Mesyuarat Ketiga (Bajet) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022

23 - 25 November, 29 - 30 November, 1 - 2 Disember & 5 - 6 Disember 2022

4) TENAGA BOLEH DIPERBAHARUI

Tahun: 2022

Sesi: 3

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Puan Elizabeth Wong Keat Ping

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Terdapat satu jurang besar antara pengeluaran tenaga dan penggunaan tenaga di Negeri Selangor. Apa rancangan Kerajaan Negeri untuk memastikan bangunan-bangunan Kerajaan semua menjana dan menggunakan tenaga solar?

    Tenaga merupakan aspek penting dalam memacu perkembangan ekonomi sesebuah negara. Faktor itu menyebabkan permintaan terhadap penggunaan tenaga elektrik di premis bangunan juga meningkat. Sejajar dengan negara bergerak ke arah status negara maju pada tahun 2020, keperluan tenaga kita semakin lama menjadi sangat intensif. 50% daripada penggunaan tenaga di negara ini adalah dalam sektor industri, kediaman dan komersil termasuk bangunan kerajaan. Bangunan komersil dan kediaman menggunakan kira-kira 13% daripada jumlah penggunaan tenaga dan 48% penggunaan elektrik negara. Oleh yang demikian, terdapat keperluan yang tinggi untuk merangka dan melaksanakan strategi penggunaan tenaga dengan cekap supaya amalan kecekapan tenaga di bangunan dapat dipraktikan. Justeru itu, Kerajaan Negeri menggalakkan amalan pengurusan tenaga yang berterusan bagi memastikan penggunaan dan kos tenaga dapat dijimatkan.

     

    Kerajaan Negeri komited untuk melaksanakan projek pemasangan solar panel di semua bangunan Kerajaan Negeri selaras dengan seruan Dasar Kerajaan Persekutuan melalui Pelan Utama Teknologi Hijau Malaysia 2017 – 2030 berhubung tenaga boleh diperbaharui. Seiring dengan perkembangan teknologi yang pesat, pemasangan solar panel adalah merupakan antara kaedah alternatif yang terbaik bagi menjana sumber tenaga yang bersih dan boleh diperbaharui.

     

    Justeru itu, Kerajaan Negeri melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Ke 21/ 2021 yang diadakan pada 16 Jun 2021 bersetuju agar semua Ketua Jabatan dan Agensi Kerajaan Negeri mempergiatkan usaha pemasangan bumbung solar dan merebut peluang yang diperkenalkan oleh Kementerian Tenaga dan Sumber Asli dengan kadar segera. Kerajaan Negeri komited untuk melaksanakan projek pemasangan panel solar di semua bangunan Kerajaan Negeri selaras dengan seruan Dasar Kerajaan Persekutuan melalui Pelan Utama Teknologi Hijau Malaysia 2017-2030 berhubung tenaga boleh diperbaharui. Antara bangunan/premis yang disyorkan adalah:

     

    • Bangunan Utama Jabatan dan Agensi Kerajaan Negeri;
    • Bangunan milik Pihak Berkuasa Tempatan termasuk Dewan, Stadium dan Gerai Majlis;
    • Surau dan Masjid;
    • Sekolah di bawah Jabatan Agama Islam Selangor; dan
    • Kawasan Parkir Kenderaan di bawah kelolaan Jabatan dan Agensi Kerajaan Negeri.

     

    Bagi mencapai persekitaran yang berkualiti sejajar dengan halatuju pembangunan Kerajaan Negeri Selangor dalam mengarus- perdanakan perkembangan teknologi ke arah penggunaan sumber yang mampan (sustainable), Kerajaan Negeri sedang melaksanakan Pemasangan Panel Solar Di Bangunan-Bangunan Kerajaan Negeri Selangor iaitu di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dan 9 buah bangunan di setiap Pejabat Daerah/Tanah di Negeri Selangor. Perjanjian (Supply Agreement)Renewable Energy (SARE) melibatkan Kerajaan Negeri Selangor, GSPARX Sdn. Bhd. dan Tenaga Nasional Berhad dan pemasangan panel solar ini di bawah skim Solar Energy Purchase (SEP) dengan tempoh kontrak yang telah dipersetujui selama 15 tahun dengan kadar penjimatan yang lebih tinggi.

     

    Susulan daripada keputusan MMKN tersebut, Kerajaan Negeri akan terus menggalakkan semua PBT dan Jabatan/Agensi negeri untuk melaksanakan pemasangan solar di bumbung-bumbung premis bangunan melalui Program Net Energy Metering (NEM) 3.0 bagi tempoh 2021 hingga 2023 yang diselaraskan oleh Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA).

     

    Bagi merancakkan lagi usaha negeri ke arah bandar rendah karbon,  komitmen dalam menggalakkan pemasangan dan penggunaan tenaga solar ini juga telah digariskan dalam Rancangan Selangor Pertama (RS-1) di bawah Agenda Kelestarian (Sustainability). Kempen galakan dan kesedaran sedang giat dilaksanakan di semua peringkat termasuklah jalinan kerjasama dengan pemaju perumahan khususnya Rumah Selangorku yang sudah mula dilaksanakan menerusi kerjasama pintar antara Lembaga Perumahan Hartanah Selangor (LPHS) dan syarikat-syarikat swasta.

  2. Apa rancangan Kerajaan Negeri untuk menjana tenaga micro dan mini hidro di sungai-sungai Negeri Selangor?

    Kerajaan Negeri Selangor melalui anak syarikatnya, Worldwide Holding Berhad (WHB) sedang giat dalam membangunkan projek-projek mini hidro di sungai-sungai sekitar negeri Selangor. Untuk makluman, Kerajaan Negeri melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (MMKN) ke-20/2021 yang bersidang pada 9 Jun 2021 dan telah disahkan di dalam MMKN ke 21/2021 pada 16 Jun 2021 telah menimbang dan meluluskan secara dasar hak penggunaan sungai kepada WHB berkaitan projek-projek mini hidro yang akan dibangunkan sekitar Selangor. Keseluruhan kapasiti yang akan dibina di Selangor adalah 40MW termasuk dengan mini hidro yang telah beroperasi. Untuk projek mikro hidro pula, Kerajaan Negeri sedang dalam proses untuk mengenal pasti lokasi-lokasi yang sesuai untuk pemasangan mikro hidro. Lokasi yang berpotensi bagi pemasangan mikro hidro adalah di kunci air JPS, loji rawatan air milik Air Selangor serta loji rawatan air kumbahan IWK. Walau bagaimanapun, pelaksanaan projek tenaga mikro dan mini hidro ini perlu mendapat kelulusan jabatan-jabatan teknikal Kerajaan Negeri bagi menjamin projek tidak menjejaskan sungai.

  3. Di sektor pertanian terdapat sisa pertanian yang tidak dikitarsemula. Apa rancangan Kerajaan Negeri untuk menjanakan tenaga melalui biomass?

    Kerajaan Negeri sentiasa mempergiatkan usaha dalam meneroka pelbagai tenaga baharu untuk mengurangkan kebergantungan kepada tenaga tidak boleh diperbaharui. Tenaga Boleh Diperbaharui (Renewable Energy – RE) adalah fokus utama Kerajaan Negeri kini dalam memastikan pembangunan yang mampan dan kurang karbon menjelang tahun 2050.

     

    Dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12), salah satu sektor/industri yang diberikan tumpuan adalah pembangunan tenaga boleh diperbaharui iaitu melalui penghasilan tenaga biomas. Biomas atau gentian semula jadi adalah satu sumber alam yang boleh diperbaharui dan diperoleh daripada sisa pertanian, sisa perindustrian, sisa penternakan serta sumber kayu lain. Sejumlah besar sumber biomas dihasilkan di negara ini setiap tahun menerusi pelbagai tanaman seperti kelapa sawit, kelapa, getah, kayu dan sekam padi. Penggunaan komponen biomas ini diselidiki sebagai sumber tenaga boleh diperbaharui bagi pilihan terbaik untuk penyelesaian ke arah penjimatan kos dan praktikal dalam pengurusan sisa. Sumber biomas dilihat antara alternatif yang praktikal, mesra alam, murah dan mudah diperoleh khususnya di negeri pengeluar hasil pertanian dan perladangan.

     

    Walau bagaimanapun, bagi merealisasikan hasrat mempelopori Tenaga Boleh Diperbaharui, Kerajaan Negeri perlu melaksanakan kajian terlebih dahulu bagi mengenal pasti sumber tenaga biologi yang dijana daripada sisa pertanian seperti hampas kelapa sawit, sekam padi dan juga sisa kumbahan haiwan ini dapat memberikan kelebihan dan pulangan yang baik kepada negeri Selangor. Selain itu, penyediaan strategi yang proaktif dalam meneroka sumber tenaga alternatif yang lebih mesra alam juga diperlukan serta menggalakkan penyelidikan dalam bidang tenaga biomas dengan kerjasama universiti dan industri dalam memastikan kelangsungan tenaga biomas ini berterusan. Ianya adalah bertepatan dengan dasar Rancangan Selangor Pertama (RS-1) untuk menjadikan negeri Selangor peneraju pembangunan lestari dalam memulihara alam sekitar untuk generasi akan datang.

Lampiran

Tiada Lampiran.