Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2022

25 Julai - 29 Julai 2022 dan 01 Ogos - 05 Ogos 2022 (Isnin - Jumaat dan Isnin - Jumaat)

186) RUMAH KEBAJIKAN KANAK-KANAK

Tahun: 2022

Sesi: 2

Isu: Wanita & Keluarga

Adun: Y.B. Puan Juwairiya Binti Zulkifli

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Berapakah jumlah rumah perlindungan kanak-kanak di Selangor yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)?

    JKM Negeri Selangor adalah agensi yang menguatkuasakan Akta Pusat Jagaan 1993 [Akta 506]. Salah satu peranan JKM adalah membuat pemeriksaan dan pendaftaran pusat jagaan termasuk rumah perlindungan kanak-kanak di Selangor.

    Statistik Pusat Jagaan yang berdaftar dengan JKM sehingga Jun 2022 adalah sebanyak 646 buah, iaitu 117 buah pusat jagaan di bawah kendalian Pertubuhan Sukarela Kebajikan (PSK)/ NGO dan 529 buah pusat jagaan di bawah kendalian pihak swasta/ persendirian.

    Pusat Jagaan kanak-kanak yang berdaftar di Negeri Selangor adalah berjumlah 461 buah, iaitu 65 pusat jagaan di bawah kendalian NGO dan 396 di bawah kendalian swasta.

  2. Berapakah jumlah rumah perlindungan kanak-kanak yang telah ditarik balik permit? Jelaskan sebabnya.

    Pada tahun 2021, 11 buah pusat jagaan kanak-kanak telah dibatalkan perakuan pendaftaran. Manakala, tahun 2022 mulai Januari hingga Jun, sejumlah 8 buah pusat jagaan kanak-kanak telah dibatalkan perakuan pendaftaran. Kesemua pembatalan perakuan pendaftaran ini adalah dibuat selaras dengan Seksyen 11(d) Akta 506 iaitu pengendali sendiri memohon perakuan pendaftaran dibatalkan.

    Di antara sebab pembatalan ini dibuat adalah kerana tiada sambutan daripada penduduk, premis telah berpindah, pertukaran pengendali dan disebabkan penularan penyakit Covid-19.

    Sebagai makluman, setakat ini tiada pusat jagaan yang dibatalkan di bawah Seksyen 11(a) iaitu pelanggaran atau ketidakpatuhan atas apa-apa peraturan di bawah Seksyen 24 atau apa-apa syarat di bawah Seksyen 7 ataupun di bawah Subseksyen 11(b) yang mana pengendali disabit atas apa-apa kesalahan atau apa-apa kesalahan yang melibatkan fraud atau keburukan akhlak.

  3. Apakah langkah Kerajaan dalam memastikan tiada ketirisan atau salah laku pengendali rumah kebajikan ini?

    \Langkah Kerajaan Negeri melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Selangor dalam memastikan tiada ketirisan atau salah laku dalam kalangan pengendali pusat jagaan adalah melakukan pemeriksaan dan pemantauan secara berkala dan mengejut oleh pegawai yang diberi kuasa (PDBK) JKM ke atas pusat jagaan yang berdaftar.

    Sepanjang tahun 2021, sejumlah 457 buah pusat jagaan telah diperiksa dan tahun 2022 sehingga Jun sejumlah 235 telah diperiksa.

    Pada tahun 2022 Pihak JKM Negeri Selangor juga telah melaksanakan tindakan penguatkuasaan ke atas pusat jagaan yang tidak mematuhi Akta 506 dengan melakukan pendakwaan sebanyak 2 kes, satu (1) kes lak masing-masing pada tahun 2021 dan 2022, serta pembatalan Perakuan Pendaftaran sebanyak 22 kes pada tahun 2021 dan 11 kes pada tahun 2022.

     

    Tindakan Penguatkuasaan JKM Mengikut Akta Pusat Jagaan 1993

    Tindakan Penguatkuasaan Tahun 2021 Tahun 2022
    Dakwa 2 0
    Lak 1 1
    Batal Perakuan Pendaftaran 22 11
    JUMLAH 25 12

     

     

    MAKLUMAT TAMBAHAN

    Bilangan pusat jagaan berdaftar mengikut daerah, jenis kendalian, kategori dan kumpulan sasar adalah seperti berikut:

Lampiran

Tiada Lampiran.