Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2022
25 Julai - 29 Julai 2022 dan 01 Ogos - 05 Ogos 2022 (Isnin - Jumaat dan Isnin - Jumaat)
215) PERSEDIAAN ATLET SELANGOR MENJELANG SUKMA 2022
Tahun: 2022
Sesi: 2
Isu: Generasi Muda & Sukan
Adun: Y.B. Puan Rozana Binti Zainal Abidin
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah persediaan yang diambil oleh para atlet Selangor dalam menghadapi SUKMA 2022?
Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2020 adalah dianjurkan oleh negeri Johor dan pemilihan negeri Johor sebagai tuan rumah SUKMA ini telah pun diumumkan lebih awal iaitu pada tahun 2016 lagi. Sebagai tuan rumah, acara sukan yang wajib dan pilihan tuan rumah juga telah diumumkan lebih awal bagi membolehkan setiap negeri membuat persediaan pasukan masing – masing. Kontinjen Negeri Selangor juga membuat persediaan awal bagi menghadapi temasya itu. Berikut adalah kronologi penganjuran SUKMA 2020 ini:
Tahun 2020
Bermulanya dari Perintah Kawalan Pergerakan Fasa 1 (PKP1) yang diumumkan oleh Perdana Menteri Malaysia, semua program persediaan terhenti akibat wabak Covid-19 yang melanda negara. Pada tempoh ini, atlet mengambil inisiatif untuk menjalani latihan sendiri di rumah masing-masing.
Dalam tempoh ini juga, penganjuran SUKMA oleh Negeri Johor telah ditangguh kepada bulan Mac dan April tahun 2021. Pihak MSNS telah menyambung semula program persediaan SUKMA bermula bulan September 2020 namun terdapat beberapa kekangan dari pihak atlet dan pengurusan iaitu:
- Atlet memilih untuk bekerja bagi membantu keluarga akibat terkesan pendapatan akibat Covid-19.
- Atlet memilih untuk menumpukan perhatian kepada pelajaran.
- Atlet tidak mendapat kebenaran ibu bapa akibat kebimbangan ibu bapa akibat Covid-19.
- Hanya ‘non-contact sports’ yang dibenarkan menjalani latihan.
- Latihan dalam bentuk gelembung sukan.
- Kerisauan semua pihak kerana Selangor adalah negeri tertinggi kes Covid-19.
Pada bulan November 2020, sekali lagi pengumuman penundaan SUKMA 2020 ke tahun 2022 yang diumumkan oleh Menteri Belia dan Sukan pada ketika itu iaitu Dato’ Sri Reezal Merican yang mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi SUKMA pada 9 November 2020.
Tahun 2021
Program latihan diteruskan mengikut SOP yang diberi oleh pihak MKN dan pada awal Januari tahun 2021, beberapa pasukan latihan terpaksa dihentikan juga kerana berlakunya gelombang ke -2 Covid-19 (selepas pilihanraya di Sabah). Pada masa ini, kes jangkitan di Selangor adalah tertinggi terutamanya di daerah Petaling atau sekitar Lembah Klang dan ini memberi kesan kepada program latihan atlet yang kurang efektif. Ada diantara pasukan juga yang terpaksa memberhentikan latihan bersilih ganti demi keselamatan semua atlet dan jurulatih.
Sepanjang tahun 2021 itu, tiada sebarang ketetapan dan keputusan yang dibuat sama ada SUKMA 2022 akan dilaksanakan atau sebaliknya. Dalam tempoh itu juga, wabak Covid-19 ini masih belum reda, pihak MSNS telah berpandangan SUKMA pada tahun 2022 ini dilihat tidak relevan sekiranya ianya diteruskan. Ini adalah disebabkan tempoh masa yang ada pada masa itu adalah terlalu suntuk iaitu kurang dari 12 bulan.
Tahun 2022
Pada 23 Februari 2022, satu sidang media oleh Menteri Belia dan Sukan yang baru iaitu Dato’ Seri Ahmad Faizal bin Azumu telah menyatakan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri bahawa Kerajaan Negeri Johor memohon penangguhan SUKMA Johor pada tahun 2022 dan mesyuarat tersebut juga telah memutuskan Kementerian Belia dan Sukan akan mengendalikan temasya SUKMA 2022 melalui Majlis Sukan Negara.
Rentetan dari keputusan ini pelbagai mesyuarat telah diadakan di peringkat Majlis Sukan Negara bersama pihak Majlis Sukan Negeri berkenaan sukan yang dipertandingkan, peringkat umur dan peraturan – peraturan lain untuk SUKMA 2022. Dalam tempoh berbaki 7 bulan (selepas keputusan Jemaah Menteri meluluskan SUKMA 2022 pada Februari 2022) masih tiada ketetapan kategori sukan dan ianya bertukar – tukar sehingga hal ini menjejaskan persediaan pasukan Selangor. Temasya Sukan Malaysia MSN XX, 2022 akan bermula pada 16 September sehingga 24 September 2022. Pada Mesyuarat Jawatankuasa Khas Teknikal SUKMA 2022 pada 2 Julai yang lalu, masih terdapat perubahan acara yang dipertandingkan.
Daripada kronologi penganjuran SUKMA 2022 ini, pihak MSNS berpendapat SUKMA 2022 ini diadakan dalam keadaan yang tergesa – gesa di mana perkara ini tidak pernah berlaku kerana SUKMA merupakan satu penganjuran yang prestij dan sebagai platform yang terbaik untuk semua atlet – atlet prestasi tinggi bertanding dalam keadaan yang telah bersedia semua aspek.
Sungguhpun demikian, pihak MSNS telah memastikan atlet – atlet yang dipilih untuk bertanding di SUKMA 2022 ini adalah atlet – atet yang telah bersedia dan bukannya sebagai pentas sekadar menyertai kerana ianya memerlukan peruntukan besar untuk menyediakan pasukan. Untuk julung kalinya Kontinjen Selangor tidak menghantar penuh penyertaan dalam sukan yang dipertandingkan antaranya adalah sukan kanu, gimnastik lelaki dan acara terjun.
Walaubagaimanapun, dengan berbaki 2 bulan ini pasukan Selangor yang sedia ada akan terus berusaha dan sedang menjalani latihan secara harian dan hujung minggu. Persediaan atlet dalam latihan ini adalah penting dimana atlet perlu sentiasa berlatih untuk memantapkan lagi teknik dan juga stamina kecergasan bagi menghadapi temasya SUKMA ini. Manakala bagi aspek penyertaan ke kejohanan, atlet – atlet yang berlatih perlu menyertai kejohanan yang bersesuaian untuk mengukur tahap keberkesanan program latihan yang dirancang oleh jurulatih. Penyertaan ke kejohanan ini penting bukan sahaja untuk atlet, malah jurulatih juga penting untuk menganalisa kekurangan dan kelebihan atlet – atlet termasuk menganalisa atlet – atlet pencabar dari negeri lain.
Terdapat beberapa sukan yang masih kurang kejohanan pendedahan disebabkan oleh tiada kejohanan yang dianjurkan oleh pihak Persatuan Kebangsaan, namun pihak Majlis telah mengambil inisiatif untuk pasukan ini merancang dan menjalani latihan tindik (attachment program) dengan atlet kebangsaan atau mengadakan friendly game dengan pasukan – pasukan pilihan dari negeri lain.
Selain itu juga, dalam memastikan program yang dirancang adalah secara holistik, ianya bukan sahaja menumpukan pada aspek fizikal, pembentukan dan semangat pasukan juga perlu dipertingkatkan diantara pasukan. Pihak Majlis telah merancang untuk kem – kem khas bagi atlet – atlet ini iaitu kem pemantapan atlet yang sedang dijalankan mengikut sukan – sukan sepanjang program persediaan SUKMA ini. Pada 1 hingga 3 Julai 2022 yang lalu, lima (5) pasukan SUKMA iaitu lawn bowl, angkat berat, bola jaring, karate dan judo telah menjalani kem pemantapan atlet di Lembah Pangsun, Hulu Langat.
-
Nyatakan jenis-jenis sukan yang berpotensi tinggi serta menjadi harapan bagi mendapat pingat emas di SUKMA 2022?
Pada Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XX, MSN 2022 ini, pihak Majlis mensasarkan sebanyak 40 pingat emas, 40 perak dan 30 gangsa pada edisi kali ini. Antara sukan – sukan yang disasarkan adalah sukan akuatik bagi acara renang, bola tampar, bola keranjang, badminton, boling padang, olahraga, memanah, menembak, petanque, tenis, squash, dan wushu.