Mesyuarat Ketiga (Bajet) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022

23 - 25 November, 29 - 30 November, 1 - 2 Disember & 5 - 6 Disember 2022

259) PENGURUSAN PENCEMARAN AIR

Tahun: 2022

Sesi: 3

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Tuan Chua Wei Kiat

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah perkembangan pembinaan Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) bagi mengurangkan risiko henti tugas sekiranya berlaku pencemaran?

    Kerajaan Negeri sedang dalam peringkat perancangan untuk pembangunan kolam takungan air di bawah program Skim Jaminan Air Mentah (SJAM). Cadangan pembangunan 21 kolam-kolam dan bekas lombong yang terletak di Lembangan Sungai Selangor, Sungai Langat dan Sungai Klang telah dibawa ke dalam Mesyuarat Exco-MTES Bil. 6/2022 pada 13 April 2022 dan telah diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN). Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) akan bertindak sebagai agensi pelaksana bersama dengan syarikat Kumpulan Semesta Sdn. Bhd.

     

    Kolam-kolam tersebut akan dibangunkan sebagai kolam takungan air untuk menambah rizab simpanan air mentah. Selain itu, kolam-kolam tersebut akan direka bentuk sebagai kolam tebatan banjir yang berupaya untuk menyimpan lebihan aliran banjir daripada sungai. Kesan daripada insiden pencemaran sungai juga dapat diatasi melalui pelepasan air daripada kolam takungan ke sungai dan seterusnya ke muka sauk Loji Rawatan Air (LRA). Dengan ini, insiden henti tugas LRA akan dapat diatasi melalui inisiatif tersebut

     

    Sehubungan itu, Kerajaan Negeri sedang melaksanakan pembinaan 4 pakej kontrak di bawah SJAM melalui UPEN Selangor sebagai agensi pelaksana bagi mengatasi insiden pencemaran di Sungai Selangor dan Sungai Semenyih. Keempat-empat pakej tersebut akan melepaskan air terus dari kolam TAPS seperti kolam HORAS dan Off River Storage (ORS) Bestari Jaya di Sungai Selangor ke LA SSP1, SSP2, SSP3 dan Rantau Panjang serta kolam ABASS ‘C’ ke LRA Semenyih.

  2. Nyatakan perkembangan kini tentang pembinaan kolam takungan dwi fungsi di Kolam Takungan Sungai Gong Rawang.

    Maklumat berikut adalah hasil semakan bersama UPEN Selangor:

    • Terdapat beberapa perkara yang perlu diperhalusi berkaitan projek ini termasuklah kawasan yang melibatkan jajaran laluan rentas dan tiang elektrik Tenaga Nasional Berhad, guna tanah dan sebagainya; dan
    • Pembinaan kolam takungan dwifungsi fasa pertama sedang di dalam tindakan kontraktor yang dilantik oleh UPEN Selangor dengan kerjasama KSSB.

    Maklumat lanjut tentang perkara ini adalah di bawah seliaan UPEN Selangor.

    LUAS terlibat secara langsung bagi projek Pelaksanaan Rawatan Biologikal/Bio-Remediation Bagi Tujuan Pemuliharaan Kualiti Air Sungai Gong dan Sungai Sembah di kawasan in yang bermula dari 1 Julai 2022 – 30 Jun 2023.

Lampiran

Tiada Lampiran.