Mesyuarat Ketiga (Bajet) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022
23 - 25 November, 29 - 30 November, 1 - 2 Disember & 5 - 6 Disember 2022
37) WABAK DENGGI
Tahun: 2022
Sesi: 3
Isu: Kesihatan
Adun: Y.B. Tuan Gunarajah A/l R George
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Nyatakan jumlah peruntukan kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan untuk mengatasi denggi dari 2018-2022.
Kerajaan Negeri sentiasa berusaha dalam mengawal penularan kes demam denggi. Pelbagai aktiviti dan program telah dilaksanakan bagi mengawal dan mencegah penularan wabak denggi dengan sejumlah RM5 juta diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri bagi tujuan tersebut setiap tahun. Kerajaan Negeri turut bekerjasama dengan agensi kerajaan persekutuan seperti Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) dalam memastikan aktiviti dan program yang diadakan berkesan dalam memerangi wabak denggi. Jumlah peruntukan Kerajaan Negeri dan Persekutuan bagi tujuan pengawalan dan pencegahan denggi bagi tempoh 2018 hingga 2022 adalah seperti berikut:
Tahun 2018 (RM)
2019 (RM)
2020 (RM)
2021 (RM)
2022 (RM)
Kerajaan Negeri 5,000,000.00 5,000,000.00 5,000,000.00 5,000,000.00 5,000,000.00 Kerajaan Persekutuan 9,015,003.00 9,438,501.00 13,917,752.43 7,562,558.11 9,653,701.75 -
Apakah perancangan Kerajaan Negeri melalui PBT untuk meningkatkan penyeliaan wabak denggi di semua kawasan kritikal?
Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) adalah salah satu agensi yang memainkan peranan yang penting dalam pengurusan pengawalan dan pencegahan denggi. Ini kerana pihak PBT adalah agensi yang sentiasa dekat dengan rakyat setempat dalam menyelesaikan pelbagai masalah yang timbul. Kerajaan Negeri juga turut menyediakan peruntukan kepada Ahli Majlis (AM) melalui PBT bagi melaksanakan program kawalan denggi bersama komuniti setempat. Bagi tujuan ini, sejumlah RM3,000.00 hingga RM5,000.00 telah diberikan kepada AM berdasarkan status perbandaran sesuatu PBT.
Antara perancangan Kerajaan Negeri melalui PBT bagi meningkatkan penyeliaan wabak denggi di semua kawasan kritikal adalah seperti berikut:
- Mengedarkan ubat racun jenis Bacillus Thuringiensis Israelensis (BTI) kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi menghapuskan pembiakan nyamuk aedes;
- Penggunaan Pest Control Operator (PCO) di peringkat PBT bagi mengawal penularan wabak denggi di kawasan yang berisiko dengan pembiakan nyamuk aedes; dan
- Penglibatan Sukarelawan Kesihatan Komuniti Selangor (SUKA) bagi membantu PBT dalam aktiviti pencegahan denggi.