Mesyuarat Ketiga (Bajet) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022
23 - 25 November, 29 - 30 November, 1 - 2 Disember & 5 - 6 Disember 2022
135) PROGRAM PEMBASMIAN KEMISKINAN
Tahun: 2022
Sesi: 3
Isu: Kebajikan
Adun: Y.B. Tuan Gunarajah A/l R George
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah garis pendapatan kemiskinan yang diguna pakai dan berapakah jumlah bilangan keluarga isi rumah miskin yang telah dikenal pasti?
Yang Berhormat Sentosa, buat masa ini Kerajaan Negeri mengguna pakai garis pendapatan kemiskinan RM2,000.00 seisi rumah selaras dengan keputusan MMKN ke 26/2020 bertarikh 29 Julai 2020 dan ianya terpakai dalam menyelaras dan melaksanakan program Kerajaan Negeri Selangor. Justeru itu, dengan kenaikan PGK daripada RM1,500.00 kepada RM2,000.00 seisi rumah ini, ianya telah membuka peluang kepada lebih ramai rakyat untuk memohon bantuan. Sehubungan dengan itu, berkenaan dengan berapakah jumlah bilangan keluarga isi rumah miskin yang telah dikenal pasti, merujuk kepada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), secara umumnya kemiskinan boleh diukur dengan beberapa kaedah dan salah satunya adalah menggunakan kaedah pengukuran kemiskinan mutlak iaitu Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK). Pada tahun 2019, nilai purata PGK di peringkat nasional adalah RM2,208.00 sebulan dan bagi negeri Selangor sahaja, nilai purata PGK yang direkodkan aadalah RM2,022 sebulan. Insiden kemiskinan mutlak negeri Selangor pada tahun 2019 meningkat kepada 1.2 peratus daripada 0.8 peratus pada tahun 2016. Dalam tempoh yang sama, insiden kemiskinan mutlak di bandar turut mencatatkan peningkatan 0.4 mata peratus kepada 1.1 peratus pada tahun 2019 berbanding tahun 2016. Walau bagaimanapun, insiden kemiskinan mutlak di luar bandar merekodkan penurunan daripada 3.4 peratus (2016) kepada 2.0 peratus pada tahun 2019. Berikut merupakan insiden kemiskinan mengikut daerah pentadbiran bagi Selangor tahun 2019 untuk makluman Yang Berhormat selanjutnya :-
-
Nyatakan secara terperinci pelaksanaan program tersebut.
Kerajaan Negeri sentiasa peka dalam membanteras kemiskinan di negeri ini tidak kira di bandar mahupun di luar bandar. Sehubungan dengan itu, Iltizam Selangor Penyayang (ISP) dilihat merupakan satu inisiatif berterusan malahan strategi jangka panjang Kerajaan Negeri Selangor dalam membasmi kemiskinan termasuklah miskin bandar. ISP merupakan program-program yang dibentuk untuk memberdayakan rakyat di samping mengupaya dan meningkatkan social safety net seperti yang digariskan di dalam Matlamat Pembangunan Mampan (SDG). ISP terdiri daripada empat puluh empat (44) program dan dirangkumkan di dalam enam (6) kategori dan anatra program yang terlibat ialah Program BINGKAS, Skim Air Darul Ehsan, Skim HIJRAH, Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan, Bas Smart Selangor dan banyak lagi. Program-program ISP ini diyakini dapat menghasilkan komposisi ekonomi yang seimbang dalam pekerjaan, kebajikan, kesihatan dan perniagaan secara menyeluruh sekali gus dapat membantu mengangkat golongan yang tidak bernasib baik ini keluar dari kitaran kemiskinan.
-
Nyatakan jumlah dan peratus yang telah terkeluar dari kelompok miskin selepas mengikuti program tersebut.
Oleh yang demikian, untuk makluman Yang Berhormat Sentosa juga, Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan merupakan salah satu program di bawah Iltizam Selangor Penyayang (ISP) yang bertujuan untk membantu mengurangkan meningkatkan pendapatan rakyat miskin dari kalangan penjaja kecil dan berkenaan dengan jumlah dan peratus yang telah terkeluar dari kelompok miskin selepas mengikuti program tersebut, Jawatankuasa Pembangunan Sosio Ekonomi tiada kajian terperinci yang terkini berkenaan Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan. Namun begitu, untuk makluman Yang Berhormat, satu Kajian Penilaian Impak telah dilaksanakan pada tahun 2018 oleh Institut Darul Ehsan (IDE) dan merujuk kepada Laporan Akhir Kajian Penilaian Impak tersebut, majoriti responden dari kalangan penerima Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan iaitu 95% daripada sejumlah 1,171 sampel penerima bantuan bersetuju bahawa bantuan mesin/ peralatan yang diterima telah berjaya membantu meningkatkan pendapatan bulanan mereka. Justeru itu, Kerajaan Negeri menyambut baik sekiranya satu kajian impak terkini dilaksanakan berhubung program-program bantuan di bawah Kerajaan Negeri supaya kita dapat melihat, mengenalpasti dan membuat penambahbaikan berdasarkan findings atau outcomes kajian tersebut selaras dengan visi dan misi Kerajaan Negeri demi menyampaikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.