Mesyuarat Ketiga (Bajet) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022
23 - 25 November, 29 - 30 November, 1 - 2 Disember & 5 - 6 Disember 2022
65) PROGRAM PEMBANGUNAN MODAL INSAN PEMBASMIAN KEMISKINAN KAUM INDIA DAN PEKERJA LADANG
Tahun: 2022
Sesi: 3
Isu: Kebajikan
Adun: Y.B. Tuan Gunarajah A/l R George
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Berapa peratus belia, dewasa dan usia emas dalam golongan keluarga pekerja ladang?
Untuk makluman Yang Berhormat Sentosa, setakat ini tiada data khusus yang direkodkan oleh Kerajaan Negeri berhubung peratusan belia, dewasa dan usia emas dalam golongan pekerja ladang. Untuk makluman Yang Berhormat Sentosa dan ahli – ahli Yang Berhormat yang lain, Jawatankuasa Tetap Pekerja Ladang secara rasminya telah dimansuhkan pada tahun 2020 memandangkan kebanyakan ladang – ladang yang telah ditutup dan semakin berkurangan disebabkan oleh arus pembangunan yang pesat di negeri Selangor. Walau bagaimanapun, program – program sedia ada yang mensasarkan pekerja ladang, bekas pekerja ladang dan anak pekerja ladang masih diteruskan sehingga kini dan diletakkan di bawah Jawatankuasa Tetap Kerajaan Prihatin dengan beberapa penambahbaikan dan sasaran program adalah terbuka kepada seluruh masyarakat India.
-
Apakah ada apa-apa perbincangan Kerajaan Selangor dan majikan bagi menambah baik taraf ekonomi, pendidikan dan sosial golongan ini?
Sebagaimana pemansuhan Jawatankuasa Tetap Pekerja Ladang, Kerajaan Negeri Selangor yang terkenal sebagai negeri berkebajikan masih lagi mengambil perhatian dan menitikberatkan akan nasib keluarga pekerja – pekerja ladang dan bekas pekerja ladang.
Untuk makluman Yang Berhormat, sebelum ini Kerajaan Negeri Selangor di bawah Jawatankuasa Tetap Pekerja Ladang telah melaksanakan beberapa lawatan ke ladang – ladang dalam memastikan apa jua permasalahan dan isu – isu yang dibangkitkan oleh golongan pekerja ladang dapat diketengahkan dan diselesaikan secara baik. Antara masalah dan isu yang dapat diselesaikan melalui Jawatankuasa Tetap Pekerja Ladang pada ketika itu adalah melibatkan beberapa ladang seperti di Ladang Bukit Raja, Ladang Inch Kennath, Ladang Tumbok, Ladang Semenyih, Ladang Dominion, Ladang Dunnedin, Taman Permata Dengkil dan Ladang Bangi.
Secara keseluruhannya, Kerajaan Negeri akan terus membantu dan menjaga kebajikan pekerja ladang dan anak – anak pekerja ladang selaras dengan dasar – dasar Kerajaan Negeri sedia ada serta penguatkuasaan Undang – undang Buruh Di Malaysia : Akta Pekerja 1955. Selaras dengan akta berkenaan, Kerajaan Negeri turut mempunyai Estet Land Board (ELB) yang bertujuan untuk menyemak dan meluluskan apa – apa transaksi ladang yang mempunyai keluasan melebihi 100 ekar bagi tujuan pembangunan. Pertimbangan dan kelulusan ini juga akan mengambil kira fasiliti yang terdapat di dalam ladang berkenaan seperti sekolah, rumah ibadat, tapak perkuburan dan sebagainya. Ia adalah bagi membantu mereka untuk mendapat pembelaan yang sewajarnya demi memastikan mereka terus berdaya saing dan maju seiring dengan pembangunan negara yang semakin pesat membangun.
-
Bagaimanakah status kediaman pekerja yang telah bersara?
Saya berterima kasih kepada Yang Berhormat Sentosa di atas keprihatinan dalam bertanyakan soalan melibatkan kebajikan bekas – bekas pekerja ladang di Negeri Selangor. Untuk makluman Yang Berhormat Sentosa, pemilikan rumah sendiri menjadi satu keperluan dan aset terpenting bagi setiap keluarga. Justeru itu, tidak dinafikan isu perumahan adalah merupakan salah satu isu utama yang dihadapi oleh bekas – bekas pekerja ladang di Negeri Selangor yang sering dibangkitkan. Pekerja ladang dan bekas pekerja ladang boleh dikategorikan sebagai antara golongan yang miskin dan kurang berkemampuan. Sebilangan besar bekas – bekas pekerja ladang di negeri ini yang telah bersara daripada kerja – kerja sektor perladangan tidak mampu untuk memiliki rumah sendiri. Semasa khidmat mereka sebagai pekerja ladang, kebiasaannya majikan telah menyediakan kemudahan asas termasuklah kuarters perumahan di kawasan ladang selagi mana mereka masih berkhidmat di ladang tersebut dan kemudahan tersebut perlu dipulangkan semula selepas mereka telah bersara.
Dalam hal ini, Kerajaan Negeri melalui Estate Land Board (ELB) sentiasa berusaha dan berbincang bagi mendapatkan bantuan – bantuan seumpamanya untuk mengatasi masalah melibatkan pemilikan rumah kepada bekas – bekas pekerja ladang di kawasan ladang yang akan dibangunkan. Namun begitu, Kerajaan Negeri tidak dapat mengarahkan dan membantu secara mutlak berhubung semua isu pemilikan perumahan oleh pekerja ladang dan bekas – bekas pekerja ladang memandangkan terdapat perjanjian yang dipersetujui diantara majikan, pekerja ladang dan pemaju yang berkenaan adalah merupakan diluar kawalan Kerajaan Negeri. Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri melalui Estate Land Board senantiasa memohon bantuan perumahan pekerja ladang diwajibkan kepada setiap majikan dan pemaju bagi membela nasib bekas pekerja ladang yang terlibat.
Sebagai alternatif, Kerajaan Negeri melalui Lembaga Perumahan dan Hartanah (LPHS) diwujudkan khusus untuk membantu rakyat dengan tidak mengira kaum untuk mendapatkan sebuah aset kediaman dengan harga yang mampu milik. Permohonan bagi mendapatkan Rumah Selangorku adalah terbuka kepada seluruh rakyat di Negeri Selangor berdasarkan kelayakan.