Mesyuarat Ketiga (Bajet) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022

23 - 25 November, 29 - 30 November, 1 - 2 Disember & 5 - 6 Disember 2022

20) DENGGI

Tahun: 2022

Sesi: 3

Isu: Kesihatan

Adun: Y.B. Puan Dr. Daroyah Binti Alwi

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah persediaan Kerajaan Negeri mengekang peningkatan wabak denggi mendepani ramalan cuaca lembap sekitar November 2022 hingga Mac 2023?

    Negeri Selangor sering merekodkan kes demam denggi tertinggi di Malaysia dan situasi ini sangat membimbangkan. Antara faktor utama yang menyumbang kepada peningkatan ini adalah seperti tahap kebersihan persekitaran lorong belakang rumah, kebun haram, rumah kosong dan tanah-tanah kosong di samping sikap masyarakat itu sendiri yang kurang mengambil berat akan bahaya nya akibat demam denggi.

    Untuk makluman Ahli-ahli Yang Berhormat, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh Kerajaan Persekutuan dalam mengekang penularan Covid-19 secara tidak langsung telah memberi perkembangan positif terhadap kes denggi di Malaysia apabila bilangan kes yang direkodkan ketika itu menurun dengan mendadak berbanding tahun sebelumnya. Faktor utama trend penurunan ini berlaku adalah disebabkan pergerakan masyarakat yang terhad semasa tempoh PKP seterusnya menyebabkan kadar risiko dijangkiti nyamuk aedes demam turut rendah. Setelah PKP tamat serta sektor sosial dibuka seperti sedia kala, kadar kes harian demam denggi semakin menunjukkan peningkatan yang membimbangkan. Sebagai contoh, pada minggu epidemiologi (ME) 46 iaitu bagi tempoh 13 November 2022 hingga 19 November 2022, sejumlah 31,822 kes demam denggi dilaporkan sehingga ME 46 yang berakhir pada 19 November 2022 iaitu peningkatan sebanyak 131.5% (18,077 kes) berbanding minggu yang sama tahun 2021 (13,745 kes). 8 kes kematian dilaporkan dalam tempoh ini berbanding 2 kes kematian pada tempoh yang sama tahun lepas.

    Selain itu juga, perubahan cuaca juga adalah salah satu faktor kepada peningkatan kes demam denggi. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah menyifatkan bahawa perubahan iklim yang berlaku di seluruh dunia adalah salah satu daripada punca mengapa kes-kes denggi ini telah meningkat pada masa sekarang. Justeru itu, sebagai langkah mengawal peningkatan kes demam denggi terutamanya pada musim tengkujuh dan lembap yang telah bermula sejak awal November lalu, Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) telah mengadakan Program Gotong-Royong Mega Perangi Aedes di sekitar lokaliti hotspot di negeri Selangor.

    Program Gotong-Royong Mega Perangi Aedes Peringkat Negeri Selangor Tahun 2022 telah diadakan sebanyak 2 sesi dengan sesi pertama adalah bulan Jun manakala yang terbaharu pada 29 Oktober 2022 bertempat di Seksyen 5, Bandar Rinching, Semenyih. Usaha pembersihan persekitaran adalah bagi memusnahkan tempat berpontensi pembiakan nyamuk Aedes seperti tempat takungan air di mana air akan banyak bertakung terutamanya pada musim hujan.

    Selain bertujuan membersihkan kawasan pembiakan, program seumpama ini juga berjaya meningkatkan tahap advokasi dan kesedaran masyarakat setempat akan kepentingan penjagaan kebersihan persekitaran melalui penglibatan bersama dalam aktiviti gotong royong. Ini secara tidak langsung menjadikan komuniti itu sendiri sebagai komponen penting dalam pengawalan dan pencegahan denggi di negeri Selangor. Antara langkah pencegahan yang boleh dilakukan oleh masyarakat adalah pemakaian baju lenggan panjang semasa waktu siang dan malam bagi mengelakkan gigitan nyamuk Aedes.

  2. Selain usaha sedia ada, apakah sebarang perancangan baru Kerajaan Negeri dalam usaha memerangi Aedes?

    Peningkatan kes demam denggi di Selangor merupakan suatu isu yang lama dan masih lagi tiada jalan penyelesaian yang tuntas dalam menangani nya. Dalam mendepani cabaran ini, Kerajaan Negeri menyedari bahawa kerjasama dan komitmen yang jitu dan berterusan oleh semua pihak berkepentingan adalah sangat penting.

    Selain daripada program dan aktiviti sedia ada seperti program penghapusan tempat pembiakan aedes secara berkala oleh PBT dan PKD, Kerajaan Negeri juga telah melaksanakan inisiatif penggunaan racun Bacilus Thuringiensis Israelensis (BTI) di kawasan hotspot dan penggunaan dron bagi tujuan pengawalan dan pencegahan denggi di kawasan yang sukar dicapai seperti kawasan bumbung rumah.

    Untuk makluman Yang Berhormat, BTI adalah sejenis bakteria untuk menghapus larvaciding yang memberi kesan dalam tempoh masa yang panjang iaitu dalam tempoh 3 bulan dan digunakan secara berkala.  Penggunaan BTI adalah syor daripada pihak Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) berikutan tahap kerintangan nya yang rendah. Sehingga 31 Oktober 2022, Kerajaan Negeri telah menyediakan sebanyak 2,000 kilogram racun BTI kepada 10 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri Selangor dalam usaha menggalakkan penggunaan BTI di kawasan hotspot dan kawasan awam.

    Berhubung perancangan baharu, Kerajaan Negeri dalam pertimbangan bagi penyediaan pemetaan bersepadu lokaliti titik panas (hotspot). Peta ini akan digunakan oleh semua agensi berkaitan di negeri Selangor bagi tujuan pengesanan awal lokaliti hotspot denggi supaya tindakan pencegahan segera dapat diambil oleh agensi yang berkaitan.

    Selain itu, Kerajaan Negeri sentiasa mengalakkan penglibatan Sukarelawan Kesihatan Komuniti Selangor (SUKA) dalam usaha membantu memerangi wabak denggi selaras dengan objektif penubuhan SUKA itu sendiri iaitu membantu Kerajaan Negeri mewujudkan sebuah komuniti yang sihat sejahtera melalui aktiviti kempen dan promosi kepada orang awam. Sebagai contoh, SUKA akan mengedarkan repellent kepada orang awam khususnya di kawasan wabak denggi bagi mengalakkan penggunaan repellent untuk memusnahkan nyamuk Aedes.

Lampiran

Tiada Lampiran.