Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2022

25 Julai - 29 Julai 2022 dan 01 Ogos - 05 Ogos 2022 (Isnin - Jumaat dan Isnin - Jumaat)

144) TEKNOLOGI DRONE

Tahun: 2022

Sesi: 2

Isu: Sains, Teknologi & ICT

Adun: Y.B. Tuan Mohd Sany Bin Hamzan

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah Kerajaan Selangor bercadang untuk memperkembangkan teknologi drone kepada masyarakat terutama kepada generasi muda dengan menyediakan insentif dan kawasan operasi kepada syarikat-syarikat swasta yg berminat melabur dalam bidang tersebut? Teknologi drone sekarang diguna pakai bukan sahaja di bidang ketenteraan, pengawasan, bahkan dalam bidang pertanian.

    Penggunaan teknologi moden merupakan salah satu faktor utama untuk meningkatkan produktiviti dan pendapatan pelbagai industri bagi mencapai pengeluaran yang lebih mampan. Kita dapat melihat penggunaan dron di lima sektor yang telah diklasifikasikan dalam Rancangan Malaysia ke-dua Belas (RMKe-12) sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi. Iaitu sektor perkhidmatan (termasuk pemeriksaan serta pemantauan aset, pengangkutan khas luar bandar), pembuatan, pertanian, perlombongan dan pembinaan.

     

    Apa yang kita dapat lihat adalah pengunaan dron sekarang bukan sahaja untuk aktiviti-aktiviti rekreasi malah digunakan untuk aktiviti seperti pengawasan banjir seperti mana yang berlaku sewaktu banjir di negeri ini pada tahun lepas. Di dalam Pelan Tindakan Khusus Industri Aeroangkasa 2020 – 2030, salah satu objektif yang ingin dicapai adalah mengaspirasikan dalam kalangan belia tentang kepentingan industri aeroangkasa melalui perkara seperti pembangunan teknologi dron.

     

    Sebagai bukti Kerajaan Negeri mengambil langkah yang lebih serius tentang pembangunan dron di negeri Selangor adalah dengan meluluskan di dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) cadangan pembangunan Selangor Drone Centre of Excellence (SDCoE) di Universiti Selangor (UNISEL) kampus Bestari Jaya. SDCoE berobjektif untuk membangun dan mempromosi industri dron di Selangor sebagai hab utama atau “One Stop Centre” bagi semua aktiviti dron di rantau ASEAN seperti:

     

    • Research and Design (R&D)
    • Drone Artificial Intelligent Development (AI)
    • Testing bed and Command centre
    • Pilot licensing
    • MRO (Maintenance repair and overhaul) bagi dron
    • Recreational flying dan Drone racing dalam pertimbangan
    • Coworking space

     

    Di dalam cadangan pembangunan SDCoE adalah co-working space di mana syarikat – syarikat dron boleh berkongsi ruang pejabat, dan infrastruktur yang sama, sekaligus menjimatkan kos operasi syarikat – syarikat tersebut. Syarikat – syarikat ini juga dapat bekerjasama dengan Kerajaan Negeri dan pihak universiti untuk membangunkan program ataupun kursus – kursus yang memenuhi syarat yang diperlukan bagi seseorang melibatkan diri dalam sektor dron dan sejurusnya memupuk minat dalam kalangan belia untuk menceburi sektor ini.

     

    Tambahan pula, salah satu rangka kerja pembangunan Selangor Drone CoE adalah mengenalpasti pangkalan-pangkalan dan laluan udara dron supaya dron digunapakai dengan selamat dan efektif.  Hal ini dapat menjadi negeri Selangor sebagai negeri mesra pembangunan dron. Pusat pengawasan dron-dron di negeri Selangor juga akan terletak di Selangor Drone CoE.

     

    Bagi memastikan kelancaran pembangunan CoE ini, Kerajaan Negeri Selangor melalui Menteri Besar Selangor (PEMERBADANAN) telah menubuhkan  Selangor Aviation Technology & Innovation Sdn. Bhd (SELATI).

     

    Penubuhan SELATI adalah sejajar dengan perkembangan semasa  aeroangkasa dimana adanya potensi dan peluang untuk kerajaan negeri turut memainkan peranan dalam merancakkan industri ini. SELATI bukan sahaja akan terlibat di dalam pembangunan CoE dron ini bahkan akan turut melihat lain-lain peluang pelaburan seperti aktiviti pembuatan, pembangunan kawasan industri aeroangkasa serta pembangunan modal insan.

     

    Pembangunan SDCoE merupakan kerjasama antara pihak SELATI, Invest Selangor Berhad melalui divisyen Selangor Darul Ehsan Aerospace Industry Coordination Office (S-DAICO) dan juga pihak UNISEL. Peranan kerjasama yang berbentuk model Triple Helix ini adalah supaya program insentif dapat dirangka untuk menggalakkan pelaburan dan penglibatan syarikat swasta serta koperasi dan persatuan di dalam sektor dron.

Lampiran

Tiada Lampiran.