Mesyuarat Ketiga (Bajet) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022
23 - 25 November, 29 - 30 November, 1 - 2 Disember & 5 - 6 Disember 2022
145) STATUS COVID-19 DI SELANGOR
Tahun: 2022
Sesi: 3
Isu: Kesihatan
Adun: Y.B. Dato' Dr Ahmad Yunus Bin Hairi
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah status wabak COVID-19 Di Negeri Selangor sehingga kini?
Secara umumnya, situasi COVID-19 di Selangor berada di paras yang terkawal. Jumlah kes mingguan yang dicatatkan di Selangor adalah stabil di sekitar 3,000 – 3,500 seminggu sejak minggu epid ke – 35 sehingga minggu epid ke – 40 2022. Majoriti kes yang dicatatkan adalah kes yang mempunyai simtom ringan (kategori 2) iaitu sebanyak 95%. Kes-kes ini hanya perlu menjalani isolasi di rumah dan mengambil ubat-ubatan bagi mengurangkan simtom, tanpa perlu menjalani perawatan di hospital.
Kematian akibat COVID-19 juga berada di paras yang terkawal. Purata kematian disebabkan COVID-19 setiap minggu di Selangor adalah 7 kematian / minggu sejak minggu epid ke-35 sehingga minggu epid ke-40 2022. Kadar kematian berbanding jumlah kes yang dicatatkan di Selangor adalah pada kadar 0.1% setiap minggu, menepati sasaran yang ditetapkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (sasaran – 0.1% atau kurang kematian akibat COVID-19 berbanding jumlah kes mingguan).
-
Berapakah peratus pencapaian pemberian vaksinasi kepada rakyat Negeri Selangor keseluruhannya?
Sehingga 15 Oktober 2022, sebanyak 14,649,397 dos vaksin COVID19 telah diberikan di Negeri Selangor. Berikut adalah pencapaian pemberian vaksin COVID19 mengikut kategori umur di Negeri Selangor:
Bagi dos primer:
a) Seramai 4,330,200 orang dewasa (96.2%) telah menerima dos lengkap vaksin COVID19;
b) Seramai 519,617 orang remaja (91.6%) telah menerima dos lengkap vaksin COVID19; dan
c)Seramai 320,909 orang kanak-kanak (43.9%) telah menerima dos lengkap vaksin COVID19.
Bagi dos penggalak:
a)Seramai 4,069,818 orang dewasa (89.4%) telah menerima satu dos penggalak vaksin COVID19;
b) Seramai 155,076 orang dewasa (3.4%) telah menerima dua dos penggalak vaksin COVID19;
c) Seramai 10,202 orang remaja (1.8%) telah menerima satu dos penggalak vaksin COVID19;
d) Seramai 78 orang remaja (0.01%) telah menerima dua dos penggalak vaksin COVID19; dan
e) Seramai 266 orang remaja (0.04%) telah menerima satu dos penggalak vaksin COVID19.
Di bawah adalah jadual pencapaian pemberian vaksin COVID19 di Negeri Selangor sehingga 15 Oktober 2022.
-
Adakah semua vaksin yang dibeli oleh Kerajaan Negeri telah digunakan dan tidak luput tempoh penggunaannya?
Sehingga 18 Oktober 2022, sebanyak 683,415 dos telah digunakan dan tarikh luput bagi vaksin tersebut adalah pada Jun 2023.