Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2022

25 Julai - 29 Julai 2022 dan 01 Ogos - 05 Ogos 2022 (Isnin - Jumaat dan Isnin - Jumaat)

245) INCINERATOR

Tahun: 2022

Sesi: 2

Isu: Kerajaan Tempatan

Adun: Y.B. Puan Dr. Daroyah Binti Alwi

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah status terkini pembinaan projek-projek Waste to Energy (WTE) di ketiga-tiga lokasi yang dicadangkan?

    Worldwide Holdings Berhad, sebuah anak syarikat sepenuhnya milik Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) telah dipertanggungjawabkan untuk menerajui projek ISWMC Jeram dan Tanjung Duabelas yang masing-masing mempunyai kapasiti untuk memproses dan melupuskan 3,500 tan dan 2,500 tan sisa pepejal sehari. Kedua-dua projek ISWMC tersebut akan dilengkapi dengan tiga (3) buah loji WTE di mana dua (2) buah loji WTE akan dibangunkan di ISWMC Jeram dan sebuah loji WTE akan dibangunkan di ISWMC Tanjung Duabelas. Sebanyak 90 Mega Watts kuota tenaga telah diperolehi daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Suruhanjaya Tenaga bagi ketiga-tiga WTE tersebut. Peruntukan kuota ini menjadikan Negeri Selangor sebagai negeri pertama di Malaysia yang berjaya mendapatkan peruntukan daripada Suruhanjaya Tenaga bagi pembangunan projek WTE di Malaysia.

    Setakat ini, kajian-kajian yang berkaitan seperti Detailed Environmental Impact Assessment (DEIA) dan Social Impact Assessment (SIA) untuk WTE di Jeram telah pun disiapkan dan diluluskan oleh Jabatan Alam Sekitar Malaysia dan agensi-agensi lain yang berkaitan. Selain itu, pihak pemaju juga telah mengenal pasti teknologi yang akan digunapakai iaitu teknologi insinerator stoker dari Eropah. Bagi kerja-kerja pra-pembangunan untuk WTE di Jeram seperti tender Engineering, Procurement, Construction and Commissioning (EPCC) sedang giat dilaksanakan mengikut garis masa projek seperti yang telah dirancang. Pelantikan EPCC tersebut dijangka akan dilaksanakan pada hujung bulan September 2022 dan permulaan pembinaan bagi WTE di Jeram dijangka akan bermula pada hujung tahun 2022.

    Bagi pelaksanaan pembangunan WTE di Tanjung Duabelas pula, pemaju telah berjaya memperoleh rakan kongsi teknologi dari China yang juga akan menggunapakai teknologi dari Eropah. Untuk makluman terkini, pemaju dan rakan kongsi teknologi sedang giat berkerjasama untuk mengeluarkan tender EPCC yang dijangka akan dikemukakan kepada semua kontraktor EPC yang disenarai pendek pada pertengahan tahun 2022. Sementara itu, kajian-kajian yang berkaitan seperti Detailed Environmental Impact Assessment (DEIA) dan Social Impact Assessment (SIA) masih dalam perlaksanaan dan dijangka akan diluluskan pada suku tahun ketiga 2022.

    Selaras dengan garis masa projek bagi semua pembangunan WTE di atas, Power System Study (PSS) bagi WTE yang terlibat telah pun diluluskan oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Power Purchase Agreement (PPA) dengan pihak TNB dan pihak institusi kewangan yang terlibat berada dalam fasa akhir perlaksanaan. Kesemua PPA bagi WTE yang terlibat akan dimenterai dalam suku tahun ketiga dan keempat tahun 2022.

    Sebagai rumusan, perlaksanaan pembangunan WTE di Jeram dan Tanjung Duabelas adalah selaras dengan garis masa projek seperti yang telah dirancang. Pihak pemaju percaya bahawa pembangunan fasiliti WTE yang terlibat akan siap pada tahun 2025.

  2. Adakah pembinaan incinerator ini dapat membuka peluang pekerjaan kepada orang tempatan selepas siap?

    Projek ini juga dijangka akan mewujudkan lebih 1,600 peluang pekerjaan professional, mahir dan separuh mahir kepada rakyat dari peringkat pembinaan sampai operasi. Setelah pembinaan incinerator siap peluang pekerjaan akan diutamakan kepada komuniti tempatan yang memenuhi syarat, dan kemahiran yang khusus untuk teknologi WTE atau Penjanaan Kuasa perlu diperolehi dari luar.

Lampiran

Tiada Lampiran.