Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2022

25 Julai - 29 Julai 2022 dan 01 Ogos - 05 Ogos 2022 (Isnin - Jumaat dan Isnin - Jumaat)

22) ISU PEMOHONAN TANAH DUN RAWANG

Tahun: 2022

Sesi: 2

Isu: Tanah & Sumber Alam

Adun: Y.B. Tuan Chua Wei Kiat

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah status kini penyelesaian isu hak milikan tanah Taman Bukit Rawang Jaya?

    Status permohonan tanah bagi kawasan tersebut adalah seperti berikut:

    Berdasarkan rekod di PTD Gombak, terdapat sebanyak 188 permohonan untuk pelupusan secara pemberimilikan tanah di Taman Bukit Rawang Jaya, Bandar Rawang bagi tujuan bangunan kediaman dan perniagaan. Dahulunya tapak tapak yang dipohon adalah merupakan tanah hakmilik blok yang didaftarkan di atas nama Rawang Industrials & Properties Sdn Bhd dan telah dirampas oleh Kerajaan Negeri akibat kegagalan membayar cukai selama lebih daripada 10 tahun kerana pemilik tanah telah diisytihar muflis. Kawasan tersebut telahpun dibangunkan dengan bangunan kediaman dan perniagaan yang telah diduduki oleh pemohon. Pemohon-pemohon adalah merupakan pembeli yang telah dibanci dan disahkan oleh YB ADN Rawang. Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) ke 14/2022 pada 09 Jun 2022 yang disahkan oleh MMKN ke 15/2022 pada 22 Jun 2022 telah meluluskan permohonan pemberimilikan di Taman Rawang Jaya, Bandar Rawang bagi tujuan kediaman dan perniagaan. PTD Gombak sedang menyediakan dan memuktamadkan surat kelulusan serta Notis Borang 5A bagi tujuan bayaran premium.

  2. Apakah status kini permohonan isu pelanjutan tempoh pajakan tanah Kampung Sungai Terentang?

    Status permohonan tanah bagi kawasan tersebut adalah seperti berikut:

    Berdasarkan rekod permohonan di PTD Gombak, terdapat sebanyak 82 permohonan untuk melanjutkan tempoh pajakan tanah di Kampung Sungai Terentang, Bandar Rawang bagi tujuan bangunan kediaman. Permohonan tersebut telah diluluskan oleh Pentadbir Tanah Gombak selaras dengan Pekeliling Pengarah Tanah dan Galian Selangor Bilangan 2/2018 dan Pekeliling Pengarah Tanah dan Galian Selangor Bilangan 3/2020. PTD Gombak sedang menyediakan dan memuktamadkan surat kelulusan serta Notis Borang 5A bagi tujuan bayaran premium.

  3. Apakah status kini permohonan isu hak milikan tanah Batu Arang?

    Status permohonan tanah bagi kawasan tersebut adalah seperti berikut:

    Berdasarkan rekod di PTD Gombak, terdapat sebanyak 144 permohonan untuk pelupusan secara pemberimilikan tanah di Jalan Stesen dan Bukit Nenas, Bandar Batu Arang bagi tujuan bangunan kediaman dan perniagaan. Dahulunya tapak yang dipohon adalah merupakan kawasan dan bangunan yang dibina oleh Syarikat Arang Batu yang beroperasi di kawasan Batu Arang untuk dijadikan rumah pekerja. Setelah operasi perlombongan batu arang tamat, kawasan dan bangunan tersebut telah diambil alih oleh bekas pekerja lombong dan penduduk setempat untuk dijadikan tempat kediaman. Permohonan-permohonan di kawasan tersebut telah ditangguhkan kerana terlibat dengan cadangan pewartaan sebagai Rancangan Kawasan Khas (RKK) Kajian Warisan oleh Jabatan Perancang Bandar dan Desa (PLAN Malaysia) Negeri Selangor.
    Permohonan-permohonan pemberimilikan di kawasan tersebut akan diteruskan semula setelah RKK Kajian Warisan oleh PLAN Malaysia Negeri Selangor selesai diwartakan.

Lampiran

Tiada Lampiran.