Mesyuarat Ketiga (Bajet) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022
23 - 25 November, 29 - 30 November, 1 - 2 Disember & 5 - 6 Disember 2022
67) KUAT KUASA AKTA PENGURUSAN STRATA 2013 (AKTA 757)
Tahun: 2022
Sesi: 3
Isu: Perumahan
Adun: Y.B. Tuan Halimey Bin Abu Bakar
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah penyelesaian yang dibuat oleh Kerajaan Negeri tentang hak milik strata yang masih belum pemilik dapat sedangkan mereka telah duduki lebih 20 tahun?
Untuk makluman Yang Berhormat, Kerajaan Negeri amat prihatin terhadap isu-isu berkenaan hakmilik strata yang masih belum dimiliki walaupun telah menduduki kediaman mereka melebihi tempoh 20 tahun. Kes-kes hak milik strata lewat dikeluarkan kebanyakan datangnya daripada pemaju yang telah dibubarkan atau tidak mempunyai dana yang cukup untuk memasukkan keseluruhan permohonan hak milik.
Tindakan Kerajaan Negeri pada masa ini adalah mengenal pasti masalah-masalah yang menyebabkan hakmilik strata lewat diperolehi secara berasingan mengikut punca permasalahan (case-by-case basis) contohnya skim pembangunan melibatkan liquidator yang memerlukan kajian dan tindakan penyelesaian ke atas hutang-hutang yang ditinggalkan pemaju asal seperti premium dan tunggakan cukai tanah. Kerjaan Negeri tidak sewenangnya akan melupuskan hutang pemaju asal, namun akan melihat faktor-faktor situasi menang-menang dengan meletakkan kepentingan kerajaan negeri dan pihak pembeli sehingga hakmilik dapat dikeluarkan.
Selain daripada itu, berdasarkan maklumat yang diperolehi daripada pembeli serta pihak Pesuruhjaya Bangunan (COB), satu pasukan petugas (task force) telah diwujudkan bagi menyelesaikan permohonan hakmilik strata yang bermasalah di negeri Selangor. Untuk makluman Yang Berhormat Seri Setia, fungsi pasukan petugas (task force) di PTGS adalah:-
- Membantu menyenaraikan skim – skim strata yang belum mendapat strata;
- Membantu dan menyelaras proses – proses yang perlu dalam permohonan hakmilik strata;
- Mengenalpasti masalah dan isu yang berkaitan dengan skim – skim yang tidak mempunyai strata;
- Membuat pemantauan terhadap skim – skim strata yang bermasalah; dan
- Melaksanakan tindakan penguatkuasaan seperti yang tertakluk di bawah seksyen 8, Akta Hakmilik Strata 1985.
Kes-kes yang melibatkan pemaju yang masih aktif, Kerajaan Negeri melalui PTGS boleh mengambil tindakan di bawah seksyen 8, Akta Hakmilik Strata 1985 terhadap mana-mana pemilik asal tanah atau pemaju yang gagal untuk mengemukakan permohonan hakmilik strata mengikut tempoh yang ditetapkan. Walau bagaimanapun, kelulusan permohonan hakmilik strata tersebut adalah tertakluk di bawah seksyen 10, Akta Hakmilik Strata 1985.