Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2022

25 Julai - 29 Julai 2022 dan 01 Ogos - 05 Ogos 2022 (Isnin - Jumaat dan Isnin - Jumaat)

15) MUSIM KEMARAU PANJANG

Tahun: 2022

Sesi: 2

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Tuan Azmizam Bin Zaman Huri

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah persediaan yang telah dilakukan dan akan dilakukan oleh Kerajaan Negeri bagi menghadapi musim kemarau panjang yang dijangka akan berlaku pada 2026?

    Kerajaan Negeri melalui Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) telah mengambil langkah-langkah awal dengan mewartakan 20 kolam sumber air alternatif yang berjaya mengatasi masalah kemarau semasa fenomena El-Nino pada tahun 2016 bagi mengurangkan kebergantungan kepada 7 empangan utama di Negeri Selangor. Pada masa ini sebanyak 76 kolam lagi telah dikenalpasti untuk dijadikan sumber alternatif tambahan untuk diwartakan. Sebanyak 137 kolam tadahan banjir JPS di seluruh Negeri Selangor juga sedang diteliti kesesuaiannya. Kesemua sumber air tambahan ini dijangka dapat membekalkan sumber air mentah mencukupi untuk keperluan jangkamasa sehingga 6 bulan kemarau. Kolam-kolam ini akan dihubungkan dengan sungai-sungai berdekatan mukasauk melalui Operasi Pengepaman Kolam Air Alternatif (OPAK). Empangan-empangan juga akan dikawal secara berhemah dengan menggunakan Sistem Sokongan Pintar LUAS (LISS) bagi mengawal pelepasan air yang optimum.

  2. Apakah implikasi tindakan tersebut terhadap negeri, industri dan rakyat di Selangor?

    LUAS juga telah memilih 21 kolam-kolam bekas lombong yang berpotensi untuk dibangunkan sebagai kolam takungan air serta sumber air mentah tambahan melalui inisiatif Skim Jaminan Air Mentah (SJAM). Cadangan pembangunan ini akan dilaksanakan bersama dengan kerjasama Kumpulan Semesta Sdn. Bhd. (KSSB). Kolam-kolam tersebut adalah terletak di tiga lembangan utama di Negeri Selangor, iaitu Lembangan Sungai Selangor, Lembangan Sungai Langat dan Lembangan Sungai Klang. Cadangan pembangunan ini dijangka akan meningkatkan rizab simpanan air mentah daripada 3 bulan pada masa kini kepada sekurang-kurangnya 6 bulan simpanan. Inisiatif ini dijangka akan dapat memastikan Kerajaan Negeri berjaya menghadapi sebarang musim kemarau di masa hadapan. Selain itu, kolamkolam takungan tersebut akan direkabentuk sebagai kolam pelbagai fungsi, berupaya berfungsi sebagai kolam tebatan banjir, rekreasi, pencairan pencemaran dan sebagainya.

Lampiran

Tiada Lampiran.