Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2022
25 Julai - 29 Julai 2022 dan 01 Ogos - 05 Ogos 2022 (Isnin - Jumaat dan Isnin - Jumaat)
16) KONTRAKTOR BUMIPUTERA
Tahun: 2022
Sesi: 2
Isu: Kerajaan Tempatan
Adun: Y.B. Tuan Azmizam Bin Zaman Huri
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Berapakah jumlah syarikat kontraktor bumiputera yang telah 'gulung tikar' pada masa ini di Negeri Selangor?
Yang Berhormat Pelabuhan Klang, Jabatan Insolvensi Malaysia tidak mempunyai rekod berhubung syarikat kontraktor bumiputera yang telah ‘gulung tikar’ memandangkan Petisyen Penggulungan yang difailkan oleh pempetisyen tidak mengandungi maklumat berhubung kategori kontraktor.
Pecahan kes penggulungan syarikat (terpaksa) melibatkan sektor perniagaan bumiputera di Negeri Selangor bermula dari tahun 2018 sehingga Mei 2022 ialah 71 kes pada tahun 2018, 242 kes pada tahun 2019, 119 kes pada tahun 2020, 129 kes pada tahun 2021 dan 75 kes pada tahun 2022 sehingga bulan Mei. -
Apakah usaha Kerajaan Negeri untuk membantu golongan ini bagi meneruskan perniagaan mereka?
Berdasarkan peruntukan di bawah Akta Syarikat 2016 [Akta 777]. Jabatan Insolvensi Malaysia berperanan sebagai penyelesai (Liquidator) untuk mengendalikan pentadbiran aset dan liabiliti bagi kes syarikat selepas mendapat perintah penggulungan daripada Mahkamah. Sehubungan itu, tindakan untuk membantu mana-mana sektor perniagaan meneruskan perniagaan telah berlaku sebelum peranan statutori Jabatan Insolvensi Malaysia bermula. Dalam konteks syarikat yang menghadapi masalah aliran wang tunai, syarikat tersebut dapat memanfaatkan peruntukan berkaitan skim penyelamat korporat di bawah Penggal 8 Bahagian III Akta 777 iaitu skim perkiraan sukarela korporat (corporate voluntary arrangement) atau pengurusan kehakiman (judicial management). Skim perkiraan sukarela korporat membolehkan syarikat untuk berunding dengan pemiutangnya tanpa campur tangan atau kelulusan Mahkamah. Skim pengurusan kehakiman pula merupakan skim yang lebih formal di mana syarikat atau pemiutang boleh memohon kepada Mahkamah supaya perintah pengurusan kehakiman diluluskan dan seorang pengurus kehakiman dilantik bagi tujuan membolehkan pelan penyelamat dapat dipersetujui oleh pemiutang untuk dilaksanakan. Semasa tempoh moratorium mekanisme penyelamat korporat sedang berkuat kuasa, syarikat diberikan perlindungan dari apa-apa tindakan atau prosiding terhadap syarikat termasuk tindakan penggulungan.
Di samping skim penyelamat korporat, syarikat boleh mencadangkan suatu skim kompromi atau perkiraan di bawah seksyen 366 Akta 777 dan pada masa yang sama memohon kepada Mahkamah memberikan perintah halangan di bawah seksyen 368 Akta 777 untuk menghalang prosiding selanjutnya dalam apa-apa tindakan atau prosiding terhadap syarikat itu kecuali dengan keizinan Mahkamah.