Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2022

25 Julai - 29 Julai 2022 dan 01 Ogos - 05 Ogos 2022 (Isnin - Jumaat dan Isnin - Jumaat)

3) PENGARUSPERDANAAN GENDER

Tahun: 2022

Sesi: 2

Isu: Wanita & Keluarga

Adun: Y.B. Puan Juwairiya Binti Zulkifli

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah status pelaksaanaan Program Pengarusperdanaan Gender di Negeri Selangor yang telah dilaksanakan sejak tahun 2019?

    1. Program Pengarusperdanaan Gender kini berada di tahun kedua pelaksanaan, di mana tujuh (7) buah jabatan perintis telah terlibat dan dua (2) kumpulan Pegawai Titik Tumpuan Gender (Gender Focal Point – GFP) dan Pasukan Tumpuan Gender (Gender Focal Team – GFT) telah dilantik. Empat (4) jabatan perintis yang terlibat untuk tahun pertama adalah:

     

    1. Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor;
    2. Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS);
    3. Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor; dan
    4. Bahagian Pembangunan Usahawan, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

    Manakala tiga (3) jabatan perintis yang terlibat pada tahun kedua adalah:

    1. Majlis Perbandaran Klang;
    2. Bahagian Pendidikan Islam, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS); dan
    3. Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat.

    Untuk makluman, kesemua GFP dan GFT yang telah dilantik akan melalui proses berikut sepanjang pelaksanaan program pengarusperdanaan gender:

    1. Menjalani latihan selama lima (5) peringkat bagi meningkatkan kesedaran dan kefahaman mengenai pengarusperdanaan gender.
    2. Melaksanakan Audit Gender di jabatan perintis masing-masing dengan penglibatan pihak pengurusan dan kakitangan jabatan bagi mengenalpasti jurang gender (jika ada) serta ketersediaan jabatan tentang pengarusperdanaan gender.
    3. Menganalisa hasil dapatan Audit Gender bersama Wanita Berdaya Selangor (WBS) untuk dibentangkan kepada pengarah atau ketua jabatan perintis masing-masing.
    4. Merangka Pelan Tindakan Gender berdasarkan analisa dapatan Audit Gender yang telah dilaksanakan di jabatan perintis masing-masing.
    5. Membentangkan Pelan Tindakan Gender kepada pengarah atau ketua jabatan perintis masing-masing bagi mendapatkan kelulusan.
    6. Melaksanakan Pelan Tindakan Gender di jabatan perintis masing-masing.

    GFP dan GFT bagi lantikan tahun pertama sedang dalam fasa pelaksanaan Pelan Tindakan Gender di jabatan perintis masing-masing manakala GFP dan GFT bagi lantikan tahun kedua kini sedang berada dalam fasa akhir pelaksanaan Audit Gender di jabatan perintis masing-masing. Lantikan GFP dan GFT bagi tahun ketiga akan dilaksanakan pada penghujung tahun 2022.

  2. Bagaimanakah keberkesanan program ini dapat menyokong usaha pengarusperdanaan gender di pihak Kerajaan Negeri?

    1. Keberkesanan program ini dapat menyokong usaha pengarusperdanaan gender di pihak Kerajaan Negeri apabila GFP, GFT dan jabatan perintis yang telah terlibat telah mempunyai kesedaran dan pengetahuan tentang pengarusperdanaan gender. Program ini akan akan menjadi panduan dan rujukan utama kepada pentadbiran kerajaan negeri dan jabatan lain bagi merealisasikan aspirasi kerajaan dalam pengarusperdanaan gender serta membasmi sebarang bentuk diskriminasi gender.

    Pembangunan Data Pecahan Jantina (Sex-Disaggregated Data) amat diperlukan oleh kerajaan negeri untuk membantu membentuk program yang tepat dan berkesan kepada kumpulan sasar. Selain itu, antara komponen di dalam program ini adalah Belanjawan Responsif Gender (Gender Responsive Budgeting – GRB). Belanjawan yang lebih optimum dan memenuhi keperluan rakyat akan dapat dirancang dan dilaksanakan dengan baik dengan menggunapakai pendekatan GRB tersebut.

    Di fasa Pasca Pandemik Covid-19, program ini juga dilihat dapat membantu kerajaan negeri untuk melakukan perancangan pemulihan dengan teliti bertujuan membina inisiatif jangka panjang. Ia akan memberi tumpuan kepada pembangunan dasar, kerangka kerja, strategi dan pelan tindakan. Konsultansi dengan pihak berkepentingan seperti jabatan kerajaan, Badan Bukan Kerajaan (NGO), pemimpin komuniti serta komuniti merupakan sebahagian daripada proses yang diterapkan di dalam proses pengarusperdanaan gender.

     

    Dengan pelaksanaan program pengarusperdanaan gender juga dapat menjadi pemangkin dan pemacu kepada usaha kerajaan negeri untuk mencapai 30 peratus perwakilan wanita di peringkat pembuatan dasar dan pembuatan keputusan. Ia adalah penting untuk memastikan wanita terlibat secara saksama dalam bidang pilihan mereka dan diiktiraf sebagai penyumbang penting kepada pembangunan negara dan negeri.

    Selain itu, pelaksanaan program pengarusperdanaan gender juga menggambarkan komitmen kerajaan negeri terhadap deklarasi yang telah diraktifikasi negara di peringkat antarabangsa seperti Pelan Bertindak dan Deklarasi Beijing, Konvensyen Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW), Matlamat Pembangunan Lestari (SDG), Dasar Wanita Negara serta Dasar Wanita Selangor.

  3. Apakah langkah seterusnya pihak Kerajaan Negeri dalam usaha ini?

    Selaras dengan Dasar Wanita Selangor yang telah digubal, langkah seterusnya pihak kerajaan negeri dalam usaha ini adalah meneruskan program rintis untuk tahun ketiga. Seterusnya, kerajaan negeri akan meneruskan usaha untuk menginstitusikan pengarusperdanaan gender dan diadaptasi ke dalam perancangan, pelaksanaan, pemantauan dan penilaian projek, program serta belanjawan di semua peringkat pentadbiran kerajaan negeri dengan mengembangkan program kepada keseluruhan penjawat awam negeri.

     

    Usaha untuk menginstitusikan pengarusperdanaan gender ke dalam pentadbiran Selangor akan dilakukan menerusi pemerkasaan Majlis Pengarusperdanaan Gender Antara Exco yang dipengerusikan secara tetap oleh YAB Dato’ Menteri Besar Selangor. Peranan majlis tersebut akan diperkasakan dan sebuah Jawatankuasa Pilihan Khas Kesaksamaan Gender akan diusulkan bagi memastikan kelestarian dalam usaha menginstitusikan pengarusperdanaan gender.

     

    Latihan kesedaran dan kefahaman tentang pengarusperdanaan gender juga akan diterapkan sebagai salah satu kursus tahunan wajib dihadiri oleh penjawat awam Negeri Selangor. Ia akan menjadi sebagai salah satu pengukur untuk kenaikan pangkat oleh penjawat awam.

     

    Selain itu, untuk jangka masa panjang, sebuah Pangkalan Data Pecahan Jantina (Sex-Disaggregated Data) juga akan dibangunkan dan diintegrasikan ke dalam platform pendigitalan holistik kerajaan negeri yang telah diumumkan dalam Rancangan Selangor 1, iaitu Selangor Government Data Exhange (SELGDX) supaya dapat sama-sama membantu memacu serta menjadikan Selangor sebuah negeri yang saksama, pintar dan bertaraf antarabangsa.

Lampiran

Tiada Lampiran.