Mesyuarat Ketiga (Bajet) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022

23 - 25 November, 29 - 30 November, 1 - 2 Disember & 5 - 6 Disember 2022

33) INSTITUT PEMBERDAYAAN PEKERJA DAN UNIT PEMBERDAYAAN PEKERJA

Tahun: 2022

Sesi: 3

Isu: Pekerjaan

Adun: Y.B. Tuan Shatiri Bin Mansor

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Berapakah peruntukan kewangan yang telah di salurkan sejak penubuhan dan untuk apakah ianya telah dibelanjakan?

    Untuk makluman Yang Berhormat Kota Damansara, Unit Pemberdayaan Pekerja Selangor (UPPS) adalah merupakan unit khas yang ditubuhkan di bawah Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan Pekerja dengan peranan untuk merancang, menyelaras, melaksana serta memantau program – program yang melibatkan jawatankuasa khusus untuk membantu para pekerja yang telah kehilangan pekerjaan di negeri Selangor semasa wabak pandemik Covid-19.

    Kerajaan Negeri telah memperuntukan sebanyak RM1 juta setahun dengan merangkumi kos – kos pengoperasian serta pelaksanaan program – program pembangunan khusus untuk membantu para pekerja yang telah kehilangan pekerjaan untuk terus mencari sumber pendapatan dan meningkatkan taraf sosio ekonomi mereka.

    Penubuhan UPPS secara rasminya adalah bermula pada Oktober 2021. Oleh yang demikian, tidak banyak program yang dapat dilaksanakan memandangkan tempoh waktu yang terhad namun UPPS pada tahun 2021 dapat memberi fokus kepada perancangan serta penelitian bagi menentukan halatuju Jawatankuasa dan jalinan kerjasama antara jabatan dan agensi yang berkaitan pada masa hadapan. Walau bagaimanapun, pada tahun 2021 sebahagian peruntukan masih digunakan secara efisien dengan penganjuran beberapa program pembangunan yang khusus bagi memberi manfaat kepada warga Selangor dalam usaha membantu mereka mendapatkan pekerjaan. Antara program-program tersebut adalah seperti berikut:

    1. Program Sistem Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan dengan usahasama Kolej Kings dengan penyertaan seramai 750 orang peserta dalam kalangan B40.
    2. Program Latihan dan Penempatan Pekerja dengan usahasama Kolej Kings dengan penyertaan seramai 30 orang peserta program dalam kalangan B40.
    3. Persidangan secara maya bersama Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melibatkan penyertaan seramai 100 orang peserta.
    4. Latihan pekerjaan dan penempatan segera dari kalangan B40 bersama usahasama AA Knowledge yang melibatkan penyertaan seramai 30 orang peserta.
    5. Karnival Kerjaya Maya bersama Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) melibatkan penyertaan seramai 100 orang peserta.
    6. Persidangan bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) melibatkan penyertaan seramai 140 orang peserta.
    7. Taklimat bersama Jobstreet berkenaan teknik carian kerja untuk golongan B40 melibatkan penyertaan seramai orang 150 peserta.

    Bagi tahun 2022 pula, UPPS giat merencana pelbagai lagi program dengan kerjasama persatuan, jabatan dan agensi terlibat bagi memastikan rakyat Selangor yang kehilangan pekerjaan dapat mencari sumber pendapatan yang baru khususnya melibatkan warga pekerja yang kehilangan pekerjaan semasa pandemik Covid -19.

    Untuk makluman Yang Berhormat Kota Damansara juga, sebarang penyaluran peruntukan tahunan tersebut tidak disalurkan terus kepada UPPS bagi membolehkan kawalan dan pemantauan di peringkat Pejabat EXCO bagi menilai keberkesanan program yang dilaksanakan serta sebarang kerjasama dan perjanjian dengan jabatan dan agensi luar perlu melalui Pejabat EXCO untuk kelulusan demi menjaga kebajikan rakyat secara keseluruhannya. Sehingga kini, sebanyak RM646,957.50 telah dibelanjakan bagi pelaksanaan program – program pembangunan berkenaan. Program – program yang telah di jalankan ini turut mendapat sambutan dan kerjasama baik dengan persatuan, badan – badan bukan kerajaan serta jabatan dan agensi awam dan swasta yang turut mempunyai program pemerkasaan pekerja masing – masing.

  2. Apakah usaha yang akan dibuat (jika ada) untuk memastikan agar tiada pertindihan fungsi kedua-dua unit tersebut?

    Selama tempoh pewujudan Unit Pemberdayaan Pekerja Selangor (UPPS) sebagai unit khas di bawah Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan Pekerja, tiada pertindihan fungsi dikenalpasti melibatkan Institut Pemberdayaan Pekerja Selangor (WISE). Walau bagaimanapun, UPPS tidak menolak sekiranya ada pertindihan fungsi ini boleh dijadikan sebagai suatu titik kerjasama di antara kedua – dua pihak untuk sama – sama berganding bahu mewujudkan inisiatif bagi memanfaatkan warga Selangor.

Lampiran

Tiada Lampiran.