Mesyuarat Ketiga (Bajet) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022

23 - 25 November, 29 - 30 November, 1 - 2 Disember & 5 - 6 Disember 2022

108) JARINGAN 5G DI SELANGOR

Tahun: 2022

Sesi: 3

Isu: Sains, Teknologi & ICT

Adun: Y.B. Tuan Lau Weng San

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah perkembangan terkini cadangan ini dan pelaksanaan jaringan 5G di Kuala Langat dan Selangor serta pemegang-pemegang taruh dan syarikat-syarikat telekomunikasi yang terlibat dalam usaha ini?

    Sebanyak 1,599 tapak bagi fasa 1A dan 1B telah dirancang bermula pada tahun 2021 sehingga 2022 bagi pembangunan dan pelaksanaan jaringan 5G di Negeri Selangor. Untuk makluman, sehingga 30 September 2022, pihak Digital Nasional Berhad (“DNB”) telah merekodkan pencapaian sebanyak 56% berhubung pelaksanaan dan pembangunan rangkaian 5G di Negeri Selangor. Bagi daerah Kuala Langat, terdapat empat (4) tapak yang telah dirancang bagi pembangunan rangkaian 5G pada tahun 2022 dan 1 daripada 4 tapak telah siap beroperasi sepenuhnya iaitu di Jalan Segenting, Teluk Panglima Garang.

     

    Dalam usaha bagi memastikan baki peratusan dapat dicapai menjelang akhir 2022, Kerajaan Negeri Selangor melalui Smartsel Sdn Bhd (“Smartsel”) bersama-sama dengan pihak DNB sedang merencana dan memperhalusi beberapa aspek dalam melicinkan proses berkaitan pembangunan infrastruktur dan rangkaian 5G di setiap daerah yang berkaitan di Negeri Selangor. Sehubungan dengan itu, kerjasama yang erat dan kukuh daripada Pihak Berkuasa Melulus (“PBM”) dan Agensi Pusat Sehenti (“OSA”) amat penting dalam merealisasikan usaha ini.

     

    Pelaksanaan rangkaian 5G ini juga merupakan salah satu tunjang penting dalam merealisasikan aspirasi Kerajaan Negeri dalam mencapai visi Projek Wilayah Pembangunan Bersepadu Selangor Selatan (IDRISS) di daerah Kuala Langat seperti yang terkandung dalam kerangka pembangunan negeri Rancangan Selangor Pertama (RS-1).

Lampiran

Tiada Lampiran.