Mesyuarat Ketiga (Bajet) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022
23 - 25 November, 29 - 30 November, 1 - 2 Disember & 5 - 6 Disember 2022
252) PROGRAM JUALAN TERUS TANAMAN DAN INDUSTRI ASAS TANI
Tahun: 2022
Sesi: 3
Isu: Industri Asas Tani
Adun: Y.B. Puan Haniza Binti Mohamed Talha
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Bagaimana Kerajaan Negeri menjadikan program ini mampan bagi memberi pulangan yang lebih tinggi kepada para petani, nelayan dan pengusaha-pengusaha ladang?
Kerajaan Negeri melalui Jabatan Pertanian Negeri Selangor telah melaksanakan Program Jualan Terus Tanaman dan Industri Asas Tani (IAT) sejak Rancangan Malaysia Ke-Sebelas dan diteruskan dalam Rancangan Malaysia Ke-Dua Belas. Jabatan Pertanian telah mengenalpasti tiga (4) lokasi bagi program jualan terus tanaman dan produk IAT iaitu di Pusat Pertanian Gombak/ Petaling, Pusat Pertanian Meru dan Wisma Persekutuan Klang yang telah dilaksana manakala Pusat Pertanian Labu Lanjut, Sepang dan Pusat Flora Cheras, Hulu Langat akan bermula pada tahun 2023. Selain di Tapak Jualan Terus yang disediakan, usahawan juga dipelawa untuk membuat jualan semasa program-program Jabatan Pertanian seperti AgroGreen dan program-program lain di pelbagai peringkat.
Program ini melibatkan petani, penternak dan nelayan serta pengusaha IAT secara langsung tanpa melibatkan orang tengah. Ini bagi menjamin petani untuk mendapatkan harga yang lebih baik dan pada masa yang sama pengguna akan mendapat hasil yang segar dengan harga yang berpatutan.
-
Apakah jumlah produk pertanian yang dicatatkan sejak diperkenalkan sehingga kini?
Produk-produk yang dijual terdiri daripada Sayuran dan Buah-buahan segar, Produk Industri Asas Tani, ikan dan daging serta input-input pertanian. Nilai jualan yang direkodkan dari 2016 sehingga kini adalah RM 8,589,652.85 bagi dua lokasi Jualan Terus iaitu Pusat Pertanian Gombak/ Petaling, Klang (Pusat Pertanian Meru dan Wisma Persekutuan Klang).
Selain itu, FAMA yang merupakan agensi utama yang memainkan peranan dalam pemasaran dan Jualan Terus Dari Ladang turut merekodkan nilai jualan sebanyak RM 890,860.40 bagi 109 operasi dan Selangor Agro Market dengan nilai juala RM 1.65 juta bagi 58 hari operasi. Selain itu JTDL juga dilaksanakan di hypermarket seperti ni SACC Mall Shah Alam dengan nilai jualan RM 300,000.00 bagi 5 hari operasi dan AEON Mall Shah Alam dengan nilai jualan RM 150,000.00 bagi 4 hari operasi.