Mesyuarat Ketiga (Bajet) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022

23 - 25 November, 29 - 30 November, 1 - 2 Disember & 5 - 6 Disember 2022

17) PELABURAN DAN KEMELESETAN EKONOMI

Tahun: 2022

Sesi: 3

Isu: Pelaburan

Adun: Y.B. Tuan Edry Faizal Bin Eddy Yusof

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah usaha kerajaan untuk meningkatkan pelaburan bagi tahun 2023 sedang dunia berdepan ramalan akan berlakunya kemelesetan ekonomi?

    Antara usaha Kerajaan untuk meningkatkan pelaburan bagi tahun 2023 seperti berikut;

    1.0 Perancangan Strategik;

    1.1 Rancangan Selangor Pertama (RS-1) 2021 – 2025

    Rancangan Selangor Pertama (RS-1) berfungsi sebagai pelan rancangan pembangunan lima tahun secara menyeluruh bagi Negeri Selangor. Pelan ini dirangka berpandukan strategi dan inisiatif jangka pendek, sederhana dan panjang bagi mencapai visi untuk menjadikan Selangor sebagai sebuah negeri pintar, makmur dan berdaya huni menjelang tahun 2025. Antara teras utama yang diberikan penumpuan seperti pengukuhan ekonomi, peningkatan kesejahteraan hidup dan keterangkuman sosial, pemacuan kelestarian serta SMART dan tadbir urus berkesan.

    Dalam teras ekonomi, Kerajaan Negeri mensasarkan beberapa halatuju seperti;-

    1. Peningkatan pertumbuhan KDNK;
    2. Meningkatkan nilai pelaburan dalam sektor keutamaan; dan kompleksiti tinggi;
    3. Meningkatkan peluang pekerjaan;
    4. Meningkatkan kadar penembusan jalur lebar tetap.

    Beberapa projek pembangunan fizikal telah dikenalpasti akan dilaksanakan oleh pihak pemaju swasta dibawah Rancangan Selangor Pertama ini melibatkan pembangunan dalam sektor pelancongan, komersil atau perniagaan dan industri. Kerajaan Negeri yakin, apabila projek – projek ini dilaksanakan kelak, ianya mampu untuk menarik dan meningkatkan pelaburan asing serta menggalakkan penambahan pelaburan oleh pelabur sedia ada di Negeri Selangor.

    1.2 Penubuhan Jawatankuasa Petugas Khas Pembangunan Serantau Bersepadu Di Selangor Selatan (Integrated Development Region In South Selangor (IDRISS).

    Dalam usaha merancakkan pembangunan ekonomi dan hartanah, Kerajaan Negeri telah menubuhkan Jawatankuasa Pasukan Petugas Perlaksanaan Projek Pembangunan IDRISS yang melibatkan daerah Sepang dan Kuala Langat.

    Penubuhan Jawatankuasa Pasukan Petugas Perlaksanaan Projek Pembangunan ini secara langsung akan berperanan sebagai pemudah cara dan penyelaras dalam membantu merealisasikan perlaksanaan cadangan pembangunan projek disamping membantu menyelesaikan isu – isu yang berbangkit.

    1.3 Pelan Tindakan Bioteknologi Selangor (Selangor Biotechnology Action Plan).

    Perancangan yang holistik akan digarap sebaik mungkin bagi memperkasakan pertumbuhan industri terpilih seperti bidang Bioteknologi yang amat berpotensi untuk berkembang di Selangor. Pelan Tindakan Bioteknologi Selangor yang diterbitkan akan menggariskan perancangan pembangunan secara komprehensif bagi memacu pertumbuhan industri bioteknologi di Negeri Selangor disamping menyediakan Negeri Selangor sebagai lokasi pelaburan utama di rantau Asia Tenggara.

    Bagi melaksanakan perancangan pembangunan dalam industri bioteknologi, Kerajaan Negeri telah mewujudkan sebuah divisyen khusus yang dikenali sebagai Selangor Bioteknologi Coordination Office (SBIOCO) yang diletakkan dibawah Invest Selangor. Divisyen baru ini akan berperanan untuk menyelaras pembangunan projek – projek berasaskan bioteknologi di Negeri Selangor dan juga pembangunan ekosistem industri berkenaan.

    1.4 Penubuhan Majlis Industri Rel Negeri Selangor

    Kerajaan Negeri menubuhkan Majlis Industri Rel Negeri Selangor bagi memastikan industri ini diberi perhatian kerana industri ini dilihat mampu memberikan impak yang besar kepada ekonomi Selangor pada masa akan datang.

    Penubuhan Majlis Industri Rel Negeri Selangor adalah bagi memastikan inisiatif – inisiatif pembaharuan strategik menjadi asas yang penting kepada agenda pemakmuran negeri dan peningkatan kualiti kehidupan.

    Objektif penubuhan majlis ini adalah untuk;-

    1. Memberikan dokongan kepada pengukuhan perkembangan industri rel di Negeri Selangor;
    2. Memberikan pandangan kepada Kerajaan Negeri tentang halatuju indutsri rel di negeri Selangor;
    3. Membangunkan ekosistem industri rel di negeri Selangor;
    4. Menjadikan industri rel di Selangor sebagai salah satu industri yang memberi impak besar kepada ekonomi negeri.

    Majlis yang ditubuhkan ini berperanan untuk;-

    1. Meningkatkan potensi pelaburan di dalam industri rel dan mewujudkan peluang-peluang pekerjaan di Selangor;
    2. Merancang dan merangka program-program pembangunan dan promosi industri rel di negeri Selangor.

    2.0 Pelaksanaan Program Promosi Penggalakkan Pelaburan

    Program – program promosi pelaburan seperti misi lawatan penggalakkan pelaburan ke luar negara, libat urus, perbincangan, webinar, promosi dan pengiklanan dalam media cetak mahupun elektronik secara berterusan dilaksanakan dari masa ke semasa dalam usaha menarik pelaburan baru serta mengekalkan pelaburan sedia ada.

    2.1 Program Promosi Penggalakkan Pelaburan.

    Melalui program – program menarik pelaburan seperti Trade & Investment Mission secara fizikal dan virtual terus diperkukuhkan lagi disamping penekanan kepada industri tumpuan seperti Sains Hayat (Life Sciences), Pembuatan Makanan & Minuman (Food & Beverages), Pembuatan Produk Elektrik & Elektronik (Electrical & Electronic), Kelengkapan Pengangkutan (Transport Equipment) serta Mesin dan Peralatan (Machinery & Equipment) yang dilihat sebagai industri yang semakin berkembang di Selangor.

    Selain daripada itu, terdapat 2 industri baru turut dikenalpasti dan berpotensi melonjakkan Selangor sebagai destinasi pelaburan seperti Perkhidmatan Logistik (Logistic Services) dan Digital Investment seperti Global Business Services (GBS), Data Centre serta Creative Content Technology.

    2.2 Selangor International Business Summit (SIBS)

    Selangor International Business Summit adalah program pameran perdagangan dan persidangan peringkat antarabangsa yang diadakan setiap tahun oleh Kerajaan Negeri melalui Invest Selangor.

    Objektif penganjuran program ini untuk mempromosikan Negeri Selangor sebagai Hub Perdagangan Global dirantau ASEAN dan juga memberi peluang kepada syarikat-syarikat tempatan dan asing untuk mempamerkan produk dan perkhidmatan serta memberi peluang untuk menjalinkan hubungan kerjasama perniagaan untuk kepentingan bersama.

    Program ini dapat memberi peluang kepada pengusaha tempatan untuk meneroka pasaran luar negara serta mewujudkan komuniti perdagangan antara Selangor dan Negara-Negara luar serta menjadikan Selangor sebagai destinasi pelaburan serta hub perdagangan bagi rantau ASEAN.

    Selangor International Business Summit 2022 (SIBS 2022)’ yang merupakan edisi keenam telah diadakan pada 6 – 9 Oktober 2022 bertempat di Kuala Lumpur Convention Centre, Kuala Lumpur.

    SIBS 2022 telah berjaya mendapatkan penglibatan syarikat dalam dan luar negara untuk membuka gerai pameran. Sebanyak 906 gerai pameran daripada 623 syarikat telah direkodkan terlibat sebagai pempamer pada SIBS 2022.

    Sebanyak 60 negara telah terlibat di dalam SIBS 2022 sama ada sebagai pempamer, pembeli antarabangsa (International Buyer), penceramah persidangan, peserta seminar, pengunjung pameran dan sebagainya.

    Antara negara – negara yang terlibat seperti USA, Australia, UK, Spain, The Netherlands, Italy, Germany, Canada, Czech Republic, Uzbekistan, Japan, Korea, Taiwan, Hong Kong, Egypt, UAE, Singapore, Thailand, Vietnam, Indonesia dan beberapa negara lagi.

    Antara komponen – komponen program SIBS 2022 seperti berikut:

    1. Selangor International Expo (F&B)
    2. Selangor International Expo (MEDIC)
    3. Selangor Industrial Park Expo (SPARK)
    4. Selangor ASEAN Business Conference (SABC)
    5. Selangor Smart City and Digital Economy (SDEC)
    6. Selangor R&D and Innovation Expo (SRIE)

    Seramai 44,342 pelawat telah direkodkan mengunjungi pameran dan persidangan yang diadakan ini dimana sebanyak 25% adalah pengunjung awam dan sebanyak 75% adalah pengunjung perniagaan (trade visitors).

    Program SIBS 2022 ini telah merekodkan potensi transaksi perniagaan bernilai RM 1.45 bilion.

    Program pameran dan persidangan yang diadakan secara tahunan ini akan diteruskan dengan cadangan penganjuran SIBS 2023 yang dijadualkan pada Oktober 2023 bertempat di Kuala Lumpur Convention Centre, Kuala Lumpur.

    2.3 Selangor Aviation Show (SAS)

    Selangor Aviation Show (SAS) merupakan program pameran yang melibatkan pemain – pemain dalam industri aero angkasa. Program pameran ini telah diadakan pada 8 – 10 September 2022 bertempat di Subang Skypark RAC, Subang, Selangor.

    Program pameran ini diadakan bertujuan untuk;-

    1. Mempromosikan aktiviti Penerbangan Perniagaan dan Penerbangan Am (Business Aviation dan General Aviation) di Selangor.
    2. Mempromosikan Subang sebagai hab aktiviti Business Aviation dan General Aviation.
    3. Menjadi platform bagi syarikat-syarikat perusahaan sederhana dan kecil tempatan untuk mempromosikan produk dan perkhidmatan mereka serta berpeluang untuk meneroka kerjasama dengan syarikat luar

    Selangor Aviation Show (SAS 2022) yang diadakan telah menarik penyertaan sebanyak 124 gerai pameran daripada 66 buah syarikat samada dari dalam dan luar negara. Antara negara – negara luar yang terlibat dalam pemeran ini seperti;-

    1. Singapura
    2. United Kingdom
    3. China
    4. France
    5. Nigeria
    6. Brazil
    7. South Korea
    8. USA
    9. Czech Republic
    10. Hong Kong
    11. Switzerland

    Seramai 10,563 pengunjung telah direkodkan yang terdiri daripada pengunjung awam (Public Visitors) dan juga Pengunjung Perniagaan (Trade Visitors).

    Sejumlah RM 1.174 bilion potensi transaksi telah direkodkan sepanjang pameran ini diadakan.

    Program-program sampingan turut diadakan bersempena Selangor Aviation Show 2022 yang meliputi sesi panel dan fórum, pembentangan dari pemain utama industri dan sesi pengenalan produk dan perkhidmatan oleh syarikat – syarikat pempamer yang berjumlah sebanyak 37 sesi panel dan fórum.

    Turut diadakan juga ‘EDU Open Day’ yang menyasarkan pengunjung dari kalangan pelajar sekolah, universiti dan akademi latihan yang bertujuan untuk memberikan pendedahan terhadap industri aeroangkasa dan penerbangan.

    Program pameran yang diadakan secara tahunan ini akan diteruskan dengan cadangan penganjuran SAS 2023 yang dijadualkan pada September 2023 bertempat di RAC Skypark, Subang.

    2.4 Menggalakkan Pembukaan Kawasan Perindustrian Yang Kondusif

    Menggalakkan pembukaan kawasan – kawasan Perindustrian baru yang berkonsepkan Managed Industrial Park (MIP) bagi menyediakan keperluan kawasan perindustrian baru yang kondusif oleh pihak pelabur.

    2.5 Program – Program Libat Urus, Menyantuni Pelabur & Penyelesaian Isu – Isu Pelaburan.

    Program – program networking dan sesi pertemuan dan perbincangan bersama pelabur secara fizikal dan virtual sentiasa dilaksanakan dari masa ke semasa menyantuni pelabur yang sedia ada di Negeri Selangor. Mesyuarat atau perbincangan diadakan setiap bulan bagi membantu menyelesaikan isu – isu pelaburan yang berbangkit.

    Program menyantuni pelabur yang diadakan secara berterusan ini dapat mewujudkan suasana pelaburan harmoni di Selangor bagi menggalakkan pelaburan baru atau penambahan / pengembangan pelaburan sedia ada.

    2.6 Insentif – Insentif Pelaburan Baru.

    Kerajaan Negeri telah meluluskan beberapa insentif – insentif yang boleh diberikan oleh Kerajaan Negeri dalam usaha menarik pelaburan ke Negeri Selangor dan akan diumumkan kaedah perlaksanaannya sedikit waktu lagi.

Lampiran

Tiada Lampiran.