Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2022

25 Julai - 29 Julai 2022 dan 01 Ogos - 05 Ogos 2022 (Isnin - Jumaat dan Isnin - Jumaat)

195) PRESTASI AIR SELANGOR

Tahun: 2022

Sesi: 2

Isu: Pentadbiran

Adun: Y.B. Puan Jamaliah Binti Jamaluddin

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Adakah terdapat sebarang pengukuran KPI terhadap prestasi Air Selangor? Sekiranya ya, sila nyatakan.

    Penetapan dan pengukuran Indeks Prestasi Utama (KPI) terhadap prestasi Air Selangor adalah di bawah kawal seliaan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), selaku pengawal selia industri perkhidmatan air di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan.

    Sebagai pemegang lesen perkhidmatan yang dikeluarkan oleh SPAN, Air Selangor perlu menyediakan pelan perniagaan boleh pinda (Rolling Business Plan) untuk kelulusan SPAN setiap lima (5) tahun. Selepas Rolling Business Plan diluluskan, prestasi syarikat akan dipantau setiap tahun untuk memastikan tahap perkhidmatan dan perlaksanaan adalah mengikut pelan perniagaan yang diluluskan oleh SPAN.

    Aspek-aspek utama Rolling Business Plan termasuk unjuran perbelanjaan operasi (OPEX) dan cadangan perbelanjaan modal (CAPEX), tahap perkhidmatan, jadual penyenggaraan aset serta jadual tarif air yang diperlukan supaya pengendalian perkhidmatan air dan CAPEX dapat dilaksanakan dengan baik. Tahap perkhidmatan dan prestasi syarikat juga akan dipantau oleh SPAN melalui KPI yang ditetapkan dalam Rolling Business Plan ini.

    KPI prestasi yang wajib dan sasaran yang ditetapkan dalam Rolling Business Plan Air Selangor merangkumi semua aspek utama termasuk dari segi tahap perkhidmatan air seperti kualiti air terawat, liputan bekalan air, tekanan air, kepuasan pengguna dan juga ukuran prestasi operasi dan ekonomi seperti kadar air tidak terhasil (atau Non-Revenue Water (NRW)), kos operasi, kecekapan pengebilan dan perlaksanaan kerja-kerja kapital dan lain-lain.

Lampiran

Tiada Lampiran.