Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2022

25 Julai - 29 Julai 2022 dan 01 Ogos - 05 Ogos 2022 (Isnin - Jumaat dan Isnin - Jumaat)

204) HALA TUJU PELUPUSAN SAMPAH

Tahun: 2022

Sesi: 2

Isu: Kerajaan Tempatan

Adun: Y.B. Puan Wong Siew Ki

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah hala tuju kerajaan Negeri Selangor terhadap isu pelupusan sampah?

    Secara purata, Malaysia menghasilkan sebanyak 33,000 tan sisa pepejal setiap hari dan 22 peratus daripada jumlah tersebut datang daripada penduduk Negeri Selangor iaitu sebanyak 7,220 tan sisa pepejal setiap hari. 80 peratus daripada sisa pepejal ini berpotensi untuk dikitar semula, dijual atau digunakan semula. Semasa negara dilanda COVID-19 pada tahun 2020 dan 2021, jumlah pembuangan sisa pepejal naik mendadak sebanyak 600 tan sehari.

    Justeru, pengurusan sisa yang lebih bersepadu perlu dilaksanakan bagi membantu mengurangkan sisa ke tapak pelupusan iaitu dengan melalui beberapa proses seperti pengasingan, kitar semula, merawat dan pemulihan dilaksanakan serentak.

    Kerajaan Negeri Selangor telah meluluskan pelan induk jangka masa panjang bagi pengurusan pelupusan sisa pepejal yang mampan. Dalam hal ini, Kerajaan Negeri telah merancang pembangunan Pembangunan Integrated Solid Waste Management Centre (ISWMC) di beberapa lokasi di negeri Selangor. Setakat ini, dua (2) projek ISWMC telah diluluskan iaitu di Jeram, Kuala Selangor dan di Mukim Tanjung Dua Belas, Kuala Langat. Kemudahan-kemudahan ISWMC ini akan mempunyai beberapa fasiliti moden pengurusan pelupusan sampah seperti loji Waste-To-Energy (WTE) yang merupakan komponen utama, material recovery facility, loji kompos, loji pencernaan anaerobics dan loji pemprosesan sisa pembinaan. Projek ISWMC Jeram akan dibina dengan kapasiti untuk memproses dan melupuskan 3,500 tan sisa pepejal sehari manakala ISWMC di Tanjung Dua Belas akan mampu merawat 2,500 tan sisa pepejal sehari.

    Dengan adanya ISWMC ini, sisa pepejal yang dihasilkan di Negeri Selangor bukan hanya dilupuskan, tetapi juga akan menjadi sumber kepada tenaga elektrik, penghasilan baja, kutipan barangan kitar semula dan lain-lain yang dapat menambah nilai kepada aktiviti ekonomi Negeri Selangor.

    Pelan Induk ISWMC ini juga akan mengurangkan kebergantungan terhadap kegunaan tanah untuk tapak pelupusan sampah dimasa akan datang.

    Selain daripada itu, Kerajaan Negeri juga turut merangka beberapa inisiatif yang komprehensif bersama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi tujuan mengurangkan penjanaan sisa pepejal ke tapak pelupusan sampah seperti:

    • menyediakan deraf Pelan Induk Pengurusan Sisa Pepejal Dan Pembersihan Awam Selangor;

     

    • menyediakan Garis Panduan Pengurusan Pembuangan Sisa Pepejal Tidak Sempurna Di Negeri-Negeri Yang Tidak Menerima Akta Pengurusan Sisa Pepejal Dan Pembersihan Awam (Akta 672);

     

    • mewujudkan Pusat Penyelidikan dan Pembangunan (R&D Centre) bagi pengurusan sisa domestik di kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Selayang. Pusat ini menjadi projek perintis sistem rawatan sisa domestik dengan kaedah Organocycler yang mana sisa domestik yang dihantar akan diproses untuk menjadi baja dan mengurangkan penggunaan tanah untuk tapak pelupusan sampah.

    Kerajaan Negeri turut menyokong segala usaha dan inisiatif yang dilaksanakan oleh pihak PBT dalam menjalankan program-program pengasingan sisa kepada komuniti termasuk program kitar semula, program kitar semula minyak masak terpakai, program pengkomposan sisa makanan dan sisa kebun dan lain-lain program bagi membudayakan amalan kitar semula dan kesedaran penjagaan alam sekitar.

Lampiran

Tiada Lampiran.