Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2022
25 Julai - 29 Julai 2022 dan 01 Ogos - 05 Ogos 2022 (Isnin - Jumaat dan Isnin - Jumaat)
276) “NET ZERO EMISSIONS” 2050
Tahun: 2022
Sesi: 2
Isu: Alam Sekitar
Adun: Y.B. Tuan Rajiv A/l Rishyakaran
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah rancangan Kerajaan Negeri Selangor untuk mengurangkan pelepasan karbon menjelang tahun 2050?
Malaysia telah mengumumkan komitmen untuk mencapai pengurangan intensiti pelepasan gas rumah hijau daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 45% menjelang tahun 2030. Justeru, Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) telah melancarkan sebuah rangka kerja bandar rendah karbon yang dikenali sebagai ‘Low Carbon Cities Framework and Assessment System’ (LCCF) bagi merealisasikan agenda tersebut.
Atas komitmen tersebut, Kerajaan Negeri Selangor turut menyokong dan telah melaksanakan perbandaran hijau melalui Kerangka Bandar Rendah Kabron (LCCF) yang digunapakai dalam perancangan dasar di semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Selangor. Perlaksanaan Bandar Rendah Karbon ini akan dapat mengukur tahap pengeluaran karbon semasa dan mengenalpasti sasaran bagi setiap perbandaran, serta membantu Pihak Berkuasa Tempatan menetapkan strategi pengurangan karbon dan seterusnya mengukur prestasi tindakan bagi setiap perbandaran.
Justeru, bagi mencapai matlamat berkenaan, pelbagai inisiatif harus dilaksanakan dengan segera terutama oleh kerajaan negeri dan PBT, pemaju dan lain-lain lagi. Salah satu langkah yang diambil oleh Kerajaan Negeri, PBT dan pemaju adalah melalui pembangunan teknologi hijau. Dalam konteks guna tanah, elemen teknologi hijau telah digariskan di dalam konsep kejiranan hijau kerana ia merupakan salah satu konsep perancangan guna tanah yang penting dalam pembangunan hijau (green development) yang asas kepada pertumbuhan hijau (green growth). Ini dibuat melalui perancangan reka bentuk pasif (passive design), penyediaan lebih banyak kawasan / ruang hijau, memanfaatkan sumber semula jadi dengan efektif dan pada masa yang sama menggunakan sumber tenaga alternatif yang boleh diperbaharui, menggunapakai konsep 3R (reduce, reuse dan recycle) dalam aktiviti harian dan sebagainya.
Selain itu, Kerajaan Negeri melalui PBT akan terus melaksanakan program-progran dan inisiatif untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau (GHG) di bawah sektor-sektor utama seperti sektor tenaga, pengangkutan, sisa pepejal, proses industri dan pertanian. Inisiatif-inisiatif ini secara langsung menyumbang kepada sasaran pengurangan intensiti pelepasan GHG dalam negeri. Antaranya program-program yang dilaksanakan adalah:
- Kempen Penanaman 100 Juta Pokok;
- Penggalakkan pemasangan panel solar dan lampu LED di bangunan/premis di PBT;
- Penggunaan Kenderaan dan Bas Elektrik;
- Bangunan Cekap Tenaga;
- Program penjimatan tenaga; dan
- Pembangunan Pengurusan Sisa Pepejal Berteknologi Tinggi.
-
Apakah impak kewangan ke atas Kerajaan Negeri Selangor untuk strategi yang sedia ada?
Komitmen negeri Selangor dalam memastikan perancangan untuk mengurangkan pelepasan karbon dibuktikan dengan mengadakan program-program ke arah rendah karbon yang dianjurkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) dan juga Jabatan/Agensi Negeri yang lain.
Berikutan itu, dana sebanyak RM2.7 juta diperuntukkan untuk memperhebat aktiviti atau program menghijaukan persekitaran dan mengamalkan budaya hidup mesra alam manakala RM2.25 juta diperuntukkan untuk menggalakkan penggunaan teknologi hijau dan juga kempen-kempen kesedaran dan pendidikan. Peruntukan-peruntukan ini disalurkan kepada PBT, PDT, Jabatan/Agensi dan juga NGO Negeri setiap tahun untuk melaksanakan program/projek ke arah melestarikan alam sekitar dan memanfaatkan teknologi hijau dalam pembangunan negeri.