Mesyuarat Ketiga (Bajet) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022
23 - 25 November, 29 - 30 November, 1 - 2 Disember & 5 - 6 Disember 2022
34) HARTANAH TIDAK TERJUAL
Tahun: 2022
Sesi: 3
Isu: Tanah & Sumber Alam
Adun: Y.B. Tuan Ronnie Liu Tian Khiew
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah tindakan Kerajaan Negeri untuk menyelesaikan isu hartanah tidak terjual di Selangor?
Secara dasarnya, isu hartanah tidak terjual ini diluar bidang kuasa Kerajaan Negeri kerana ia adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan. Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri tidak lepas tangan dengan mengambil langkah proaktif dengan menubuhkan satu jawatankuasa bagi melihat permasalahan ini.
Kerajaan Negeri melalui Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) telah menubuhkan satu (1) Jawatankuasa “Task Force” Khas Pemantauan dan Pelaksanaan Pelan Tindakan Kawalan Rumah Harga Bebas Yang Tidak terjual Di Dalam Negeri Selangor. Jawatankuasa ini dipengerusikan oleh Y.B. Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan dan Kesejahteraan Bandar dan dianggotai oleh pihak yang berkepentingan seperti wakil dari Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor (PTGS), Seksyen Pihak Berkuasa Tempatan, Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor (UPEN), Jabatan Penilaian dan Pekhimatan Harta 12 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Jabatan Penilaian Perkhidmatan Harta Malaysia (JPPH) dan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA).
Jawatankuasa ini akan melihat kepada isu-isu yang menjadi punca kegagalan unit-unit tidak terjual merangkumi maklumat jenis hartanah, bilangan unit yang tidak terjual, lokasi dan kedudukan hartanah, harga hartanah dan tempoh masa tidak terjual. Kemudian, jawatankuasa akan memberi pandangan / cadangan / mekanisme / penyelesaian kepada Ahli Lembaga Pengarah LPHS seterusnya kepada Kerajaan Negeri syor-syor / mekanisme yang bersesuaian dan praktikal atau mewujudkan dasar atau peraturan yang dapat menyelesaikan masalah hartanah yang tidak terjual ini kepada Kerajaan Negeri dari semasa ke semasa.
-
Adakah Kerajaan Negeri akan membenarkan pemaju memohon pelepasan kuota Bumiputera seperti diamalkan Negeri Perak?
Untuk makluman Yang Berhormat, Kerajaan Negeri telah melaksanakan pelepasan kuota Bumiputera sejak tahun 2011 lagi di mana Kerajaan Negeri melalui Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) telah mengeluarkan Pekeliling Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor Bilangan 1 Tahun 2011 berkenaan Mekanisma Penyelenggaraan Kuota Bumiputera Negeri Selangor.
Walau bagaimanapun, setelah hampir 8 tahun pelaksanaanya dan bagi memastikan agar dasar serta pekeliling ini lebih komprehensif, sistematik dan sesuai untuk diaplikasikan dengan keadaan semasa, maka pekeliling ini dibuat pindaan / penambahbaikan dan LPHS telah mengeluarkan Pekeliling terbaru iaitu Pekeliling Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor Bilangan 1 Tahun 2019 yang dinamakan sebagai Mekanisma Penyelenggaraan Kuota Bumiputera Negeri Selangor 2.0.
Untuk makluman Yang Berhormat juga proses pelepasan kuota Bumiputera melibatkan empat (4) peringkat pelepasan berdasarkan statistik jualan unit bukan Bumiputera, aktiviti promosi yang dijalankan serta kemajuan kerja di tapak.
Bagi setiap unit hartanah yang mendapat pelepasan kuota Bumiputera akan dikenakan bayaran balik potongan harga Bumiputera sebanyak 7% bagi hartanah kediaman dan 10% untuk hartanah perniagaan dan perindustrian.