Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2022
25 Julai - 29 Julai 2022 dan 01 Ogos - 05 Ogos 2022 (Isnin - Jumaat dan Isnin - Jumaat)
188) PELANCONGAN DI SELANGOR
Tahun: 2022
Sesi: 2
Isu: Pelancongan
Adun: Y.B. Puan Rozana Binti Zainal Abidin
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Sejak pembukaan sempadan, berapakah statistik kemasukan pelancong domestik dan luar negara yang dicatatkan di Negeri Selangor?
Kaji Selidik Kedatangan Pelancong ke Negeri Selangor menggunakan kaedah pengumpulan data-data pelancong bermalam di hotel-hotel di Negeri Selangor. Untuk tahun 2022 ini pengumpulan data tersebut akan dilaksanakan setiap 6 bulan sekali (2 kali setahun) dimana bagi pengumpulan setengah tahun pertama akan dilaksanakan pada bulan Julai 2022 dan pelaporan bagi kaji selidik tersebut dijangka akan dibentangkan kepada pihak Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada akhir bulan Ogos 2022.
Justeru itu, statistik kemasukan pelancong pada tempoh selepas pintu sempadan negara dibuka pada 1 April 2022 masih dalam tempoh kerja-kerja pengumpulan data. Pengumpulan data ini juga merujuk kepada Jabatan Statistik Negara bagi data kedatangan pelancong domestik dan Unit Statistik Tourism Malaysia bagi data kedatangan pelancong antarabangsa.
Walaubagaimanapun, untuk makluman, Persatuan Hotel Malaysia (MAH) mengunjurkan Kadar Purata Penginapan pelancong akan meningkat pada kadar 60% selepas pintu masuk negara dibuka pada 1 April 2022. Oleh yang demikian, dianggarkan bahawa Jumlah Kedatangan Pelancong Antarabangsa ke Negeri Selangor pada tempoh suku tahun kedua 2022 (April – Jun) adalah sebanyak 68,000 orang pelancong dimana ianya mencatatkan peningkatan pada kadar 18% daripada prestasi kedatangan pelancong antarabangsa pada tahun 2021 yang lalu.
-
Nyatakan kawasan pelancongan yang menjadi tumpuan utama di kawasan anjung utara Selangor.
Kawasan pelancongan di kawasan anjung utara Selangor yang sering menjadi pertanyaan dan perhatian para pelancong khususnya di daerah Kuala Selangor seperti Bukit Malawati, Sky Mirror dan Kelip-Kelip Kg. Kuantan; serta daerah Sabak Bernam seperti Sawah padi si Sekinchan dan Sungai Besar, Pantai Redang, Muzium Padi dan Ah Ma House. Turut menjadi pilihan dan tumpuan adalah Homestay Sungai Sireh di Kuala Selangor dan Homestay Haji Dorani di Sabak Bernam, di mana para pengunjung akan mengalami sendiri pelbagai aktiviti yang menarik dan unik yang berkonsepkan homestay dan agro tourism yang terdapat di produk pelancongan tersebut.