Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2022

25 Julai - 29 Julai 2022 dan 01 Ogos - 05 Ogos 2022 (Isnin - Jumaat dan Isnin - Jumaat)

2) CAJ PENGURUSAN UNTUK PROGRAM KESIHATAN DAN BINGKAS

Tahun: 2022

Sesi: 2

Isu: Kesihatan

Adun: Y.B. Puan Elizabeth Wong Keat Ping

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Berapa jumlah bayaran pengurusan diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri untuk program Vaksinasi Selangor?

    Program Vaksin Selangor (SelVAX) yang dilaksanakan pada tahun 2021 bertujuan bagi membentuk perlindungan di kalangan golongan pekerja bagi memastikan kelangsungan ekonomi negeri.  Bagi tujuan itu, SelVAX Industri disasarkan kepada golongan pekerja dan kos vaksin akan dibiayai sepenuhnya oleh pihak syarikat, manakala SelVAX Komuniti akan diberikan secara percuma kepada rakyat negeri Selangor. Berhubung pertanyaan Yang Berhormat bagi kos pengurusan SelVAX, perkara ini merupakan Non-Disclosure Agreement (NDA) yang telah ditandatangani oleh pihak Selgate.

  2. Berapa jumlah bayaran pengurusan diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri untuk program BINGKAS Selangor?

    Pada tahun 2022,  Kerajaan Negeri telah memperuntukkan anggaran sebanyak RM3.24 juta sebagai caj operasi (tahunan) kepada Selcare Management Sdn Bhd. bagi pelaksanaan program BINGKAS.

  3. Berapa jumlah bayaran pengurusan diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri untuk program ILTIZAM Selangor (dulu Peduli Sihat)?

    Program Iltizam Selangor Sihat (ISS) merupakan penambahbaikan Program Skim Insurans Peduli Sihat (SIPS). Antara aspek utama yang ditambahbaik adalah bilangan penerima yang telah ditingkatkan kepada 100,000 orang dan had gaji minimum kepada RM3,000 sebulan. Bagi melancarkan pengurusan program ini pada tahun 2022,  Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM5.25 juta sebagai caj operasi (tahunan) kepada Selcare Management Sdn Bhd. bagi pengoperasian program ISS.

Lampiran

Tiada Lampiran.