Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2022

25 Julai - 29 Julai 2022 dan 01 Ogos - 05 Ogos 2022 (Isnin - Jumaat dan Isnin - Jumaat)

158) EKONOMI IKS DAN PENJAJA

Tahun: 2022

Sesi: 2

Isu: Kewangan & Ekonomi

Adun: Y.B. Datuk Rizam Bin Ismail

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah perancangan Kerajaan Negeri dan pihak PBT dalam menyelaras para penjaja tepi jalan yang makin bertambah?

    Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam usaha mempermudah dan mempercepatkan kelulusan Lesen Penjaja Sementara sama ada secara manual atau dalam talian. PBT juga telah diminta untuk membantu para peniaga mengenal pasti tapak/ lokasi yang lebih banyak dan sesuai untuk dijadikan tapak penjaja sementara. Ini bagi memastikan kawalan keselamatan dan laluan trafik adalah terkawal dan mengelakkan kacau ganggu kepada masyarakat sekitar.

  2. Nyatakan inisiatif pembiayaan Kerajaan Negeri dalam membantu usahawan Mikro dan IKS?

    Dalam usaha membantu dan memantapkan usahawan Mikro dan IKS di Selangor, Kerajaan Negeri melalui agensi – agensi yang berkaitan telah merangka dan melaksanakan berbagai inisitif sama ada dalam bentuk kewangan, latihan dan pembangunan khusus untuk memantapkan lagi usahawan – usahawan di Selangor.

    Dalam usaha membantu usahawan dalam menghadapi era digitalisasi ketika ini, Kerajaan Negeri melalui Selangor Information Technology & Digital Economy Corporation (SIDEC) telah melaksanakan beberapa program – program pemantapan usahawan dari aspek penggunaan teknologi maklumat dan perniagaan secara atas talian (Online).

    Untuk tahun 2022, SIDEC kekal melaksanakan dan menambah baik program-program berkaitan e-dagang, startup dan pendigitalan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

    Antara program yang dijalankan pada tahun ini adalah Selangor E-Commerce (EC) Education Programme, Jelajah Usahawan Digital Selangor dan Selangor E-Commerce Onboarding Programme.

    Selangor E-Commerce (EC) Education Programme merupakan pemberian kemahiran (skilling), pelaksanaan peningkatan kemahiran (upskilling) dan latihan semula (reskilling) untuk para peniaga yang menceburi bidang e-dagang buat pertama kali.

    Jelajah Usahawan Digital Selangor pula merupakan salah satu inisiatif di bawah Kerajaan Negeri Selangor melalui Sidec dengan tujuan untuk memberikan pendedahan kepada warga Selangor mengenai dunia digital dan memberi khidmat bantuan serta dorongan kepada syarikat tempatan di Selangor yang ingin mula melibatkan diri dalam industri e-dagang.

    Selangor E-Commerce Onboarding Programme merupakan kesinambungan daripada program Online 100 & Brands 100 yang membekalkan solusi penuh e-dagang dan sokongan kepada PKS untuk mengadaptasi dan menyertai (adoption and onboarding) bidang digitalisasi dan e-dagang serta meningkatkan penjenamaan perniagaan atas talian melalui penyediaan kedai di laman web perniagaan sedia ada (webstore) dan pembangunan laman web e-dagang (website) yang lengkap dengan domain, cloud, hosting, shopping cart, dan payment gateway.

    Selain itu bantuan dari segi kemahiran, Kerajaan Negeri melalui Hijrah Selangor juga turut menyediakan bantuan berbentuk kewangan dibawah program Mikro Kredit Bersepadu untuk usahawan – usahawan Mikro yang memerlukan. Kerajaan Negeri juga turut membantu usahawan – usahawan untuk mengembangkan pasaran produk melalui penglibatan usahawan dalam program pameran bertaraf antarabangsa seperti Selangor International Business Summit (SIBS) yang dianjurkan setiap tahun.

Lampiran

Tiada Lampiran.