Mesyuarat Ketiga (Bajet) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022

23 - 25 November, 29 - 30 November, 1 - 2 Disember & 5 - 6 Disember 2022

77) STATUS PREMIS PERINDUSTRIAN YANG TERBIAR

Tahun: 2022

Sesi: 3

Isu: Perindustrian

Adun: Y.B. Tuan Syamsul Firdaus Bin Mohamed Supri

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah langkah menangani situasi kewujudan premis-premis di kawasan industri yang terbiar?

    Bagi menangani situasi kewujudan premis-premis di kawasan industri yang terbiar, PBT menggalakkan kerjasama dan usahasama antara pemilik tanah/ premis dengan pihak berkepentingan atau pelabur untuk bersama-sama mengusahakan pembangunan di kawasan berkenaan. Selain itu, PBT akan mengenal pasti faktor-faktor dan cara-cara untuk merangsang aktiviti-aktiviti ekonomi, memberi insentif atau memperkenalkan tarikan baru yang bersesuaian untuk pertumbuhan pembangunan kawasan berkenaan.

     

    PBT juga memantau status premis-premis di kawasan industri yang terbiar bagi mengelakkan kejadian longgokan sampah haram, kegunaan premis yang bertentangan dengan aktiviti yang dibenarkan dan juga pembayaran cukai taksiran.

  2. Adakah boleh jika ada pihak berminat untuk mengambil alih operasi premis-premis tersebut sama ada bagi aktiviti industri atau selainnya?

    Pihak yang berminat boleh mengambil alih operasi premis-premis tersebut selepas mendapat persetujuan pemunya tanah/ bangunan kilang yang berkenaan. Aktiviti yang akan dijalankan hendaklah selaras dengan klasifikasi gunatanah dalam Rancangan Tempatan PBT serta tertakluk kepada syarat-syarat yang dibenarkan.

  3. Apakah kaedah yang boleh diguna pakai dalam proses tersebut?

    Kaedah usahasama dengan pemilik tanah boleh digunakan. Selain itu, kaedah pembelian aset, pajakan premis / tanah atau penyewaan tanah untuk jangka panjang juga merupakan satu cara yang praktikal. Aktiviti yang dijalankan hendaklah mendapat kelulusan dan kebenaran daripada PBT terlebih dahulu sebelum memulakan pemajuan aktiviti di tapak.

Lampiran

Tiada Lampiran.