Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2022
25 Julai - 29 Julai 2022 dan 01 Ogos - 05 Ogos 2022 (Isnin - Jumaat dan Isnin - Jumaat)
34) PEMBANGUNAN USAHAWAN INDIA
Tahun: 2022
Sesi: 2
Isu: Usahawan
Adun: Y.B. Tuan Gunarajah A/l R George
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Adakah Kerajaan Negeri bercadang untuk mewujudkan satu program khusus dalam membantu meningkatkan taraf soio ekonomi masyarakat India di Selangor?
Untuk makluman Yang Berhormat Sentosa, Kerajaan Negeri sedar bahawa golongan masyarakat India di Negeri Selangor ini perlu diberi perhatian serius untuk dibantu secara lebih fokus dan menyeluruh demi meningkatkan taraf sosio ekonomi mereka. Salah satu caranya adalah dengan memberi pendedahan yang meluas terhadap program-program pemerkesaan dalam bidang keusahawanan bagi melahirkan individu yang berkemahiran tinggi serta dapat meningkatkan keupayaan keusahawanan sedia ada.
Justeru itu, Kerajaan Negeri Selangor telah menubuhkan satu unit khas di bawah Jawatankuasa Tetap Pembangunan Sosio-Ekonomi yang dipanggil sebagai Unit I-SEED (Indian Selangor Empowerment and Entrepreneurs Development). Unit ini telah ditubuhkan pada tahun 2021 yang berperanan dalam merencana dasar, hala tuju dan strategi pembagunan usahawan masyarakat India dalam jangka masa pendek serta panjang serta menjadi agen pelengkap kepada kesemua inisiatif dan perancangan di bawah Jawatankuasa Tetap Pembangunan Sosio-Ekonomi.
Di antara program/ aktiviti yang dirancang bagi meningkatkan taraf sosio ekonomi masyarakat India di Negeri Selangor adalah seperti Program Bantuan Peralatan I-SEED. Pada tahun 2022, seramai 211 orang penerima telah diluluskan bagi Program Bantuan Peralatan I-SEED dengan jumlah peruntukan yang telah dibelanjakan sebanyak RM1,015,840.00. Sebahagian syarat kelayakan penerima manfaat bagi program ini adalah golongan B40 khususnya masyarakat India di Negeri Selangor yang terlibat di dalam aktiviti-aktiviti perniagaan seperti jahitan, jualan makanan dan minuman, makanan ringan, penjaja pasar malam, perkhidmatan, bengkel, pembuatan makanan sejuk beku, minuman dan roti dan pastri. Kerajaan Negeri juga turut akan membantu membawa mereka ni menjalinkan usahasama dan kerjasama strategik dengan pelbagai syarikat sedia. Langkah ini adalah bagi memastikan produk dan perniagaan mereka dapat diperkasakan dengan lebih konsisten.
Antara program-program lain yang telah dirancang adalah program latihan seperti persidangan, seminar dan bengkel yang bersesuaian dalam bentuk teori mahupan praktikal khusus kepada usahawan masyarakat India.
Penubuhan Unit I-SEED ini diyakini dapat terus berdiri menjadi paksi dalam pertumbuhan sosio ekonomi khususnya kepada masyarakat India melalui pelbagai program dan inisiatif baharu yang telah dirancang dan dilaksanakan.