Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2022

25 Julai - 29 Julai 2022 dan 01 Ogos - 05 Ogos 2022 (Isnin - Jumaat dan Isnin - Jumaat)

47) PERUMAHAN STRATA JMB/MC

Tahun: 2022

Sesi: 2

Isu: Perumahan

Adun: Y.B. Tuan Shatiri Bin Mansor

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah usaha kerajaaan untuk membantu pihak pengurusan yang mengalami masalah kekurangan kutipan sewa ?

    Untuk pemahaman Yang Berhormat, tiada aktiviti kutipan sewa bagi kediaman berstrata yang diurus oleh Badan Pengurusan Bersama (JMB) atau Perbadanan Pengurusan (MC). Kutipan yang dibuat daripada pemilik petak adalah bayaran yuran penyelenggaraan sahaja.

    Bagi menjawab persoalan berkaitan kutipan yuran penyelenggaraan, Kerajaan Negeri melihat tiga aspek utama dalam membantu JMB/MC yang bermasalah dari segi kewangan iaitu (i) aspek ekonomi dan (ii) aspek sosial.

    (i)         Aspek Ekonomi

    Kerajaan negeri telah memperkenalkan program-program yang dapat membantu meningkatkan sumber kewangan badan pengurusan pangsapuri terutama kos rendah dan sederhana rendah. Antaranya program kebun komuniti atau Laman Hijau Strata, K Inovasi Pusat kitar strata dan MEKAR (Mobilisasi Ekonomi Komuniti Bandar Negeri Selangor). Program-program pembedayaan ekonomi ini akan memberi impak positf kepada pendapatan komuniti pangsapuri dan badan pengurusan dapat menjana sumber kewangan untuk menampung perbelanjaan penyelenggaraan pangsapuri

    Satu sistem Laporan Kewangan Pangsapuri di Negeri Selangor (E-COB) juga telah dibangunkan khusus untuk membantu badan pengurusan JMB/MC di negeri Selangor menyediakan laporan kewangan dan perbelanjaan pangsapuri secara digital. Usaha ini bagi membantu jawatankuasa badan pengurusan menentukan perbelanjaan yang penting sahaja mengikut kemampuan kewangan selain dipantau secara terus oleh COB-COB mengikut kawasan.

    (ii)     Aspek Sosial

    Pada aspek ini, penekanan diberi kepada usaha-usaha memperkasakan peranan JMB melalui latihan dan kursus kepimpinan seperti Kursus Pemantapan Pengurusan Bangunan Dan Kediaman Berstrata (C-SMART). Kursus C-SMART ini difokuskan kepada JMB/MC sebagai inisiatif  memantapkan jawatankuasa badan pengurusan dari aspek pengurusan kewangan, pentadbiran dan penyelenggaraan pangsapuri yang baik dan berkesan. Tenaga pengajar dan penceramah kursus C-SMART diambil di kalangan mereka yang  berpengalaman dan profesional mengikut modul-modul latihan yang disediakan.

    Kerajaan Negeri juga memahami permasalahan kewangan yang dihadapi oleh JMB untuk membaikpulih kerosakan harta bersama di pangsapuri. Oleh demikian, penekanan kepada aspek peningkatan kualiti, keindahan dan keceriaan bangunan juga disediakan melalui program baikpulih di bawah skim CERIA (Caring Government for Improvement Aids) dan bantuan SEROJA 2.0 bagi pemasangan sistem CCTV serta alat perangkap nyamuk.

  2. Apakah tindakan yang boleh di lakukan kepada penduduk yang ada masalah untuk tidak mahu atau susah untuk membayar sewa ?

    Tindakan yang boleh dilaksanakan oleh JMB atau MC bagi penduduk yang ada masalah untuk tidak mahu atau susah membayar yuran penyelenggaraan adalah melalui tindakan perundangan. Akta Pengurusan Strata 2013 [Akta 757] telah memperuntukkan kaedah kepada pihak pengurusan pangsapuri iaitu pemaju, badan pengurusan bersama (JMB), perbadanan pengurusan (MC) atau ejen pengurusan yang dilantik Pesuruhjaya Bangunan (COB) untuk mendapatkan kutipan bayaran caj seperti berikut:

    i. Seksyen 34, 78 Akta Pengurusan Strata 2013 [Akta 757]

    Memfailkan saman atau tuntutan ke mahkamah atau Tribunal Pengurusan Strata. Sekiranya, pemilik masih ingkar mematuhi keputusan mahkamah atau tribunal, mereka boleh didakwa ke mahkamah oleh COB melalui izin pendakwaan dan apabila disabitkan, didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, dan dalam suatu kesalahan yang berterusan, didenda selanjutnya tidak melebihi lima puluh ringgit bagi tiap-tiap hari atau sebahagiannya kesalahan itu berterusan selepas disabitkan.

     

    ii. Seksyen 35, 79 Akta Pengurusan Strata 2013 [Akta 757]

    Melaksanakan penahanan harta alih. Pihak Berkuasa Tempatan telah diminta untuk membantu membuat operasi bersepadu bersama pihak pengurusan pangsapuri untuk melaksanakan proses penahanan harta alih dan tindakan penguatkuasaan ke atas kesalahan-kesalahan lain yang berkaitan.

  3. Apakah peruntukan yang di sediakan oleh kerajaan untuk menaiktaraf atau membaikpulih bangunan ?

    Kerajaan Negeri melalui Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor telah mewujudkan skim CERIA bagi tujuan baik pulih harta bersama pangsapuri kos rendah. Permohonan CERIA boleh dibuat secara atas talian di pautan https://eceria.lphs.gov.my/login. Permohonan boleh dibuat sepanjang masa dan pemilihan tertakluk kepada kriteria-kriteria yang ditetapkan oleh Kerajaan Negeri. Selain bantuan skim CERIA, JMB/MC boleh memohon bantuan Tabung Penyelenggaraan Perumahan Malaysia (TPPM) di bawah peruntukan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui Jabatan Pesuruhjaya Bangunan (COB) di Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Lampiran

Tiada Lampiran.