Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2022
25 Julai - 29 Julai 2022 dan 01 Ogos - 05 Ogos 2022 (Isnin - Jumaat dan Isnin - Jumaat)
175) ISU PAIP PECAH DI PETALING JAYA
Tahun: 2022
Sesi: 2
Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam
Adun: Y.B. Puan Lim Yi Wei
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah status projek penggantian paip yang telah dijalankan dalam tahun 2021 dan 2022 di Petaling Jaya?
Bagi tahun 2021 dan 2022 sebanyak sembilan (9) pakej yang merangkumi beberapa kawasan dan jalan yang terlibat dengan Program Penggantian Paip yang melibatkan panjang paip keseluruhan 41.5km di Petaling Jaya.
Tiga (3) dari sembilan (9) pakej tersebut yang telah berjaya disiapkan sepenuhnya melibatkan panjang paip keseluruhan 14.4km. Manakala terdapat baki pakej yang lain berada dalam peringkat kerja-kerja di tapak yang masih sedang berjalan, menunggu kelulusan permit dari PBT dan juga peringkat reka bentuk.
-
Apakah rancangan Kerajaan Negeri untuk menyelesaikan isu paip pecah di Petaling Jaya?
Bagi mengatasi masalah paip pecah, Air Selangor telah mengenal pasti kawasankawasan yang kritikal untuk disenaraikan dalam Program Penggantian Paip.
Selain daripada itu, pembentukan District Metering Zone (DMZ) (atau Zon Pemeteran Daerah) juga telah dilaksanakan bertujuan untuk memantau dan mengawal tekanan air secara optimum bagi memastikan bekalan air yang berterusan. Sehingga tahun 2021, di daerah Petaling Jaya, terdapat sebanyak 350 DMZ yang telah dibentuk dan pembentukan DMZ baru akan diteruskan bagi tahun-tahun berikutnya.
Untuk kejadian paip pecah yang masih berlaku walaupun dengan pelaksanaan kawalan tekanan (kawasan di dalam DMZ), jajaran paip terlibat telah dikenal pasti dan disusun dalam senarai keutamaan penggantian paip di bawah Program Penggantian Paip.
Secara keseluruhan, indeks paip pecah telah dapat dikurangkan sebanyak 68.9% dari 20.48 kes paip pecah per 100km per tahun pada tahun 2016 ke 6.37 kes paip pecah per 100km per tahun pada tahun 2021. Indeks paip pecah ini adalah lebih rendah berbanding aras antarabangsa iaitu 13 kes paip pecah per 100km per tahun.
-
Apakah mekanisme kawalan yang digunakan untuk mengawal kadar reservoir Sea Park?
Kawalan sistem air masuk (inlet) ke Kolam Air Sea Park adalah melalui sistem kawalan injap ‘altitude’, yang mana sistem ini akan menutup injap secara automatik apabila paras air Kolam Sea Park mencapai paras 4.7 meter. Untuk makluman, Kolam Air Sea Park ini mendapat bekalan air daripada Kolam Air Terminal Effingham secara penghantaran/agihan graviti.