Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2022
25 Julai - 29 Julai 2022 dan 01 Ogos - 05 Ogos 2022 (Isnin - Jumaat dan Isnin - Jumaat)
221) RUMAH IDAMAN & RUMAH SELANGORKU
Tahun: 2022
Sesi: 2
Isu: Perumahan
Adun: Y.B. Tuan Chua Wei Kiat
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah perbezaan antara Rumah Idaman dan Rumah RSKU?
-
Bagaimana kerajaan membantu golongan B40 yang tidak dapat pinjaman untuk beli rumah mampu milik?
-
Adakah Kerajaan Negeri akan mempertimbangkan untuk menawarkan pinjaman perumahan kepada golongan B40?
Kerajaan Negeri telah dan akan mempertimbangkan untuk menawarkan pinjaman perumahan kepada golongan B40 melalui beberapa kaedah dan pendekatan yang sesuai. Antaranya adalah seperti berikut :
- Skim Dana Sel
Bagi kes golongan yang tidak layak mendapatkan pinjaman bank, Kerajaan Negeri telah menyediakan Skim Pembiayaan Perumahan Selangorku (Dana-Sel) yang berkonsepkan sewa dan milik bagi membantu golongan B40 untuk membeli Rumah Selangorku Jenis A khususnya untuk penempatan setinggan di Rimba Jaya, Seksyen 16, Shah Alam. Kerajaan Negeri melalui anak syarikat Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) iaitu Perumahan Hartanah Selangor Sdn Bhd (PHSSB) dipertanggungjawabkan untuk menguruskan skim ini. Dengan kaedah pembiayaan sewa milik, ianya merupakan satu bentuk penyewaan jangka panjang (sewa milik) bagi membolehkan pemohon bertukar status daripada penyewa kepada pemilik rumah dalam tempoh yang telah dipersetujui dengan mematuhi semua terma-terma Perjanjian Penyewaan dan Pemilikan.
Skim ini juga telah diperluaskan lagi bermula pada tahun 2022 yang dikenali dengan sebagai Skim ‘Selangorku To Ownership’ (S2-OWN) melibatkan penyelesaian penempatan setinggan seramai 249 penduduk di PJS1, Petaling Jaya. Melalui Bajet 2022, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sejumlah RM10.77 juta bagi membuat pembelian unit tersebut dan membantu mereka yang gagal mendapatkan pembiayaan untuk ditawarkan Skim Sewa Milik dan seterusnya membantu ke arah pemilikan kediaman sendiri.
- Skim Sewa Milik Selangor (Rent To Own)
Skim Sewa Milik Selangor atau Skim Smart Sewa To Ownership (2STAY) merupakan kesinambungan Program Skim Smart Sewa. Ia merupakan insentif baharu Kerajaan Negeri untuk membantu golongan B40 khususnya golongan yang kurang berkemampuan serta sukar untuk mendapatkan pembiayaan untuk memiliki rumah sendiri melalui pembiayaan sewa milik daripada Kerajaan Negeri yang diuruskan oleh LPHS. Secara dasarnya, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (MMKN) ke-2/2022 bertarikh 12 Januari 2022 telah menimbang dan meluluskan cadangan penyediaan dasar dan pelaksanaan Skim “Smart Sewa To Ownership’ (2STAY) atau dikenali Skim Sewa Milik Selangor di Negeri Selangor.
Sehubungan itu, Kerajaan Negeri melalui LPHS sedang mengadakan kerjasama dengan pihak Maybank Islamik Berhad dengan beberapa siri mesyuarat telah diadakan bagi memperincikan pelaksanaan Skim Sewa Milik sebelum ianya dimuktamadkan dan seterusnya diangkat semula untuk kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).
Bagi inisiatif Skim Sewa Milik Selangor, Kerajaan Negeri akan memperoleh sebanyak 3,943 unit rumah secara percuma dengan nilai hartanah sekitar RM 985 juta hasil daripada pembangunan Rumah Idaman dan Rumah Harapan. Unit-unit tersebut akan dijadikan sebagai inisiatif untuk membantu golongan B40 untuk memiliki unit kediaman tersebut dibawah Skim Sewa Milik tersebut.
Sehingga 01 Julai 2022, terdapat 1 projek Rumah Idaman MBI (Idaman Abadi) di Kajang 2, Batu 18 Semenyih yang kini telah mencapai 100% siap pembinaan (Fasa 2) melibatkan keseluruhan pembangunan 2,059 unit dimana sebanyak 70 unit akan diserahkan kepada Kerajaan Negeri sebagai Skim Sewa Milik Selangor yang dijangka siap pada Ogos 2022.