang Berhormat Sentosa, Kerajaan Negeri sentiasa peka dalam membanteras kemiskinan di negeri ini tidak kira di bandar mahupun di luar bandar. Sehubungan dengan itu, Iltizam Selangor Penyayang (ISP) dilihat merupakan satu inisiatif berterusan malahan strategi jangka panjang Kerajaan Negeri Selangor dalam membasmi kemiskinan termasuklah miskin bandar. ISP merupakan program-program yang dibentuk untuk memberdayakan rakyat di samping mengupaya dan meningkatkan social safety net seperti yang digariskan di dalam Matlamat Pembangunan Mampan (SDG). ISP terdiri daripada empat puluh empat (44) program dan dirangkumkan di dalam enam (6) kategori dan program yang terlibat ialah Program BINGKAS, Skim Air Darul Ehsan, Skim HIJRAH, Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan, Bas Smart Selangor dan banyak lagi. Program-program ISP ini diyakini dapat menghasilkan komposisi ekonomi yang seimbang dalam pekerjaan, kebajikan, kesihatan dan perniagaan secara menyeluruh sekali gus dapat membantu mengangkat golongan yang tidak bernasib baik ini keluar dari kitaran kemiskinan. Walaupun program-program yang dilaksanakan ini tidak mampu untuk membasmi kemiskinan sehingga sifar, namun secara tidak langsung ianya telah membantu mengurangkan beban rakyat Selangor dalam menjalani kehidupan seharian.