Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2022

25 Julai - 29 Julai 2022 dan 01 Ogos - 05 Ogos 2022 (Isnin - Jumaat dan Isnin - Jumaat)

262) KEMPEN KESEDARAN ISU PERUBAHAN IKLIM

Tahun: 2022

Sesi: 2

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Puan Jamaliah Binti Jamaluddin

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Jawatankuasa Perubahan Iklim dan Pemanasan Global telah ditubuhkan bagi mendepani bencana. Apakah perancangan dalam kempen kesedaran tentang isu perubahan iklim di kalangan anak muda Selangor?

    Fenomena pemanasan global akibat pelepasan gas rumah hijau (GHG) daripada aktiviti manusia amat memberi kesan kepada sistem iklim global, dan fenomena itu kini berada pada tahap membimbangkan. Jika tiada tindakan drastik diambil bagi mengurangkan pelepasan GHG, dunia dijangka berdepan dengan bencana alam yang dahsyat. Perubahan iklim kini merupakan fenomena yang nyata. Secara saintifiknya, kesan perubahan iklim sudah mula menjejaskan kesejahteraan kita semua. Menurut kajian-kajian yang telah dilaksanakan oleh Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), impak akibat perubahan iklim di masa hadapan akan menjadi satu cabaran dalam usaha kita mengekalkan kelestarian negara. Dalam menangani cabaran perubahan iklim ini, setiap individu mempunyai peranan masing-masing, namun bagi memastikan penyelesaian yang berkesan, pendekatan yang diambil perlu melibatkan semua pihak dan secara bersama.

    Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, berdasarkan tahap kesedaran terhadap perubahan iklim bagi negara maju dengan negara sedang membangun, secara puratanya, 87 peratus daripada masyarakat yang tinggal di negara maju mempunyai tahap pengetahuan yang baik tentang pemanasan global. Sebaliknya, hanya 57 peratus bagi masyarakat di negara membangun. Negara-negara Asia didapati kurang memberikan sokongan terhadap polisi perubahan iklim. Keadaan ini harus ditangani segera dan kerajaan harus mencari alternatif sesuai untuk menyedarkan masyarakat tentang bahaya perubahan iklim kepada dunia keseluruhannya. Dalam hal ini, Kerajaan Negeri sedar dan memberi keutamaan terhadap tahap kesedaran dan keprihatinan masyarakat, terutamanya golongan belia tentang perubahan iklim. Belia mempunyai hubungan yang sangat kuat terhadap fenomena ini kerana mereka merupakan generasi yang akan mewarisi iklim dunia.

    Dasar Perubahan Iklim Negara juga telah dijadikan panduan dalam mengintegrasikan isu perubahan iklim dalam perancangan dan pelaksanaan program pembangunan dan proses membuat keputusan; menggalakkan pertumbuhan ekonomi secara lestari dan pembangunan insan; serta pemuliharaan alam sekitar. Dasar ini melengkapi dasar yang sedia ada dan mengambil kira prinsip-prinsip konvensyen antarabangsa di peringkat global. Berdasarkan dasar ini juga, salah satu teras strategiknya ialah meningkatkan kesedaran dan penglibatan orang awam untuk menggalakkan respons perubahan iklim.

    Sehubungan itu, dalam usaha untuk meningkatkan tahap kesedaran tentang isu perubahan iklim dikalangan anak muda atau belia Selangor, Kerajaan Negeri akan terus menjalankan kempen-kempen kesedaran tentang isu perubahan iklim di semua peringkat masyarakat termasuk golongan belia seperti:

    • Mengadakan sesi perkongsian maklumat berkaitan perubahan iklim dan alam sekitar melalui kaedah taklimat secara fizikal mahupun webinar;

     

    • Menggalakkan penglibatan belia dalam program-program alam sekitar;

     

    • Menjalankan kempen-kempen kesedaran dan pendidikan melalui media sosial dan portal;

     

    • Mengintegrasikan aspek teori dengan kemahiran praktikal yang mana adalah penting untuk mengubah minda dan gaya hidup mesra alam golongan belia;

     

    • Memperkukuhkan program-program komunikasi, pendidikan dan kesedaran awam yang melibatkan setiap lapisan masyarakat terutamanya mengenai peranan individu dalam menangani isu perubahan iklim dan alam sekitar;

     

    • Menyediakan platform untuk membolehkan perkongsian amalan terbaik, pengetahuan dan kepakaran serta kerjasama semua pihak dalam bidang berkaitan terutamanya pihak PBT, Jabatan/Agensi Negeri seperti Jabatan Alam Sekitar, institusi penyelidikan dan pembangunan serta sektor swasta;

     

    • Menggalakkan PBT, Badan Bukan Kerajaan (NGO) serta Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) menerajui program kesedaran awam yang komprehensif bagi memupuk gaya hidup yang mesra alam dan meningkatkan tanggungjawab masyarakat umum mengenai isu perubahan iklim;

     

    • Melaksanakan kempen dengan menyediakan mesej-mesej galakan dan kesedaran mengenai tema yang berlainan yang dilaksanakan oleh pelbagai agensi seperti produk hijau, mobiliti rendah karbon, kitar semula, penjimatan tenaga dan air serta penjagaan hutan;

     

    • Mengarus perdanakan dalam program latihan bagi professional dan pekerja mahir melalui penglibatan secara berterusan dengan pihak berkaitan; dan

     

    • Meningkatkan kesedaran, membina keupayaan dan memperkasakan masyarakat untuk mengambil langkah awal dalam menghadapi bencana melalui program berkala dan latihan kecemasan berjadual.

    Kepelbagaian strategi adaptasi dan mitigasi yang selari dengan pembangunan negeri akan dilaksanakan secara bersepadu dan seimbang dalam usaha mengurangkan impak perubahan iklim. Namun tanggungjawab setiap individu juga amat diperlukan untuk bekerjasama dalam setiap aspek yang telah digariskan. Oleh itu, kesedaran dan keprihatinan terhadap dasar kerajaan mengenai perubahan iklim adalah merupakan salah satu aspek penting kerana ia adalah asas penting dalam mewujudkan kelestarian.

Lampiran

Tiada Lampiran.