Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2022
25 Julai - 29 Julai 2022 dan 01 Ogos - 05 Ogos 2022 (Isnin - Jumaat dan Isnin - Jumaat)
196) PRESTASI KDEB WASTE MANAGEMENT SDN BHD (KDEBWM) MENGURUSKAN PENGURUSAN SISA PEPEJAL DAN PEMBERSIHAN AWAM DI NEGERI SELANGOR
Tahun: 2022
Sesi: 2
Isu: Kerajaan Tempatan
Adun: Y.B. Tuan Gunarajah A/l R George
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Sila nyatakan setakat ini bagaimanakah prestasi kerja-kerja pembersihan oleh KDEB?
Berdasarkan penilaian pihak Majlis Perbandaran Klang (MPK), perkhidmatan pembersihan awam di seluruh kawasan operasi MPK berada di tahap yang memuaskan dengan purata pencapaian prestasi sebanyak 93 peratus bagi tahun 2021 dan 87 peratus bagi tahun 2022 (sehingga bulan Jun). Faktor penilaian ini adalah berdasarkan terimaan jumlah aduan yang tinggi oleh pihak MPK ke atas perkhidmatan pembersihan awam antaranya seperti longgokan sampah di tepi jalan di kawasan industri atau kilang, kawasan perniagaan dan sekitar lokasi kediaman warga asing. Selain itu, penilaian prestasi dibuat berdasarkan Notis Tindakan Pembetulan (NTP) yang dikenakan kepada kontraktor KDEB Waste Management Sdn. Bhd. (KDEBWM) oleh MPK. Pihak MPK dan pengurusan KDEWBM akan mengadakan mesyuarat dua (2) bulan sekali bagi mengesahkan NTP serta membincangkan aduan. Pihak MPK juga menyarankan supaya KDEBWM menjalankan kerja-kerja pembersihan awam setiap hari di kawasan yang terbabit serta meningkatkan frekuensi pembersihan.
-
Berapa banyak kontraktor KDEB telah ditamatkan kontrak atas sebab prestasi yang teruk?
Sepanjang beroperasi sejak tahun 2016 sehingga kini, sebanyak 18 kontraktor kutipan sisa pepejal dan pembersihan awam telah ditamatkan perkhidmatan oleh KDEB Waste Management kerana gagal mencapai tahap prestasi minimum yang telah ditetapkan.
Dalam masa yang sama, terdapat 12 kontraktor kutipan sisa pepejal dan pembersihan awam yang telah digantung perkhidmatan mereka kerana tidak menunjukkan prestasi perkhidmatan yang sepatutnya.
KDEB Waste Management telah menandatangani perjanjian perkhidmatan yang komprehensif bersama-sama dengan semua kontraktor kutipan sisa pepejal dan pembersihan awam yang dilantik oleh mereka. Di dalam perjanjian perkhidmatan tersebut, terdapat klausa yang jelas dan terperinci berhubung dengan tatacara penamatan perkhidmatan semua kontraktor yang telah dilantik oleh KDEB Waste Management.
Justeru, penamatan perkhidmatan kontraktor yang dibuat oleh KDEB Waste Management adalah berpandukan kepada klausa dan kiriteria yang terkandung di dalam perjanjian perkhidmatan tersebut dan perlu dilakukan dengan teliti tanpa sebarang elemen mala fide bagi mengelakkan implikasi dan tindakan undang-undang ke atas KDEB Waste Management.
-
Adakah perancangan Kerajaan Negeri untuk mengembalikan kerja-kerja kutipan sampah dan pembersihan kepada PBT agar prestasi lebih baik?
Setakat ini Kerajaan Negeri tiada perancangan untuk mengembalikan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk diuruskan sendiri berikutan kontrak pelaksanaan Project Management Company (PMC) di PBT masih berkuatkuasa.