Mesyuarat Ketiga (Bajet) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022

23 - 25 November, 29 - 30 November, 1 - 2 Disember & 5 - 6 Disember 2022

28) BANTUAN SIHAT SELANGOR

Tahun: 2022

Sesi: 3

Isu: Kesihatan

Adun: Y.B. Tuan Leong Tuck Chee

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Nyatakan cara-cara untuk memohon Bantuan Sihat Selangor.

    1. Kerajaan Negeri telah memperkenalkan Program Bantuan Sihat Selangor (BSS) bermula pada tahun 2009 yang bertujuan untuk membantu golongan kurang berkemampuan mendapatkan bantuan perubatan dan rawatan seperti rawatan dialisis, pembedahan kecil, rawatan katarak mata mahupun alatan perubatan seperti kaki palsu dan lain-lain.

     

    Bagi mendapatkan manfaat daripada bantuan ini, individu yang layak perlu membuat pendaftaran dan permohonan di laman sesawang www.bantuansihat.selangor.gov.my. Borang permohonan yang telah lengkap diisi perlu dicetak dan dikemukakan kepada Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) bersama dokumen sokongan yang telah ditetapkan. Tempoh kelulusan permohonan akan mengambil masa sekurang-kurangnya dua (2) minggu dari tarikh borang dikemukakan kepada pihak UPEN, tertakluk kepada dokumen sokongan yang dikemukakan haruslah lengkap dan memenuhi syarat ditetapkan.

     

    Namun, selari dengan perkembangan teknologi terkini dan dalam memastikan proses semakan dan kelulusan dapat dilaksanakan dengan lebih pantas, semua proses permohonan akan dilaksanakan secara atas talian bermula pada tahun hadapan. Ini bermakna pemohon tidak lagi perlu mengemukakan borang permohonan kepada pihak UPEN malah turut dapat menyemak status permohonan secara atas talian. Perincian berhubung perkara ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

  2. Nyatakan jumlah yang telah diperuntukkan pada tahun 2018, 2019, 2020, 2021 dan 2022.

    Sejak diperkenalkan pada tahun 2009 sehingga kini, Kerajaan Negeri Selangor sentiasa komited menjayakan program BSS melalui peruntukan tahunan bagi memastikan program berjalan dengan lancar. Untuk makluman Yang Berhormat, bagi tahun 2018 sehingga 2022, Kerajaan Negeri Selangor telah memperuntukkan sejumlah RM 5,000,000.00 (Ringgit Malaysia: Lima Juta) setiap tahun bagi program BSS ini.

Lampiran

Tiada Lampiran.