Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2022

25 Julai - 29 Julai 2022 dan 01 Ogos - 05 Ogos 2022 (Isnin - Jumaat dan Isnin - Jumaat)

175) PENCEMARAN UDARA

Tahun: 2022

Sesi: 2

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Tuan Zakaria Bin Hanafi

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah tindak yang di ambil oleh Jabatan Alam Sekitar terhadap kilang-kilang ( kilang baja ) yang mengeluarkan bau yang menyebabkan pencemaran bau di kawasan Eco Majestic Semenyih?

    Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Selangor mengambil serius setiap aduan berkaitan pencemaran alam sekitar yang berlaku di Negeri Selangor. Berhubung dengan aduan pencemaran bau di kawasan Eco Majestic Semenyih dan juga kawasan sekitarnya, tindakan JAS adalah seperti berikut:

    • Siasatan telah dilaksanakan pada 16 Jun 2022 mendapati bau tersebut berpunca dari premis pembuatan makanan haiwan yang terletak di Kawasan Perindustrian Mahkota, Beranang, Selangor.

     

    • Pada 28 Jun 2022, siasatan susulan dilaksanakan mendapati pihak premis masih gagal mematuhi arahan JAS dan seterusnya tindakan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) dibawah Seksyen 38 (1) (b) (i) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (AKAS 1974) telah diambil terhadap premis.

     

    • Pihak premis telah diarahkan untuk mengambil tindakan segera iaitu :
      • Mempertingkatkan keberkesanan sistem kawalan pencemaran udara sedia ada.
      • Memasang alat kawalan pencemaran udara tambahan kepada sistem sedia ada.
      • Meningkatkan amalan kebersihan tempat kerja (housekeeping) bagi mengawal pencemaran bau dari punca lepasan fugitif (fugitive emission) di dalam premis.

     

    • Pihak premis telah mengambil tindakan segera dengan mengurangkan operasi pengeluaran kepada separuh kapasiti sebenar dan melantik perunding bagi merekabentuk alat kawalan pencemaran udara tambahan.

     

    • JAS juga telah menghubungi wakil penduduk di kawasan Eco Majestic serta memaklumkan tindakan yang telah diambil dan langkah-langkah pengurangan pencemaran bau yang telah dilaksanakan oleh pihak premis.

     

    • JAS akan menjalankan penguatkuasaan berterusan bagi memastikan operasi premis sentiasa mematuhi AKAS 1974.

Lampiran

Tiada Lampiran.