Mesyuarat Ketiga (Bajet) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022

23 - 25 November, 29 - 30 November, 1 - 2 Disember & 5 - 6 Disember 2022

198) GIG ECONOMY

Tahun: 2022

Sesi: 3

Isu: Kewangan & Ekonomi

Adun: Y.B. Puan Lim Yi Wei

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah tindakan Kerajaan Negeri, melihat statistik terkini bahawa 72% graduan SPM tidak berminat meneruskan pelajaran di institut pendidikan tinggi?

    Pelbagai usaha dan inisiatif telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri di bawah Jawatankuasa Tetap Pendidikan Negeri Selangor bagi menarik minat graduan lepasan SPM untuk meneruskan pengajian antaranya:

     

    1. Menawarkan program-program di bawah Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Ikhtisas Smart Selangor (IKTISASS) di Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor (STDC) Cwangan Kuala Selangor yang menekankan ekosistem latihan kemahiran yang berorentasikan industri. Program IKTISASS ini boleh menjadi asas persediaan dan melengkapkan integrasi kemahiran bagi lepasan SPM dalam meningkatkan kemahiran dengan kadar kebolehpasaran yang tinggi mengikut bidang kemahiran tersebut. Syarat kemasukan bagi program ini juga sangat mudah bagi menggalakkan lepasan SPM mengikuti pengajian dalam bidang yang disukai tanpa memerlukan syarat kelulusan yang tinggi; dan
    2. Program Kemahiran Profesional di bawah IKTISASS juga ditawarkan kepada mereka yang layak dengan kolaborasi bersama beberapa syarikat dan institusi antarabangsa antaranya Siemens.Ins, Apple.Inc, FESTO dan MyfinB menjurus kepada permindahan program teknologi. Program ini memberi fokus kepada industri teknologi digital dan pembuatan termaju melalui pembangunan inkubator industri bagi memacu transformasi Revolusi Industri Keempat (IR4.0) dan pendidikan industri. Ini bagi menggalakkan anak muda untuk mempelopori bidang baru di peringkat pengajian tinggi.

     

    Antara program generasi muda yang dilaksanakan pula bagi menarik minat golongan tersebut seperti:

     

    1. Program Selangor Mega Job Fair yang berperanan sebagai satu medium interaksi yang proaktif di antara pencari kerja dengan pihak industri dalam menyediakan peluang pekerjaan berdasarkan kelayakan, personaliti dan minat di kalangan belia yang merangkumi pelbagai sektor antaranya perhotelan, sukan, pemasaran dan jualan, makanan & minuman, automotif, teknologi maklumat, peruncitan, pentadbiran dan perkhidmatan serta lain-lain industri. Manakala jawatan ditawarkan pula seperti jurutera, akauntan, pengurus, pereka grafik, penyelia, kerani, operator pengeluaran, pelayan (krew restoren), wartawan dan lain-lain jawatan; dan
    2. Program Inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE) merupakan satu program kerjasama dengan syarikat-syarikat ‘P-hailing’ seperti GRAB, Food Panda atau DEGO yang bakal memberi peluang pekerjaan di dalam ekonomi gig kepada anak muda di seluruh Selangor. Program ini juga dapat membantu syarikat-syarikat yang memerlukan tenaga kerja di kalangan warga tempatan.

     

    Beberapa tawaran biasiswa dan pinjaman pelajaran juga disediakan kepada lepasan SPM yang layak dan ingin menyambung pengajian di peringkat yang lebih tinggi antaranya:

  2. Apakah rancangan dan peranan UNISEL untuk menangani isu ini?

    Untuk makluman Yang Berhormat, UNISEL sejak ambilan beberapa tahun ini berhadapan dengan keadaan yang mana pelajar lepasan SPM tidak lagi berminat meneruskan pelajaran di peringkat lebih tinggi. Ini selari dengan dapatan DOSM yang mendapati 72% pelajar lepasan SPM tidak berminat menyambung pengajian.

     

    Menyedari cabaran ini, UNISEL telah mengenal pasti beberapa sebab penurunan minat untuk melanjutkan pelajaran di kalangan pelajar antaranya:

     

    1. Sebahagian pelajar lepasan SPM berpandangan pendidikan tinggi tidak menjamin masa depan;
    2. Terdapat pandangan bahawa dengan pinjaman pelajaran yang diambil, gaji yang diperolehi selepas bekerja tidak mampu untuk menanggung kos hidup yang turut merangkumi pembayaran balik pinjaman pelajaran;
    3. Tiada jaminan pekerjaan sebaik sahaja menamatkan pengajian di peringkat diploma / sarjana muda; dan
    4. Ada antara mereka yang berhadapan dengan masalah kewangan bagi menyambung pengajian.

     

    Antara inisiatif yang telah diambil oleh UNISEL bagi menangani isu ini adalah:

    1. Mengadakan aktiviti-aktiviti terutama oleh Pusat Jaringan Komuniti (COMNET) dan semua fakulti berkaitan kesedaran, motivasi dan bimbingan berkaitan keperluan serta kepentingan menyambung pengajian di peringkat lebih tinggi;
    2. Bagi membantu mengurangkan beban kewangan, UNISEL telah memperkenalkan pelbagai skim bantuan dalaman yang jumlahnya merangkumi lebih RM25juta sejak 3 tahun lalu. Ini termasuk Pengurangan Yuran Pendaftaran Masuk, Skim Dermasiswa Pengajian Percuma Program Asas, Dermasiswa UNISEL, Biasiswa Bestari, Skim Biasiswa Sains Kesihatan (SELFA), Yuran Pengajian Percuma semester pertama bagi graduan vokasional, Skim Biasiswa Naib Canselor, Skim Bantuan Tabung Amanah UNISEL (TAU) dan Bantuan Pusat Zakat UNISEL. Usaha ini bagi mengurangkan beban kewangan para pelajar UNISEL yang 64% merupakan pelajar dari keluarga B-40;
    3. Menaiktaraf unit-unit berkaitan kepada Pusat Alumni, Latihan dan Keusahawanan. Usaha berterusan ini bagi memberi penekanan kepada pelajar UNISEL untuk bersedia sebagai pencipta pekerjaan dan bukan semata-mata sebagai pencari kerja. Tumpuan pusat ini juga ke arah “socio-preneurship” yang mana penekanan khusus kepada ruang pekerjaan yang memberi manfaat kepada semua pemegang taruh;
    4. UNISEL juga memperkenalkan UNISEL Virtual School (UVS) sejak 2021 sebagai satu usaha menarik pelajar SPM untuk menyambung pengajian dengan memperkenalkan pelbagai inisiatif secara percuma dalam talian seperti bimbingan subjek oleh guru-guru pakar, bimbingan motivasi dan permainan dalam talian bagi menarik minat pelajar. Setakat ini sejumlah 10,000 pelajar sekolah telah mengikuti dan mendapat akses UVS ini. Mereka ini akan turut didedahkan kepada program-program akademik yang ditawarkan oleh UNISEL bagi menarik minat mereka untuk menyambung pengajian. Ujian kerjaya turut disertakan bagi mengenal pasti minat dan cita-cita pelajar ini;
    5. Kemudahan bantuan bagi kemasukan ke universiti seperti Bantuan Asas Yuran Universiti (BAYU) dan Hadiah Pengajian Institut Pengajian Tinggi (HPIPT) untuk membantu meringankan beban pelajar; dan
    6. COMNET UNISEL juga turut memperkenalkan kepada kumpulan / segmen pelajar ini berkaitan ekonomi digital, pemetaan perniagaan dan program yang berkaitan bagi mendedahkan kepada mereka keperluan menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

Lampiran

Tiada Lampiran.