Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2022

25 Julai - 29 Julai 2022 dan 01 Ogos - 05 Ogos 2022 (Isnin - Jumaat dan Isnin - Jumaat)

134) SEMAKAN SEMULA NILAI PEMBERIAN DI BAWAH SKIM MESRA USIA EMAS/OKU (SMUE)

Tahun: 2022

Sesi: 2

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Tuan Mazwan Bin Johar

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Mengambil kira keadaan kenaikan harga barang semasa dan kadar penggunaan kupon yang rendah daripada kalangan penerima SMUE maka bolehlah disimpulkan bahawa pemberian kupon bernilai RM100 kurang mendapat sambutan dan bernilai kecil dalam keadaan sekarang. Tidakkah Kerajaan Negeri bercadang untuk menyemak semula dan menambah nilai pemberian kupon ini agar lebih memberi manfaat dan menzahirkan keperihatinan Kerajaan Negeri terhadap nasib rakyat?

    Untuk Makluman Yang Berhormat Sungai Ramal, bermula September 2019, program Jom Shopping Skim Mesra Usia Emas (SMUE) dilaksanakan dimana ahli SMUE yang masih hidup menerima manfaat baucar beli-belah bernilai RM100.00 setiap tahun pada bulan kelahiran mereka.

    Pada ketika ini, Kerajaan Negeri masih mengekalkan nilai baucar kepada RM100 kepada setiap penerima. Bagi tahun 2022, Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) selaku pelaksana bagi program ini telah menganggarkan jumlah penerima sebanyak 196,000 orang dengan implikasi kewangan sebanyak RM19.6 Juta bagi pemberian baucar Jom Shopping SMUE. Sebarang kenaikan baucar akan melibatkan bajet yang besar kerana jumlah penerima yang ramai di seluruh Negeri Selangor dan peningkatan bajet ini perlu diselaraskan di peringkat Kerajaan Negeri.

    Disamping itu, manfaat selepas kematian ahli SMUE turut diwujudkan dimana setiap ahli SMUE yang meninggal dunia, waris akan menerima wang khairat kematian bernilai RM500.00. Oleh yang demikian, sehingga kini, terdapat dua (2) manfaat di bawah skim ini iaitu:

    1. Manfaat semasa hidup – pemberian baucar beli-belah RM100.00 setiap tahun pada bulan kelahiran ahli; dan
    2. Manfaat selepas kematian – pemberian wang khairat kematian dalam tempoh 6 bulan dari tarikh kematian sebanyak RM500.00 kepada waris sekiranya ahli meninggal dunia.

Lampiran

Tiada Lampiran.