Mesyuarat Ketiga (Bajet) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022

23 - 25 November, 29 - 30 November, 1 - 2 Disember & 5 - 6 Disember 2022

131) INDUSTRI PELANCONGAN INAP DESA DI NEGERI SELANGOR

Tahun: 2022

Sesi: 3

Isu: Pelancongan

Adun: Y.B. Dato' Mohd Shamsudin Bin Lias

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah langkah-langkah Kerajaan Negeri untuk menggalakkan pertumbuhan industri pelancongan inap desa di Negeri Selangor?

    Soalan (a) & (b) dijawab bersekali.

    Terma ‘Homestay’ adalah merujuk kepada satu program dimana ianya merupakan rumah orang awam yang menyediakan ruang atau bilik untuk disewakan kepada pelancong yang akan digabungkan sekurang-kurangnya 10 buah rumah dalam satu kawasan perkampungan. Program homestay ini mempunyai aktiviti lokal yang boleh dijalankan dan para tetamu mesti menginap bersama keluarga angkat. Di Malaysia, bagi membangunkan sesebuah kawasan sebagai homestay, perlu mengikut program pembangunan homestay dibawah Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya MOTAC, serta mendaftar dengan Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) cawangan Selangor.

    Bagi menggalakkan pertumbuhan industri inap desa atau homestay di Negeri Selangor, Kerajaan Negeri melalui Tourism Selangor dan Pihak Berkuasa Tempatan sentiasa bekerjasama mengenalpasti kampung-kampung di seluruh Negeri Selangor yang berpotensi dibangunkan sebagai inap desa dan membantu mereka melalui proses pembangunan mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh pihak MOTAC.

    Setakat ini sebanyak 16 homestay yang telah mengikuti program dan berdaftar secara sah dengan MOTAC yang dikawal dan diselia oleh MOTAC cawangan Selangor. 16 homestay berdaftar ini juga mengikuti modul latihan yang telah disediakan oleh pihak MOTAC.

    Berkenaan dengan bantuan dan latihan khusus, Kerajaan Negeri melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) membantu pengusaha-pengusaha yang berkonsepkan “house stay” dimana ianya dibangunkan bagi menampung kekurangan bilik hotel di sesetengah kawasan pelancongan. ‘House stay’ merupakan terma yang digunakan untuk pengusaha-pengusaha yang tidak mengikuti program ‘homestay’ yang dianjurkan oleh pihak MOTAC.

    Rumah-rumah persendirian, atau tradisi ‘house stay’ ini boleh mendaftar dalam Program Inap Dusun yang dilaksanakan oleh beberapa pihak Berkuasa Tempatan seperti Majlis Perbandaran Hulu Selangor, dimana program ini dapat memberikan panduan kepada pemilik-pemilik rumah tersebut, dari segi proses permohonan lesen dan syarat-syarat lain untuk beroperasi serta dibangunkan sebagai tempat penginapan pelancongan. Selain itu, pemilik-pemilik rumah tradisi ini juga perlu memastikan status pemilikan tanah yang dimiliki oleh mereka, sebelum memulakan perniagaan yang berkonsepkan ‘house stay’.

    Setelah melalui proses perlesenan seperti yang telah dinyatakan tersebut, pihak Tourism Selangor sebagai agensi promosi pelancongan Negeri Selangor akan membantu dari aspek latihan pelancongan, pemasaran dan promosi dan memasukkan dalam program, acara, dan aktiviti yang dirancang dan dijalankan sepanjang tahun.

  2. Adakah bantuan-bantuan disediakan kepada pengusaha-pengusaha inap desa dan bentuk serta jenis bantuan yang disediakan?

Lampiran

Tiada Lampiran.