Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2022
25 Julai - 29 Julai 2022 dan 01 Ogos - 05 Ogos 2022 (Isnin - Jumaat dan Isnin - Jumaat)
33) SISTEM SALIRAN DAN PERPARITAN JKR, JPS, PBT, PDT DAN LAIN-LAIN
Tahun: 2022
Sesi: 2
Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam
Adun: Y.B. Tuan Gunarajah A/l R George
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Adakah agensi terbabit ada menjalankan kerja-kerja tambahan menyelenggara sistem saliran dalam menghadapi musim tengkujuh?
Sistem saliran di Daerah Klang yang terletak di bawah skop penyelenggaraan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) diselenggara secara berkala dan One-Off mengikut keperluan sistem saliran tersebut. Kerja-kerja yang dilaksanakan adalah mengikut jadual seperti yang dinyatakan di dalam skop kerja. Manakala bagi persediaan menghadapi musim tengkujuh, kerja-kerja penyelenggaraan tambahan bagi sistem saliran juga dilaksanakan mengikut keperluan semasa. Kerja-kerja penyelenggaraan tambahan akan memberi perhatian yang lebih kepada kawasan-kawasan tanah / dataran rendah dan kawasan tumpuan banjir di Daerah Klang.
-
Sistem peparitan dan saliran yang tidak bertuan, siapakah sepatutnya mengambil tanggungjawab menyelenggara?
JKR Selangor melalui JKR Daerah telahpun mengambil tindakan untuk mengemaskini inventori longkang yang melibatkan Jalan Raya Negeri. Inventori tersebut menyediakan maklumat berhubung semua jajaran parit dan longkang di Negeri Selangor dan ia turut melibatkan parit/longkang yang tidak bertuan. Ia adalah bagi mengenal pasti agensi yang bertanggungjawab untuk menyelenggara longkang/parit berkenaan. Pada dasarnya, longkang di bawah seliaan JKR Selangor adalah merupakan longkang tepi jalan (roadside drain) yang menyalurkan air larian permukaan sahaja (surface run-off) manakala longkang yang melebihi saiz satu (1) meter (monsoon drain) serta terletak di dalam kawasan perumahan adalah di bawah seliaan pihak berkuasa tempatan. Penyataan ini digunakan sebagai panduan untuk menentukan agensi pemilik ke atas longkang berkenaan dan di bawah seliaan JKR Selangor diselenggara secara rutin mengikut kontrak penyelenggaraan jalan sedia ada.